NURUL Iman Fatihah gigih capai impian bergelar usahawan berjaya.
Siti Nadirah Hafidzin

Setiap mata yang memandang pasti tertarik dengan aura dimiliki, mana tidaknya, dia memiliki wajah cantik persis model, susuk tubuh tinggi lampai dan tutur kata yang sentiasa tersusun indah.

Pertemuan diatur dengan wanita berpersonaliti menarik ini memikat hati penulis untuk lebih mengenali anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mesra dengan panggilan Iman.

Ternyata, di sebalik kecantikan dimiliki, pemilik nama Nurul Iman Fatihah Abdul Razak, 29, memiliki kisah tersendiri dan jiwa kentalnya untuk bergelar seorang usahawan wajar dijadikan inspirasi kepada individu lain.

Memulakan bicara, Nurul Iman Fatihah berkata, dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak berusia 18 tahun dengan menjual pelbagai jenama produk kecantikan.

“Tamat saja sekolah menengah saya sudah mula berniaga, walaupun ketika melanjutkan pengajian di universiti, saya tetap gigih berniaga dan sejak itu juga kumpul wang hasil titik peluh sendiri.

“Siapa kata berniaga ini mudah? Apatah lagi pada usia yang masih muda dan menjual produk orang, semuanya ada cabaran tersendiri terutama dalam mendapatkan kepercayaan pelanggan. Syukur, walaupun sukar, saya berjaya menamatkan pengajian dan pada masa sama terus mengumpul wang simpanan sendiri,” katanya.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ini, demi membalas jasa kedua-dua ibu bapa dan memerlukan pendapatan tetap setiap bulan, dia berjaya bergelar seorang pendidik.

“Walaupun jiwa sebenarnya pada dunia perniagaan, saya tetap beri sepenuh komitmen sebagai seorang guru. Saya sayangkan kerjaya itu terutama dalam usaha mendidik anak bangsa.

“Bagaimanapun, saya tidak dapat membuang jiwa dan minat dalam berniaga. Demi meneruskan minat dan impian, saya terpaksa berkorban dengan melepaskan jawatan. Sebenarnya saya berperang dengan diri sendiri, antara minat berniaga dan keinginan mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Ternyata ia bukanlah satu keputusan yang mudah,” katanya.

Sedih juga apabila terpaksa berpisah dengan anak muridnya yang banyak mengajarnya menjadi insan yang berfikiran terbuka berdepan pelbagai kerenah. Namun dia ada cita-cita yang lebih besar iaitu mahu memiliki perniagaan sendiri.


NURUL Iman Fatihah (lima dari kiri) bersama ejen dan stokisnya.

Jadi gandingan minat serta sokongan tidak berbelah bagi daripada ahli keluarga dan suami tercinta, dia terus mengorak langkah dalam meneruskan impian memiliki empayar perniagaan sendiri.

“Berbekalkan wang simpanan yang dikumpul hasil berniaga dulu, saya berjaya membuka sebuah butik di Kuala Lumpur sejak 2013, walaupun berdepan pelbagai dugaan antaranya sewa kedai yang agak tinggi namun saya cabar diri sendiri untuk terus kukuh bertapak di situ.

“Syukur, saya dapat mengharungi semua halangan perniagaan walaupun kadangkala ia menuntut sepenuh perhatian dan masa saya. Terlalu banyak cabaran dan halangan jika hendak disenaraikan tetapi saya sanggup lalui semua demi mencapai impian,” katanya.

Menurutnya, terbaru, dia membuka sebuah lagi butik di Kuantan, Pahang apabila faktor mengikut suaminya yang bertugas di negeri itu.

“Bohong jika saya katakan semuanya indah, bidang perniagaan juga ada pasang surutnya. Untung dan rugi sentiasa bersilih ganti. Ia menuntut banyak pengorbanan terutama dari segi masa.

“Bergelar seorang usahawan jenama sendiri memerlukan saya menguruskan pelbagai perkara termasuk kakitangan dan pada masa sama memiliki anak yang masih kecil bukan mudah seperti disangka. Waktu tidur dan makan yang tidak teratur sudah menjadi rencah kehidupan,” katanya.

Katanya, itu belum lagi menyentuh soal kerugian dan pelbagai masalah lain dalam perniagaan. Walaupun sedar bidang ini banyak dugaannya, dia tidak mahu mengalah. Mindanya ligat berfikir mencari ilham untuk merancakkan perniagaan.


NURUL Iman Fatihah sentiasa mencari ilham meluaskan perniagaan.

“Ada yang bertanya mengapa saya minat berniaga kerana bidang ini sangat mencabar. Jawapan saya, mengapa tidak? Semua kerjaya ada cabaran tersendiri, bezanya adalah bagaimana kita menghadapinya.

“Bagi saya berniaga ada kelebihan kerana kita bekerja mengikut jadual masa sendiri. Berniaga juga membolehkan saya memberi lebih banyak masa kepada keluarga dan tidak terikat dengan sesiapa. Kalau perniagaan berkembang baik, kita boleh membantu orang lain dengan membuka peluang pekerjaan. Inilah sebabnya saya bersungguh-sungguh bekerja untuk mengukuhkan perniagaan sendiri,” katanya.

Pada masa sama, Nurul Iman Fatihah yang juga pengasas Gorgeous Global Sdn Bhd berkata, dia juga menanam hasrat untuk membantu suri rumah memiliki wang simpanan sendiri hasil berniaga.

“Kita biasa mendengar atau membaca kisah wanita yang ditindas atau menjalani hidup susah apabila berpisah dengan suami kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri. Apabila berkahwin ramai yang berkorban berhenti kerja untuk menjaga anak dan menguruskan rumah tangga. Ini pengorbanan yang mulia tetapi malangnya wanita akan bergantung kepada suami untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Jadi, apabila rumah tangga dilanda badai, ramai yang tenggelam punca apatah lagi jika suami tidak mahu memberi nafkah anak. Saya sedih apabila membaca kisah sebegini dan tidak mahu wanita ditindas kerana tak memiliki wang sendiri. Untuk membantu memperkasakan wanita, saya kini membuka peluang kepada suri rumah untuk menjadi ejen dan stokis syarikat kami.

“Saya juga mempunyai pelbagai rancangan untuk tahun depan terutama untuk memajukan perniagaan namun untuk mengejar impian itu, saya perlu memastikan semua kakitangan selesa bersama saya.

“Ini antara cabaran terbesar kepada mana-mana majikan kerana bukan mudah memiliki pekerja yang setia dan memberikan komitmen terbaik ketika bekerja,” ujarnya.


BERSAMA suami tercinta yang banyak beri sokongan kepadanya untuk berjaya.

Nurul Iman Fatihah berkata, dia juga tidak mahu syok sendiri dalam berniaga yang memerlukan dia melakukan perancangan rapi setiap tugasan hariannya.

“Saya bersama pembantu peribadi akan menyusun jadual harian sebaik mungkin, saya juga sentiasa memperbaiki setiap kelemahan diri dari hari ke hari demi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Cabaran sangat besar kini, disebabkan semakin ramai peniaga di negara ini memerlukan saya sentiasa mencari kelainan dalam perniagaan dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 2:13 PM