MEMBERI tunjuk ajar kepada usahawan tempatan membeli barangan di China.
Siti Nadirah Hafidzin


Pertemuan dengan anak kelahiran Dungun, Terengganu ini menimbulkan rasa kagum penulis terhadap usahanya dalam membantu usahawan tempatan khususnya dalam proses pembelian barang di China.

Mana tidaknya, dia sanggup meletakkan jawatan tetap yang disandang demi menggali ilmu baru untuk dikongsi bersama individu lain terutama bagi memastikan semakin ramai usahawan tempatan berjaya mencipta nama dan jenama dalam bidang masing-masing.

Untuk mengetahui rentak dunia perniagaan dan cara peniaga di tanah besar itu berniaga, dia tinggal di sana melebihi dua minggu. Dia mahu tahu selok-belok perniagaan terutama dalam penjualan dan pembelian barangan secara borong di sana.

Pada masa sama, Sharifuddin Muda, 43, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Sifu Dino’ turut mengenal pasti kaedah yang boleh diguna pakai supaya usahawan Malaysia tidak mudah menjadi mangsa penipuan ketika menjalankan urusan pembelian di negara terbabit.

Ternyata usaha dan pengorbanannya berbaloi, apabila kini dia berjaya membentuk dan membantu lebih 1,000 usahawan tempatan sama ada yang ingin memulakan perniagaan atau sedang mengalami masalah dalam perniagaan.

Lebih menarik, 70 peratus daripada usahawan yang mengikuti akademinya adalah dalam kalangan wanita berusia 30-an hingga 40-an yang sedang berusaha membina empayar perniagaan sendiri.

Sharifuddin berkata, semuanya bermula apabila dia berusaha memikirkan bidang yang boleh diceburinya dengan menggabungkan dua elemen diminatinya iaitu melancong dan berniaga.

SIFU Dino memberi seminar tentang proses pembelian barang di China.

Menurutnya, mengembara di China pada 2011 lalu menjadi detik permulaan untuknya mengenali dan memahami selok-belok dunia perniagaan di negara itu.

“Ramai orang bertanya mengapa saya pilih China? Jawapannya mudah, ini kerana hampir 80 peratus usahawan tempatan mendapatkan barangan dan produk mereka di negara itu selain Vietnam.

“Disebabkan itu, saya tidak teragak-agak menuntut ilmu di sana bagi mencari jalan penyelesaian supaya tidak ditipu ketika berurusan terutama membabitkan pembelian barang pukal,” katanya.

Menurut Sharifuddin, mengambil masa hampir setahun untuk memahami selok-belok dunia perniagaan di China, dia kemudian memulakan Akademi Usahawan Borong khusus dalam membantu usahawan tempatan.

“Penubuhan akademi ini membuatkan saya sangat gembira kerana apa yang dihajati dapat dicapai. Semua modul yang diketengahkan dalam akademi ini adalah milik saya sendiri yang dihasilkan berdasarkan pengalaman di China.

“Semua peserta akademi ini perlu menyertai seminar usahawan bagi mempelajari teori sebelum pergi ke China atau Vietnam untuk latihan praktikal.

“Saya atau beberapa jurulatih akan turut serta setiap kali ke dua negara itu bagi memberi tunjuk ajar dan penerangan jelas mengenai selok-belok urusan jual beli di sana,” ujarnya.

Lebih menarik, Sharifuddin berkata, tunjuk ajar bukan saja membabitkan soal pembelian barangan tapi termasuk cara menggunakan semua pengangkutan awam, urusan di lapangan terbang dan makanan supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

“Saya akan pastikan peserta bukan saja mahir membeli barang namun mahu mereka tahu aspek pengurusan diri di sana supaya boleh pergi sendiri pada masa akan datang.

“Semua ini tidak mudah kerana ia memerlukan pengalaman. Saya kumpul semua pengalaman dan pengetahuan supaya dapat dikongsikan dengan usahawan tempatan apabila berada di sana,” katanya.

TIDAK sesekali berputus asa dalam membantu usahawan.

Menurutnya, selain China, dia turut menyediakan pilihan kepada peserta untuk ke Vietnam kerana terdapat beberapa produk yang dijual di negara itu dengan harga lebih rendah.

“Disebabkan itu, semua usahawan perlu menghadiri seminar untuk membincangkan mengenai jenis perniagaan dijalankan. Seminar juga terbuka kepada tiga kategori mengikut pilihan masing-masing sama ada mahu menyertainya secara kumpulan atau peribadi.

“Ramai usahawan tempatan melakukan kesilapan dengan mengeluarkan produk terlebih dulu sebelum mempelajari teknik pemasaran, kaedah itu ternyata silap kerana ia bakal mengundang risiko kerugian.

“Selain itu, ramai yang berdepan masalah pembelian bahan mentah produk terutama berkaitan harga. Semua perkara itu akan dibincangkan dan saya mahu memberi saranan terbaik yang bersesuaian dengan pasaran tempatan,” ujarnya.

Katanya, seminar akan dijalankan sebulan sekali di tiga negeri iaitu di Johor Bahru, Johor, Pulau Pinang dan di ibu pejabat Akademi Usahawan Borong di Kajang, Selangor.

“Paling penting, semua peserta akademi perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mempunyai akaun bank syarikat sebelum menyertai akademi untuk memudahkan proses pembelajaran dan urusan perniagaan kelak.

“Saya tidak mengharapkan penghargaan atau pujian kerana apa yang saya mahukan semua peserta akademi ini dapat mencapai apa yang diimpikan dalam perniagaan selain mempunyai ilmu serta kemahiran apabila berada di negara luar terutama ketika proses pembelian barang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 7:32 AM