BERSAMA sebahagian kakitangan yang membantu melancarkan urusan kedai.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SETIAP penunggang motosikal sama ada motosikal biasa, berkuasa tinggi atau untuk sukan lasak mesti menitikberatkan aspek keselamatan terutama yang menyertai aktiviti konvoi.

Ini termasuk memakai kelengkapan keselamatan seperti topi keledar, cermin mata, sarung tangan, kasut but, jaket, pelindung dada, pelindung leher, tali pinggang dan sarung pelindung lutut serta siku yang penting untuk melindungi diri jika berlaku kemalangan.

Contohnya, jaket motosikal amat penting untuk penunggang motosikal berkuasa tinggi. Ini kerana jaket jenis ini mempunyai pad atau pelindung di dalamnya sama ada di bahagian siku, lengan, dada dan belakang.

Fungsi jaket motosikal ini ialah untuk mengurangkan risiko kecederaan buat penunggang sekiranya mengalami kemalangan sewaktu menunggang.

Bagaimanapun, pemilihan aksesori tulen amat digalakkan bagi memastikan jaminan kualiti dan keselamatan penunggang berbanding mendapatkan aksesori tiruan.

Meskipun kehadiran aksesori tiruan sedikit sebanyak menjejaskan pasaran aksesori keselamatan daripada jenama asli, ia tidak mematahkan semangat pengusaha kedai aksesori penunggang motosikal, Moto Gear Malaysia.

Pengusahanya, Hafiz Latib berkata, pihaknya amat menitikberatkan aspek keselamatan penunggang motosikal dan untuk itu dia memastikan penjualan aksesori keselamatan seperti topi keledar, sarung tangan dan jaket di kedainya adalah daripada pengilang dan pengeluar sah.

Secara tidak langsung, katanya, dia mahu mendidik penunggang motosikal supaya menunggang dengan lebih selamat ketika berada jalan raya.

Bukan tidak ada pihak tak bertanggungjawab yang menawarkan produk ciplak, klon atau tiruan jenama terkenal pada harga jauh lebih murah untuk ditempatkan di kedainya, namun baginya, dia tidak mahu meraih keuntungan dengan mempertaruhkan keselamatan pembeli.

Lebih-lebih lagi pengalamannya sebagai eksekutif di sebuah syarikat minyak dan gas sebelum ini, dia tidak sesekali berkompromi dalam aspek keselamatan.

“Pada awal berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi, saya akui memang sukar mencari aksesori keselamatan penunggang di negara ini. Bukan tak ada langsung, tapi pilihannya amat terhad dan itu tidak termasuk produk tiruan.

“Sebab itu, pada 2014 saya dan dua adik lelaki, Fadhli Latib, 32, serta Shahmi Latib, 30, yang turut memiliki motosikal berkuasa tinggi terfikir untuk memulakan perniagaan menjual aksesori keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, memulakan perniagaan itu tidak semudah disangka memandangkan ia membabitkan kos tinggi dan mereka awalnya hanya mampu mendapatkan barangan daripada satu jenama.

Katanya, dengan modal permulaan menggunakan duit simpanannya sendiri sebanyak RM10,000, hanya 12 helai jaket daripada pengeluar satu jenama popular Jepun dapat ditawarkan kepada pelanggan.

Ketika itu, mereka hanya beroperasi di rumah dengan kaedah jualan mulut ke mulut dan rakan penunggang motosikal lain saja.

“Cabaran seterusnya untuk mempelbagaikan produk kerana untuk mendapatkan jenama kedua, disyaratkan pembelian dengan nilai RM30,000. Saya gunakan kad kredit dengan had maksimum manakala adik pula gunakan semua duit gaji yang baru diperolehnya ketika itu.

“Balik rumah, kami fikir semula adakah tindakan ini betul, namun kami bersyukur kerana bulan pertama dapat menjual semua stok yang ada dan konsisten selama tiga bulan.

“Keuntungan yang diperoleh pula kami gunakan untuk membeli stok baru. Dalam tempoh itu, pengedar nampak kemajuan dan usaha kami lalu menawarkan pembelian stok untuk jenama lain pada nilai lebih rendah iaitu RM15,000. Ia memberi kelegaan kepada kami kerana dapat membeli lebih banyak produk daripada pelbagai jenama,” katanya.

Tahun berikutnya, mereka menyewa separuh kedai rakan yang dibahagikan pula kepada dua bahagian memandangkan sebelum ini ramai pelanggan mahu datang melihat produk dijual dan seterusnya menyewa satu lot kedai di Setapak untuk memudahkan urusan.

Menurut Hafiz, memandangkan ketika itu dia masih bekerja, pada kedua-dua adiknya itu dia bergantung harap untuk menguruskan kedai dan selepas bertapak kukuh pada 2016, barulah dia memberanikan diri meletak jawatan.

Meskipun tindakan nekad melepaskan jawatan bergaji agak lumayan, baginya masa bersama keluarga lebih memberinya kepuasan dan kini mampu menarik nafas lega selepas kedai aksesori di Taman Sri Batu Caves, Selangor itu semakin dikenali oleh penunggang motosikal khususnya.

“Pada saya, perniagaan yang diusahakan pasti tidak akan semaju ini tanpa sokongan keluarga terutamanya adik-beradik saya. Kedua-duanya sanggup membantu walaupun mereka juga terikat dengan kerjaya masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 5:00 AM