BAHAN pupur yang sudah siap.
Intan Mas Ayu Shahimi

Kulit terbakar biasanya terjadi kepada mereka yang terdedah kepada sinaran matahari (ultra ungu) dalam tempoh yang panjang. Ia mungkin berlaku semasa melakukan aktiviti luar seperti bersukan, berkayak, bahkan ketika berjalan berulang-alik ke tempat kerja setiap hari.

Lazimnya, kesan ketara akibat kulit terbakar kelihatan berikutan sikap sambil lewa, sengaja mengabaikan penggunaan krim, losen mahupun semburan pelindung kulit.

Dalam sesetengah kes, kulit juga mudah terbakar gara-gara tersilap menggunakan produk kosmetik mengandungi bahan terlarang seperti hidrokuinon. Kes sebegini perlu dirujuk kepada doktor atau pakar kulit supaya tidak berlanjutan.

Apapun penyebabnya, kulit terbakar perlu diberi perhatian supaya tidak meninggalkan kesan parut hitam, kulit tidak sekata, menimbulkan jerawat dan masalah kulit kusam.

Perlu diingat bahawa perubahan mendadak pada kulit mungkin sukar ditangani dengan pemakaian produk sedia ada di pasaran. Ini kerana kulit memerlukan masa untuk membebaskan diri daripada sebarang cubaan produk yang mungkin mengandungi terlalu banyak sebatian kimia, formula aktif mahupun isi kandungan tidak bersesuaian.

Cara terbaik yang boleh dijadikan rawatan alternatif buat sementara waktu adalah dengan menggunakan tumbuhan semula jadi atau bahan dapur. Daun lidah buaya umpamanya, tumbuhan ini mudah didapati dan kaya dengan manfaat untuk merawat rambut, kulit dan menyembuhkan luka akibat terbakar.

Ia mengandungi banyak khasiat termasuk asid amino, polisakarida, vitamin A, B, C, E, K, dan pelbagai manfaat lain untuk tubuh manusia. Jika kulit anda terbakar disebabkan selaran matahari atau api, daun lidah buaya segar boleh menjadi penyelamat pertama.

Hanya cabut beberapa helai daun yang nampak berisi dan belah untuk mendapatkan isinya yang menyerupai agar-agar. Bahagian ini dipanggil sari daun lidah buaya dan boleh disapu terus pada kulit.

Selain itu, serbuk kopi halus, madu dan serbuk kunyit juga boleh dicampur menjadi pupur untuk merawat kulit yang terbakar akibat selaran matahari. Kopi boleh membantu mengatasi wajah kusam dan memudarkan parut.

Madu pula mencerahkan kulit, menyembuhkan bekas luka dan menghilangkan sel kulit mati. Sementara kunyit memang diketahui mempunyai banyak manfaat dalam merawat kulit bermasalah.

Apa kata cuba jadikan semua bahan ini sebagai pupur wajah. Gunakan sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk hasil optimum. Selepas membersihkan wajah, gunakan tepung beras yang diadun bersama sedikit air sebagai bedak.

Bahan-bahan

• 2 sudu besar sari daun lidah buaya (dilenyek)

• 1 sudu madu

• 2 sudu serbuk kopi (dikisar halus)

• 1 camca serbuk kunyit


BAHAN-bahan diperlukan.

Langkah-langkah


1. MASUKKAN sari daun lidah buaya ke dalam mangkuk bersih.

2. SERBUK kopi untuk merawat wajah kusam.

3. MADU menyembuhkan bekas luka.

4. SERBUK kunyit untuk merawat keseluruhan wajah.

5. ADUN semua dan simpan dalam bekas kedap udara.

6. BAHAN pupur yang sudah siap.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 9:46 PM