MOHD Suhaimi di dalam kelas yang dianjurkannya.
Siti Nadirah Hafidzin

BENAR kata orang, saat kejatuhan mengajar erti sebenar sebuah kehidupan. Walaupun ia dianggap lumrah dalam dunia perniagaan, tidak semua individu mampu bangkit semula mengejar impian.

Apabila berdepan kerugian, ramai berhenti separuh jalan, ada pula yang mudah berputus asa, ada juga tidak tahu arah tuju.

Berbeza dengan anak kelahiran Kuala Terengganu ini, semangatnya kuat untuk berjaya dan membantu individu lain walaupun pernah berdepan saat kejatuhan dalam perniagaan sehingga terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 selain kehilangan segalanya.

Kini, berkat semangat dan kegigihan, dia bukan saja berjaya dalam dunia perniagaan malah lebih manis apabila berjaya membantu lebih 500 usahawan terutama belia menggapai impian hidup.

Kekuatan dan semangat Mohd Suhaimi Umar dalam menggapai impian hidup wajar dijadikan inspirasi kepada usahawan negara ini terutama anak muda yang mahu menjadikan bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan.

Menceritakan perjalanan hidupnya, Mohd Suhaimi berkata, dia tidak sesekali menyesal memilih bidang perniagaan dalam talian walaupun memegang Ijazah Sarjana Sains Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, dia mula terbabit dalam dunia perniagaan sejak 2008 dan pernah mengalami saat kejatuhan pada 2012 hingga menyebabkan semua wang simpanan dan modalnya habis.

“Bohong jika dikatakan saya tidak sedih dan kecewa ketika itu, tentu saja saya sedih namun sedar itu bukanlah pengakhiran. Disebabkan itu, saya segera bangkit, bangkit mencari kekuatan untuk memulakan kembali apa yang saya usahakan.


TIDAK kenal erti putus asa.

“Ketika itu juga saya sedar, dalam berniaga, ilmu adalah perkara yang sangat penting. Tidak boleh bodoh sombong kerana bidang perniagaan mempunyai pasang surutnya dan semua itu memerlukan strategi juga ilmu,” katanya.

Mohd Suhaimi berkata, detik kejatuhan dialami membuatkannya perlu bermula daripada bawah kembali dan ia menjadi detik permulaan timbul rasa tanggungjawab dalam dirinya untuk membantu serta melatih usahawan baru.

“Saya sendiri pernah merasai saat kejatuhan dan ia amat sakit, daripada situ, saya bangkit dan pada masa sama mengumpul ilmu selain pengalaman untuk diajar kepada individu lain.

“Syukur, semuanya dipermudahkan dan saya berjaya bangkit daripada kegagalan. Pada masa sama, saya mula menjalankan bengkel perniagaan di Facebook bagi membantu individu lain,” ujarnya.

Katanya, sehingga kini, dia bukan saja dapat memastikan perniagaan dijalankan berada dalam keadaan baik malah lebih menggembirakan apabila dia berjaya membantu ramai usahawan tanpa mengira golongan untuk berjaya dalam perniagaan.

“Saya menjalankan seminar perniagaan untuk usahawan dalam talian terdiri daripada kelas asas pengiklanan Facebook, kelas ‘advance’ pengiklanan Facebook dan bengkel mencungkil potensi diri sebagai ketua.

“Semua ini saya jalankan dengan niat dan harapan untuk membantu, ramai usahawan yang tidak mempunyai tempat berpaut ketika berada pada saat kejatuhan dan ia membuatkan saya tekad membantu,” katanya.

Menurutnya, hasratnya kini untuk melahirkan 100 usahawan muda dalam dunia perniagaan dalam talian.

“Saya tahu ramai anak muda kini mahu berniaga dan ada minat tetapi mungkin mereka kekurangan ilmu serta pengalaman. Atas sebab itu, saya cabar diri sendiri untuk membantu 100 usahawan muda berjaya dengan cemerlang dalam perniagaan dan syukur, semuanya berjalan dengan baik.

“Saya sentiasa berpegang dengan kata-kata ‘beri lebih, dapat lebih,’ dan saya berharap bukan saja urusan diri saya dalam dunia perniagaan berjalan lancar dan dalam masa sama, berhasrat membantu lebih ramai individu untuk berjaya dalam bidang ini juga dapat dicapai,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 6:01 AM