SEGERA dapatkan rawatan kecemasan sekiranya demam sawan itu berlarutan dalam tempoh lama.
Siti Nadirah Hafidzin

Panik dan mencemaskan tatkala si kecil tersayang yang sedang mengalami demam panas secara tiba-tiba kejang, mata terbeliak atau tidak sedarkan diri.

Keadaan tentu saja menjadi serba tidak kena, si ibu atau bapa terutama yang tidak mempunyai pengalaman mula tidak keruan sebelum terus membawa anak ke hospital atau klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Apabila tiba di pusat rawatan, ibu bapa dimaklumkan si kecil mengalami demam sawan yang biasanya berlaku apabila suhu badan terlalu tinggi iaitu melebihi 38.5 darjah Celsius.

Mengupas mengenai demam sawan, pegawai perubatan, Dr Mohd Hanafi Abdull Habir berkata, demam sawan biasanya berlaku kepada bayi dan kanak-kanak berusia enam bulan hingga enam tahun khususnya anak kecil yang baru mula berjalan atau masih bertatih.

“Kira-kira seorang daripada 25 kanak-kanak mengalami demam sawan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

“Hampir 30 peratus pula mengalami demam sawan berulang terutama yang mempunyai faktor risiko yang menjadi penyebab kemungkinan ia akan berulang,” katanya.

Dr Mohd Hanafi berkata, disebabkan demam sawan tidak biasa berlaku menyebabkan masih ramai ibu bapa atau penjaga yang kurang pengetahuan mengenainya.

“Biasanya bayi atau kanak-kanak yang mengalami serangan sawan tidak sedarkan diri atau tidak menunjukkan tindak balas apabila dipanggil.

“Pada masa sama, kedua-dua kaki dan tangan mereka menjadi kejang, mata juga mungkin terbeliak ke atas. Kadangkala kekejangan hanya berlaku pada sebahagian anggota badan saja seperti sebelah tangan atau kaki,” katanya.

Menurut Dr Mohd Hanafi, sawan biasanya berhenti dengan sendiri selepas dua atau tiga minit atau kurang dari tempoh itu.

“Ia jarang melebihi 10 minit. Bagaimanapun, dalam kes di mana sawan melebihi lima minit, bayi atau kanak-kanak itu perlu dibawa ke klinik atau hospital berhampiran secepat mungkin.

“Ketika sawan, mereka mungkin tercedera akibat terjatuh atau mungkin tercekik makanan atau air liur yang banyak terkumpul di dalam mulut. Kebiasaannya sawan berlaku pada hari pertama bayi atau kanak-kanak itu demam,” katanya.

DEMAM sawan membimbangkan ibu bapa.

Faktor risiko demam sawan berulang

Dr Mohd Hanafi menjelaskan, usia muda iaitu kurang dari 15 bulan ketika serangan sawan pertama antara faktor paling utama ia boleh menye­babkan sawan berulang.

“Selain itu, ia boleh berulang apabila sawan berlaku sejurus selepas demam atau ketika suhu badan adalah normal.

“Dalam pada itu, sejarah rekod kesihatan ahli keluarga terdekat terutama ibu bapa dan adik-beradik yang pernah mengalami sawan berulang juga boleh menyebabkan ia menjadi risiko kepada bayi atau kanak-kanak terbabit,” katanya.

Menurutnya, sejarah penyakit epilepsi atau sawan babi dalam kalangan ahli keluarga terdekat juga boleh menyebabkan sawan berulang.

“Majoriti kes demam sawan tidak membahayakan dan tidak ada bukti kukuh yang mengatakan sawan boleh menyebabkan kerosakan otak.

“Kajian perubatan turut mendapati kanak-kanak yang pernah mengalami demam sawan memperoleh pencapaian normal di sekolah dan mempunyai tahap kecerdasan sama seperti kanak-kanak lain yang tidak pernah mengalami masalah ini,” katanya.

Tambahnya, dalam kes yang jarang berlaku di mana sawan berlarutan sangat lama melebihi satu jam turut tidak memberi kesan kesihatan kepada kanak-kanak terbabit.

“Namun, ibu bapa perlu berhati-hati kerana tiga peratus daripada kanak-kanak yang mengalami demam sawan akan mendapat sawan babi.

“Ini termasuk kanak-kanak dengan demam sawan yang panjang, membabitkan satu bahagian badan saja atau berulang dalam masa 24 jam. Walaupun ia tidak berbahaya, langkah berhati-hati perlu diberikan terutama apabila si kecil tersayang mula demam panas bagi mengelak sebarang risiko tidak diingini berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:28 PM