SAYURAN dan buah-buahan mempunyai banyak khasiat kepada kanak-kanak.
Siti Nadirah Hafidzin

Mengajar si kecil tersayang menikmati hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam setiap hidangan antara cabaran terbesar buat kebanyakan ibu bapa. Mungkin ada antara kanak-kanak yang menggemarinya, namun percayalah ramai cuba mengelak atau langsung tidak mahu mengambilnya terutama sayur-sayuran.

Ia menjadi cabaran terbesar buat si ibu yang sering kali berusaha memastikan anak tersayang mendapat semua khasiat diperlukan daripada sayur-sayuran dan buah-buahan.

Pelbagai cara dan menu dicuba, ada berjaya, namun tidak kurang yang masih gagal dan si anak tetap berdegil untuk tidak mengambil makanan penuh khasiat itu.

Dalam senario ini, si ibu bapa atau penjaga perlu bijak dan kreatif dalam usaha memastikan si kecil tersayang tetap mendapat khasiat daripada sayur-sayuran dan buah-buahan.

Berkongsi pengalaman dalam usaha memastikan anak tersayang mengambil makanan berkhasiat terutamanya sayur-sayuran, ibu kepada enam cahaya mata ini, Tuan Norsuzlia Idayu Tuan Hussin berkata, setiap anaknya mempunyai makanan kegemaran sendiri. Ada di antaranya mudah mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian selain ada yang sebaliknya.


TUAN Norsuzlia bersama suami dan anaknya.

“Saya mempunyai empat anak lelaki dan dua anak perempuan, apa yang saya perasan anak perempuan lebih mudah makan sayur berbanding anak lelaki.

“Tentu saja ia menjadi cabaran besar untuk saya menyediakan menu harian, sebagai ibu saya mahukan mereka mendapat khasiat diperlukan kerana ia sangat penting dalam proses pembesaran mereka. Jadi, saya tidak boleh mengambil ringan masalah ini yang menyebabkan saya sering berbincang dengan suami bagi mendapatkan kaedah sesuai dan tepat,” katanya.

Menurutnya, dia juga sering kali mencuba pelbagai cara dan akhirnya menemui antara kaedah yang boleh digunakan iaitu dengan memotong sayur-sayuran hijau dalam saiz yang kecil.

“Saya potong sekecil mungkin sayur hijau sebelum dimasak terutama jika dibuat sup. Bagi saya lebih baik mereka dapat khasiatnya walaupun makan dalam saiz yang kecil. Lobak, kentang dan kubis lebih mudah diterima kerana rasa yang tidak pahit tetapi sayuran hijau sangat susah kerana bagi mereka ia berasa pahit.

“Di samping potong dalam saiz kecil, saya sentiasa menceritakan kebaikan dan khasiat sayuran kepada anak-anak supaya mereka tahu betapa pentingnya pengambilan sayur-sayuran setiap hari. Walaupun kini agak sukar, saya percaya semuanya akan menjadi lebih mudah apabila anak semakin membesar,” ujarnya.


HIDANGAN bento yang dilengkapi menu berkhasiat.

Dalam pada itu, Tuan Norsuzlia Idayu berkata, dia juga berusaha menyediakan hidangan bento untuk dijadikan bekalan anaknya setiap hari ke sekolah.

“Bento yang saya sediakan biasanya lengkap dengan sayuran atau buah-buahan, saya hias dan jadikan makanan itu berbentuk menarik supaya anak lebih bersemangat untuk menikmati makanan berkhasiat itu di sekolah.

“Syukur, anak gembira dan suka dengan usaha saya itu, selain gembira, mereka juga berjaya menghabiskan makanan itu,” katanya.

Tambahnya, sebagai seorang ibu, dia perlu bijak terutama dalam soal pemakanan harian anak-anak.

“Saya buang rasa penat demi anak-anak, daripada hari ke hari, saya berusaha mencari kaedah sesuai untuk mengajar anak-anak saya makan sayur dan buah. Saya yakin semua ibu di luar sana juga sama seperti saya, ini kerana tidak semua anak mahu makan sayur terutamanya sayuran hijau.

“Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak iaitu dengan makan sayur-sayuran terutama ketika waktu makan bersama. Kebiasaannya anak akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh atau idola, tidak salah jika kita tunjuk yang kita sukakan sayur-sayuran supaya lama kelamaan anak-anak akan ikut sama,” ujarnya.


ANTARA bekalan bento yang disediakan.

Antara kaedah yang boleh digunakan bagi menggalakkan anak mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian:

1. Cari buku, lagu atau program televisyen yang membincangkan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan cara menyeronokkan.

2. Bawa anak ke pasar atau pasar raya, tunjuk pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan dan nyatakan khasiatnya kepada anak.

3. Kanak-kanak ingin mengalami perkara yang mereka baca. Mulakan dengan perbualan mengenai buah-buahan dan sayur-sayuran dan kepentingannya untuk semua dalam keluarga.

4. Minta anak senaraikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mereka gemari dan belikan kegemaran itu.

5. Buat senarai beli-belah mengikut kumpulan makanan supaya kanak-kanak mudah melihat buah-buahan dan sayur-sayuran dalam senarai.

6. Wujudkan perbualan positif berkenaan tabiat makan yang sihat, dan jenis makanan yang dimakan ketika menikmati sajian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 2:06 PM