Intan Mas Ayu Shahimi

Kesibukan kerja, pola pemakanan tidak sihat dan pendedahan terhadap pencemaran udara kerap mengundang masalah kulit sensitif, berjerawat serta berminyak. Lazimnya, perubahan mendadak pada kulit sukar ditangani dengan pemakaian produk sedia ada di pasaran.

Ini kerana kulit memerlukan masa untuk membebaskan diri daripada sebarang cubaan produk yang mungkin mengandungi terlalu banyak sebatian kimia, formula aktif mahupun isi kandungan tidak bersesuaian.

Lihat saja berapa ramai yang mengeluh apabila kulit wajah yang pada asalnya hanya ditumbuhi jerawat kecil semakin teruk akibat percampuran produk yang dibeli di pasaran.

Lebih memburukkan keadaan apabila munculnya produk timbang kilo yang mendakwa 100 peratus organik dan berupaya membantu mengurangkan cela pada kulit.

Sebenarnya, ada banyak petua tradisional yang boleh membantu kulit untuk pulih dengan hanya menggunakan barang-barang di dapur atau halaman rumah. Dengan cara itu, anda tidak perlu berbelanja untuk mendapatkan produk yang tidak diketahui mujarab atau sebaliknya.

Salah satu kaedah rawatan yang kerap dicadangkan pakar kecantikan alami adalah dengan memakai pupur sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Menariknya, pupur yang dibuat menggunakan bahan semula jadi ini boleh disesuaikan dengan keperluan wajah.

Umpamanya, bagi kulit sensitif dan berjerawat, campuran beras, madu, jintan hitam dan serbuk kunyit berupaya mengurangkan rasa gatal, kemerahan dan mengecilkan liang pori terbuka.

Beras adalah bahan asas paling tepat untuk dijadikan pupur, tidak kira sama ada untuk mereka yang berkulit normal, berminyak, terjejas akibat selaran matahari, kering, mahupun sensitif.

Ia berupaya mengecilkan pori, mencerah, menggantikan sel kulit mati, menghalus dan menegangkan kulit. Bagi wajah sensitif yang mudah kemerahan akibat terik matahari, beras juga mampu menyejukkan.

Jintan hitam atau habbatussauda pula memiliki sifat antikeradangan yang dapat mencegah dan mengubati jerawat. Jika anda memiliki kulit kemerahan akibat keradangan dan kesan jerawat, bahan ini cukup membantu.

Pilih sama ada minyak jintan hitam atau kisar bijian halus ini bersama bahan lain untuk membentuk pupur. Gaul semua bahan dengan sedikit serbuk kunyit dan perahan air limau purut untuk merawat luka jerawat. Kemudian tambah sesudu madu sebagai pelembap.


SEDIAKAN semua bahan.

Bahan-bahan

• 3 sudu besar beras (dikisar halus)

• 1 sudu madu

• 2 camca jintan hitam (dikisar halus)

• 1 camca serbuk kunyit

• 5 sudu susu badam

• 1 camca perahan limau purut

Langkah-langkah


1. MASUKKAN beras yang dikisar dalam mangkuk.

2. CAMPURKAN jintan hitam.

3. SERBUK kunyit untuk mengecutkan kesan luka.

4. MADU sebagai pelembap dan perawat wajah kusam.

5. LIMAU purut menaikkan seri wajah.

6. SUSU badam boleh diganti susu segar.

7. PUPUR siap untuk dioles ke wajah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 12:54 PM