Elina Ibrahim

KEBANYAKAN usahawan sama ada yang baru atau sudah berpengalaman mengakui kepercayaan pelanggan antara perkara paling sukar diperoleh apabila berkecimpung dalam bidang ini.

Atas sebab itu, tidak hairanlah ramai peniaga sanggup mengeluarkan modal besar semata-mata memastikan dirinya juga jenama diusahakan dikenali ramai.

Perkara itu diakui anak kelahiran ibu kota, Kuala Lumpur ini yang pernah melalui saat sukar untuk membina kepercayaan pelanggan terhadap dirinya.

Kini, selepas lebih lima tahun bertapak, Elina Ibrahim, 34, mampu tersenyum gembira, walaupun tidak dikenali seperti nama besar jutawan produk kecantikan tanah air namun dia juga mempunyai pengikutnya tersendiri yang banyak membantu urusannya bergelar usahawan.

Lebih menarik, wanita ini juga mengakui, berkat kesabaran, strategi dan berguru dengan individu bertauliah membuatkan apa saja produk dijualnya dipercayai dan laku seperti ‘goreng pisang panas’.

Memulakan bicara, Elina yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Mak Jem’ dalam kalangan pengikutnya berkata, sama seperti usahawan lain, dia bermula daripada bawah bagi mengumpul pengalaman dan ilmu.

“Saya sendiri tidak menyangka mampu berada pada tahap ini sehinggakan pelanggan yang mengikuti per­kembangan saya dan perniagaan di laman sosial sanggup membeli apa saja produk atau barang yang saya jual walaupun ia sekadar bedak sejuk.

“Inilah yang dinamakan kepercayaan dan semua usahawan mahu dipercayai pelanggan supaya perniagaan berjalan dengan mudah,” katanya.

Elina berkata, dia bermula sebagai ejen satu jenama produk kecantikan yang memerlukan dia belajar kaedah tepat mendekati pelanggan.

“Sukar sebenarnya untuk mereka percayakan saya apatah lagi dengan kebanjiran pelbagai produk kecantikan di negara ini. Pada ketika itu, saya hanya menjual produk orang lain.

ELINA berbincang bersama guru dalam perniagaannya

“Saya tolak tepi semua itu, saya hanya mahu berniaga dan pada masa sama membantu ramai wanita yang mengalami pelbagai masalah kulit. Kebetulan pada ketika itu, saya juga mengalami masalah kulit wajah yang teruk dan ia memudahkan saya untuk berkongsi tip serta kaedah sesuai dengan pelanggan,” ujarnya.

Menurutnya, selepas setahun, dia mula menyedari kebanyakan pelanggan lebih senang apabila dijadikan sebagai rakan ketika proses jual beli.

“Bermula daripada situ, saya tidak wujudkan jurang antara peniaga dan pelanggan. Saya jadikan mereka semua sebagai rakan karib dan ternyata ia lebih memudahkan banyak urusan saya termasuk membantu pelanggan mendapatkan kulit yang sihat dan cantik.

“Saya bukan sekadar menjual, saya juga menjadi penasihat dan rakan mereka. Apa yang saya mahukan, pelanggan berasa senang dan tidak kekok untuk bertanyakan apa saja walaupun mengenai soal harga serta pembayaran,” katanya.

Elina berkata, kepercayaan itu semakin meningkat selepas dua tahun dia berkecimpung dalam bidang itu.

“Ketika itu saya sangat gembira kerana rata-rata pelanggan semakin mudah berurusan tanpa banyak bertanya. Apa saja yang saya jual mereka akan beli tanpa dipaksa yang menyebabkan saya berfikir sejenak untuk memiliki jenama serta produk sendiri.

“Saya kemudiannya berbincang dengan suami mengenai hasrat itu. Maka bermulalah sesi memerah otak mencari idea cara untuk menghasilkan jenama sendiri,” ujarnya.

Tidak mahu terburu-buru dalam perniagaan, Elina dan suami menjalankan kajian dan penyelidikan lebih setahun sebelum mengeluarkan produk sendiri, Elexa.

BERSAMA suami tercinta yang banyak membantu urusan hariannya.

“Penyelidikan ini lebih kepada bahan digunakan dan kesan penggunaannya. Saya tidak mahu menggunakan bahan terlarang yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada pengguna terutama dalam tempoh tertentu selepas digunakan.

“Pada masa sama, saya juga menyertai kelas perniagaan yang dijalankan individu bertauliah iaitu Sharifuddin Muda supaya proses perniagaan ini berjalan dengan lancar apabila banyak membimbing saya sehingga ke hari ini. Saya yakin setiap usahawan itu perlukan guru kerana kadangkala kita boleh hilang arah sekiranya tidak diajar atau ditegur,” katanya.

Kata Elina, penghasilan produknya itu bukan sekadar bermotifkan keuntungan semata-mata kerana dia lebih kepada usaha dalam membantu wanita terutama suri rumah menjana pendapatan.

“Saya tidak mahu syok sendiri, saya berusaha membantu lebih ramai wanita untuk memperoleh pendapatan dengan menjadi dropship, ejen dan stokis sekali gus menjadi rakan.

“Seronok apabila dapat membantu orang lain terutama yang sangat memerlukan wang. Ini juga yang sering saya ingatkan kepada semua pengikut di laman sosial supaya mencari cara untuk menjana kewangan sendiri selain bijak merebut peluang,” ujarnya.

Elina berkata, dia juga bersyukur kerana hasil susah payahnya sedikit sebanyak terbayar apabila dia semakin dipercayai pelanggan yang diang­gap sebagai rakan karibnya.

“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip jika kita mudahkan orang, urusan kita akan dipermudahkan dan saya berharap urusan perniagaan saya berjalan dengan lancar hari demi hari,” katanya mengakhiri bicara.

-Siti Nadirah Hafidzin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 11:45 AM