NORBAIZURA mencuba terlebih dulu produk sebelum memasarkannya.
Siti Zarinah Sahib

“JIKA diimbas kembali detik permulaan untuk bertapak dalam bidang perniagaan, saya dapat rasakan kesusahannya. Bukan mudah memperkenalkan produk secara langsung kerana perlu bersaing dengan jenama sedia ada di pasaran.

“Mulanya saya tidak tahu strategi pemasaran yang sepatutnya dijalankan tetapi jika tidak bergerak bagaimana orang mahu kenal jenama saya. Jadi saya buang rasa malu dengan pergi dari rumah ke rumah untuk menjual produk dan menebalkan muka walaupun tahu sukar untuk orang ramai memberi kepercayaan,” kata pengasas jenama Beauty Kaseh Norbaizura Ibrahim mengenai permulaan perniagaannya.

Namun usaha dilakukan wanita ini mendatangkan hasil positif apabila orang ramai mula mengenali produknya sehingga berlaku peningkatan dalam jumlah barangan dikeluarkan.

Dia yang datang ke studio Balai Berita ditemani suami, Faizul Rohban mengakui sejak berkecimpung dalam penjualan produk kesihatan dan kecantikan keluaran sendiri, rata-rata pengguna memberi maklum balas positif.

Ini disebabkan Norbaizura memiliki Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Kolej PTPTL. Jadi tidak hairanlah jika pengetahuannya mengenai kandungan produk amat dititikberatkan.

“Saya cukup menjaga kualiti produk kerana ia membabitkan kesihatan pelanggan. Sebab itu saya menggunakan bahan semula jadi bagi memastikan tiada kesan berbahaya pada kulit wanita. Jadi pengguna tidak perlu risau kesan jangka panjang jika menggunakan produk keluaran Beauty Kaseh,” jelasnya.

Menurut wanita ini lagi, fokus utamanya adalah ingin membantu wanita supaya memiliki kecantikan luaran dan dalaman yang sekali gus meningkatkan keyakinan dan kebahagiaan dalam rumah tangga.

“Saya percaya setiap wanita ingin cantik dan kekal cergas. Ini terutama kepada wanita berkerjaya apabila mementingkan penampilan dan kesihatan supaya mereka dapat melakukan tanggungjawab sebagai isteri dan pekerja di pejabat,” katanya.

Menceritakan bagaimana mula membuka perniagaan jelas wanita kelahiran Kelantan ini, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan proses jual beli apabila membantu ibu menjual kuih di kedai.

“Saya menerima upah RM10 setiap hari. Jumlah ini sudah terasa besar ketika itu. Melihat keseronokan memegang duit sendiri saya tanamkan azam membuka perniagaan suatu hari nanti.

“Sebaik saja menamatkan pengajian, oleh kerana tidak mahu menganggur saya tekad menjual produk kecantikan orang lain dulu. Tidak sangka selama tiga tahun saya mampu mengumpul modal. Saya katakan kepada diri jika mampu menjual produk orang lain, mengapa tidak hasilkan jenama sendiri?

“Di sinilah bermulanya perniagaan saya apabila mula membuat kajian, memilih bahan semula jadi pada penghujung 2013.

“Dalam tempoh enam bulan pertama Manja Kaseh dan set penjagaan kulit dilancarkan dan diberikan percuma kepada orang ramai. Tidak sangka ramai memberikan maklum balas positif dan mengakui kedua-duanya bagus untuk kesihatan dalaman,” katanya.

SUAMI PENDORONG UTAMA

Di sebalik kejayaan Norbaizura sebenarnya dia banyak dididik suami, yang juga pengusaha restoran di Wakaf Bharu, Kelantan.

“Suami adalah tulang belakang saya selama ini. Dia perancang dan juga perencana yang baik serta tidak jemu mencari idea baru. Jadi kami sentiasa bertukar pendapat untuk menghasilkan produk yang lebih baik dan berkualiti untuk pelanggan.

“Selain itu suami sangat menjaga kualiti produk kerana pelanggan menjadi keutamaan. Sebab itu sebelum produk baru dilancarkan suami akan mencari bahan-bahan dan membuat ujian terlebih dulu. Jika mendatangkan masalah ia tidak akan dikeluarkan,” katanya.

Katanya, memang benar pada masa sekarang ramai ingin menjatuhkan perniagaan seseorang dengan mengatakan produk mengandungi bahan kimia berbahaya tetapi bukan semua kenyataan itu benar.

Bagi Norbaizura sendiri, dia sentiasa menganggap kutukan dan pelbagai kata-kata negatif yang pernah dilemparkan kepada mereka berdua menjadi pemangkin semangat untuk lebih berjaya.

“Tidak dinafikan memang kadangkala rasa lemah tetapi bila memikirkan apa yang akan saya peroleh jika terus bersikap begini saya biarkan kutukan dan kata-kata negatif ini.

“Saya percaya rezeki yang diperoleh adalah hasil usaha dan kesabaran yang tidak pernah jemu selain doa memohon rezeki daripada-Nya,” katanya.


NORBAIZURA bersama suami Faizul yang menjadi tulang belakang kejayaan selama ini.

KELUAR PRODUK BARU

Sentiasa mengikuti arus semasa dalam bidang kecantikan, Norbaizura prihatin untuk memastikan apa juga produk di bawah jenamanya diterima ramai. Begitu juga dengan rangkaian Kaseh Skin Care yang kini diberikan nafas baru menggunakan teknologi yang lebih canggih dan terkini.

Antara bahan semula jadi yang digunakan adalah kunyit putih yang diakui sejak turun-temurun sebagai bahan terbaik untuk ibu sedang berpantang.

“Wanita zaman dulu menggunakan kunyit putih sebagai minuman untuk membuang angin. Daunnya pula dibuat mandi ibu selepas bersalin manakala kunyit ditumbuk dan disapu pada kulit untuk merawat jerawat.

“Bagaimanapun, ramai wanita beranggapan krim kunyit menyebabkan kulit menjadi kuning dan mereka tidak mahu menggunakan. Mengambil kira masalah ini saya bersama suami membuat kajian mengenai kunyit putih dan menemui khasiat herba ini yang baik untuk kulit. Ia tidak membuatkan kulit menjadi kuning sebaliknya melembapkan kulit dan menjadikan wajah lebih bersinar.

“Selain itu glitter serum juga membantu menjadikan kulit lebih bercahaya dan merehatkan kulit selepas seharian memakai alat solek. Sapuannya memberikan rasa segar seperti pudina. Ia mudah dicuci dan menyerap air,” katanya.

Kesemua rangkaian produk penjagaan kulit ini sesuai untuk semua jenis kulit termasuk masalah jerawat. Apa yang penting pengguna perlu istiqamah dalam penggunaannya untuk mendapatkan hasilnya. Untuk pelanggan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kaseh Skin Care boleh menghubungi di talian 011-17848389 atau layari Facebook / Instagram Kaseh HQ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 6:00 AM