JUS timun.
Siti Zarinah Sahib

Apabila disebut timun ramai beranggapan buah ini hanya dihidangkan sebagai pelengkap ulam-ulaman, acar atau dijadikan penambah dalam masakan. Rasanya yang segar dan mengandungi banyak air bukan saja sesuai diolah sebagai makanan tetapi juga minuman. Ini kerana jus timun memberikan pelbagai kebaikan kepada tubuh antaranya:

1. Mencegah penuaan dan melawan radikal bebas

Timun kaya antioksidan yang mampu mencegah kerosakan sel dalam tubuh disebabkan oleh radikal bebas. Selain itu, kandungan beta karoten, vitamin C dan mineral dapat mencegah proses penuaan semula jadi.

2. Mencegah kenaikan tekanan darah

Bagi penderita hipertensi, biasanya dalam tubuh mereka mempunyai kandungan sodium (garam) yang tinggi. Pengambilan garam berlebihan tidak elok untuk kesihatan kerana ia boleh meningkatkan tekanan darah meningkat. Timun mengandungi kalium yang membantu menyeimbangkan kadar sodium dalam badan dan menstabilkan tekanan darah.

3. Membantu menurunkan berat badan

Kadang-kadang kita keliru dengan rasa lapar - apakah badan memerlukan air atau makanan? Kalau anda juga mengalami kekeliruan ini, minumlah dulu sebaik berasa lapar kerana ramai orang tidak sedar badan mengalami kekurangan air. Timun adalah antara sayur-sayuran yang banyak air, kaya serat dan boleh dimakan begitu saja untuk menambah kandungan air dalam badan. Anda juga boleh menjadikannya minuman (jus timun). Boleh juga gandingkan timun dengan sayur atau buah lain untuk mendapatkan jus yang enak dan rendah kalori. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang berusaha menurunkan berat badan. Kandungan seratnya akan membuatkan anda rasa cepat kenyang dan lambat lapar.

4. Membantu mencegah kanser

Kajian menunjukkan timun mengandungi polifenol dipanggil lignan, yang membantu merendahkan risiko kanser. Penelitian yang dijalankan penyelidik di Pusat Kanser Amerika Syarikat, Robert H. Lurie menyatakan timun boleh membunuh berbagai jenis sel kanser, mengecilkan tumor dan merangsang sistem kekebalan tubuh.

Melihat kepada banyaknya khasiat timun, ada yang bertanya, bagaimana cara memilih timun yang baik? Selalu juga kita membeli timun yang sudah agak dan keras bijinya.

Menurut pengurus restoran Warung Mak Cik Kiah, Norkhairizal Rusli, memilih timun yang baik iaitu tidak pahit dan lembik sememangnya agak sukar. Untuk itu pastikan warna kulit timun hijau terang, tidak berkedut atau kusam.

Tekstur timun juga seharusnya padat apabila ditekan. Semakin besar ukuran timun, rasanya akan semakin pahit. Pemilihan timun yang manis dan tidak pahit sangat penting untuk menghasilkan jus yang enak.

“Jus timun menjadi antara minuman kesukaan pelanggan di sini. Rasanya yang segar, sesuai diminum ketika cuaca panas. Membuat jus timun juga mudah hanya memerlukan bahan utama timun, limau kasturi dan daun pudina saja,” katanya yang menunjukkan cara membuat jus timun kepada pembaca Hati, Harian Metro.

Bahan-bahan membuat jus timun:


BAHAN iaitu timun, limau kasturi, daun pudina dan gula.

• 2 biji timun

• 5 biji limau kasturi

• 3 tangkai daun pudina

• 1 sudu air gula

• Ais (boleh juga diminum suam)

Langkah-langkah


1. CUCI timun dengan bersih kemudian sagat sehingga anda mendapat tekstur timun yang halus.

2. MASUKKAN timun ke dalam cawan. Kemudian masukkan air bersama air gula.

3. PERAH limau kasturi ke dalam cawan timun tadi. Masukkan air dan daun pudina untuk lebih segar.

4. JUS timun sedia untuk diminum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 1:58 PM