Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Memang amat menjengkelkan sekiranya ketika nyenyak tidur tiba-tiba anda mengalami simpul biawak atau tarik mengkarung pada bahagian betis. Ini menyebabkan ada di antara wanita terkejut lantas memberikan tindak balas cepat untuk bangun sambil mengurut betis mereka. Walaupun ia menyebabkan kesakitan yang teruk dan berlanjutan selama beberapa minit, namun masalah ini tidak menyebabkan gangguan kepada kehamilan anda.

Menurut Pakar Sakit Puan Hospital Pakar An-Nur, Bandar Baru Bangi Dr Wan Masliza Wan Daud, kejang kaki adalah masalah biasa ketika hamil yang kerap dialami ketika trimester kedua dan ketiga. Ia tidak diketahui puncanya, namun pakar perbidanan berpendapat ia disebabkan perubahan hormon kehamilan progesteron, yang boleh memberi kesan kepada otot kaki.

“Kejang kaki dikatakan berlaku disebabkan asid yang terkumpul dalam serat otot, yang membuatkan otot menjadi kejang. Ia terjadi secara tiba-tiba pada waktu malam terutama apabila sedang tidur atau cuaca sejuk. Ada juga wanita kerap mengalaminya ketika memandu kenderaan, menyarung seluar, melangkah menaiki tangga atau paling tragis ketika menukar posisi tidur,” katanya.


DR Wan Masliza.

Selain itu uterus (rahim) yang semakin membesar memberi tekanan ke atas salur darah besar pada kaki. Akibatnya kaki menjadi kejang. Seperti mana berlari, bersukan atau sekadar berdiri sepanjang hari boleh membuat otot anda letih, begitu juga kandungan yang sedang sarat ini.

Kekurangan nutrien dan garam seperti kalsium atau magnesium dalam darah turut menjadi punca masalah kejang kaki. Keadaan ini berlaku kerana bayi mengambil apa yang diperlukannya daripada simpanan badan terutama pada trimester kedua dan ketiga.

“Ambil makanan berkhasiat kaya kalsium dan magnesium. Minum dua gelas susu sehari untuk kesihatan bayi dalam kandungan dan juga mengelak kaki menjadi kejang,” katanya.

Apabila ia berlaku, buat regangan serta merta dengan menegakkan hujung kaki sehingga kesakitan hilang kemudian gerakkan tapak kaki perlahan-lahan. Cara ini dapat melegakan kesakitan sebelum anda boleh berjalan seperti biasa.

Cara atasi kejang kaki

Kekurangan nutrisi turut menjadi punca kejang kaki. Oleh itu ibu hamil digalakkan mengambil makanan tambahan secukupnya terutama magnesium dan kalsium.

“Bagi yang mendapatkan zat besi (dalam bentuk pil), asid folik, vitamin B kompleks dan vitamin C di klinik kesihatan, pil ini amat penting untuk mencukupkan keperluan nutrisi harian anda. Patuhi jadual dan makan suplemen ini setiap hari bagi mengelak pelbagai penyakit lain dan memastikan bayi dalam kandungan sihat,” jelasnya.

Disebabkan perut yang semakin membesar, kebanyakan ibu mengandung berasa lebih sukar bergerak dan mudah letih. Oleh itu ramai di antara mereka banyak berehat dengan berbaring atau tidur. Namun, tabiat ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan kerana kurang pergerakan boleh menjadikan wanita cenderung diserang kekejangan dan lenguh-lenguh.

“Wanita hamil digalakkan berjalan perlahan-lahan dan melakukan aktiviti ringan di rumah. Elak memanjakan diri dengan hanya tidur sepanjang hari kerana ia menyebabkan peredaran darah tidak lancar.

“Anda juga boleh melakukan senaman regangan kaki dengan berdiri satu meter dari dinding. Unjurkan kaki ke hadapan dengan tangan diregangkan untuk menyentuh dinding. Pastikan tapak kaki melekap pada lantai. Tahan selama lima saat. Ulang senaman ini selama lima minit, tiga kali sehari terutamanya sebelum masuk tidur. Elakkan tidur dengan jari-jari kaki menghala ke bawah,” katanya.

Minum air kosong secukupnya sekurang-kurangnya dua liter sehari atau lebih. Ini kerana ketika hamil wanita memerlukan cecair bagi memastikan pengaliran darah berlaku dengan lancar. Kurang air akan menyebabkan mereka sedang mendapat kejang kaki terutama pada kawasan betis.

Sekiranya kekejangan berlaku pada waktu malam dan anda sudah melakukan urutan ringan namun masih terasa sakit anda boleh merendam kaki dalam air suam atau menggunakan alat tuaman panas.


BUAT urutan menggunakan minyak panas bagi melegakannya.

“Air suam yang terkena pada kaki dapat mengurangkan kesakitan manakala perubahan suhu menjadikan otot lebih rilaks dengan itu ia dapat mengurangkan masalah ini,” katanya.

Meninggikan hujung kaki ketika tidur turut membantu mengatasi kekejangan. Caranya, gunakan bantal tambahan yang diletakkan di bawah kaki. Ini juga menjadikan tubuh lebih selesa.

“Letakkan sebiji bantal pada bawah kaki untuk menampung berat badan anda. Pastikan postur badan sentiasa dalam keadaan yang baik. Semasa duduk, elakkan tabiat melipat kaki supaya darah dapat mengalir ke bahagian kaki secara lebih menyeluruh,” katanya yang turut menasihati wanita agar memakai stokin bertekanan yang mampu mencegah kaki daripada kejang.

Di pasaran terdapat stokin yang mampu mencegah kaki daripada kejang. Apabila memakainya anda akan berasa lebih selesa dan dapat mengurangkan simpul biawak daripada kerap berlaku.

Bukan kejang biasa

Dr Wan Masliza berkata, walaupun kejang kaki dianggap normal namun ia mendatangkan bahaya sekiranya kesakitan dirasai berlarutan. Jika keadaan sakit berterusan dan terdapat bengkakan pada kaki, keadaan ini tidak dianggap sebagai kejang biasa sebaliknya boleh dikaitkan dengan trombosis vena dalam (DVT).

“DVT berlaku apabila darah terkumpul pada salur darah di bahagian kaki. Walaupun ia jarang berlaku, masalah ini adalah serius dan memerlukan rawatan segera. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan rawatan awal sekiranya kekejangan atau sakit pada betis masih berterusan dan semakin teruk,” katanya.

Bagi ibu hamil darah mudah membeku oleh itu Dr Wan Masliza menasihatkan wanita supaya banyakkan bergerak sama ada ketika hamil atau selepas melahirkan anak (dalam pantang).

“Terutama bagi yang melahirkan anak menerusi kaedah pembedahan mereka harus cuba berjalan sebaik tiub salur kencing ditanggalkan. Elakkan berbaring terlalu lama kerana ia akan menyebabkan DVT terjadi.

“Selain itu obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes turut menyumbang kepada masalah DVT. Sekiranya anda merasa kekejangan kaki yang berterusan dan kerap berlaku, atau ditandai bengkak dan sakit, seeloknya dapatkan nasihat doktor.

“Ini kerana kemungkinan anda menghidapi DVT atau darah beku yang menghalang pengaliran darah. Rawatan segera dengan suntikan ubat cair darah mampu mengelak daripada menjadi lebih kronik,” katanya.


LAKUKAN senaman ringkas dengan melunjurkan kaki agar pengaliran darah lebih lancar.

Senaman ketika kaki kejang

1. Meregang. Mula dengan luruskan kaki dan tumit dahulu. Secara perlahan-lahan lenturkan buku lali dan jari kaki anda. Ini akan berasa sakit pada mulanya tetapi kesakitannya akan hilang secara beransur-ansur.

2. Urut otot yang kejang menggunakan minyak panas.

3. Mandi air suam atau letakkan botol air panas pada kawasan kejang.

4. Berjalan mundar-mandir untuk beberapa minit membantu mengurangkan kejang.

5. Buat regangan otot betis beberapa kali sebelum tidur. Ia membantu mengelakkan kekejangan pada waktu malam.

6. Jangan berdiri untuk jangka masa yang lama atau duduk dengan kaki bersilang.

7. Gerak-gerakkan kaki dan jari kaki apabila anda duduk, di tempat kerja, pada waktu makan malam atau semasa menonton TV.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 9:18 AM