Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com

Pasti ramai wanita yang mempunyai impian memiliki bentuk badan diidamkan. Walaupun dikategorikan tidak gemuk atau sedang-sedang, penting juga untuk selalu bersenam bagi memastikan tubuh sentiasa cergas dan secara tidak langsung mengekalkan kecantikan luaran dan dalaman.

Banyak senaman yang boleh dicuba antaranya latihan kardio. Namun, ramai menganggap senaman ini sukar dilakukan dan memenatkan hingga niat memulakan gaya hidup sihat terbantut.

Untuk melakukan senaman kardio, anda tidak semestinya perlu berlari, berjoging atau melakukan gerakan sukar yang membebankan. Terdapat begitu banyak pilihan gerakan kardio, anda yang memilih untuk tidak berlari boleh melakukan latihan kardio pengganti mungkin lebih sesuai dengan keinginan dan kemampuan anda.

Lompat bintang misalnya, antara latihan kardio mudah dilakukan oleh sesiapa saja, namun masih mempunyai banyak kelebihan termasuk meningkatkan kadar degupan jantung dan metabolisme, menguatkan sendi, meningkatkan tahap oksigen dalam badan, sekali gus merangsang peredaran darah serta menguatkan otot tengah anda.

Latihan kardio sangat efektif untuk menurunkan berat badan. Tidak hanya membakar lemak, latihan kardio juga sangat baik untuk kesihatan jantung.

Menurut jurulatih kecergasan Tasvengers Natasya Zainal berkata, ramai orang beranggapan latihan kardio untuk membakar lemak yang paling efektif adalah berlari atau joging.

Bagaimanapun, katanya, ada banyak latihan kardio tanpa berlari dan hanya dengan pergerakan ringkas seperti berlari setempat juga mampu membakar kalori.

Katanya, tidak perlu mendaftar ke pusat kecergasan kerana senaman kardio boleh dilakukan di mana saja termasuk di taman permainan.

“Sama seperti berlari di padang, lari setempat juga latihan kardio yang baik untuk menjaga kesihatan jantung dan latihan yang membantu membakar lemak jika dilakukan secara teratur.

“Ambil peluang melakukan latihan kardio yang memberi impak pada tubuh sambil menemani anak bermain di taman permainan mahupun di rumah.

“Senaman sebenarnya lebih menyeronokkan jika dilakukan secara santai lebih-lebih lagi bersama orang tersayang. Malah sedikit sebanyak, kita dapat memberi galakan kepada anak untuk menjadi kreatif dan menjalani kehidupan sihat tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Apa yang diperlukan adalah semangat dan kesungguhan berterusan. Tempoh minimum aktiviti fizikal yang perlu dilakukan untuk mendapat faedah kesihatan yang dikehendaki ialah sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Bagaimanapun, lakukanlah dalam intensiti sederhana kuat,” katanya.

Natasya menunjukkan enam latihan kardio tanpa berlari yang anda boleh lakukan di mana-mana saja untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik.

Kawad dengan memusing tangan


1. LAKUKAN gerakan seperti berkawad setempat dengan langkahan kaki kiri dan kanan berselang. Angkat kaki setinggi yang mampu.

2. SERENTAK itu, depakan tangan dan hayunkan tangan seperti membuat bulatan.

Lompat bintang


3. BERDIRI tegak

4. BUKA kaki sambil melompat dan tangan digerakkan ke atas.

Larian angkat lutut tinggi


5. BERDIRI dan lompat dengan mengangkat lutut setinggi yang mampu berselang seli kaki kiri dan kanan.

Larian tendangan pinggul


6. BERDIRI dan lompat sambil menendang kaki

Lompat silang


7. LUASKAN bukaan kaki sambil tangan didepa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 2:08 PM