SANGGUL tiruan dimasukkan dalam sebahagian rambut kemudian ditutup. Rambut disisir rapi dengan sepit rambut untuk kelihatan kemas. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Siti Zarinah Sahib

Manis sekali melihat gadis bersanggul kecil, bertambah ayu apabila mengenakan kebaya atau baju kurung Pahang menjadikan penampilan lebih klasik dan sopan.

Namun hakikatnya pada masa kini agak sukar melihat gadis bersanggul kecuali ketika menghadiri majlis tertentu seperti perkahwinan, makan malam atau penyampaian anugerah.

Ia juga dikaitkan dengan pendapat mengatakan sanggul akan menampakkan wanita lebih berusia berbanding umur sebenar mereka.

Menyangkal pendapat ini, jurusolek profesional dan pendandan rambut Yann Rifft (yann_rifft) berkata, sanggul kini bukan lagi fesyen untuk penggayaan seharian. Ia disebabkan semakin ramai wanita bertudung, faktor masa dan tidak ramai menyimpan rambut panjang.


YANN mendandan rambut model sebelum meletakkan sanggul tiruan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

“Sungguhpun sanggul bukan lagi fesyen rambut popular, ia masih relevan dalam acara tertentu. Malah, sanggul tetap menjadi pilihan dalam kalangan selebriti dan golongan kenamaan ketika menghadiri majlis rasmi,” katanya.

Walaupun masa cepat berlalu, sanggul masih menjadi dandanan pilihan ketika melangsungkan perkahwinan. Ia tampak menawan apabila dihiasi cucuk sanggul sama

ada jenis sarat atau ringkas.

Bagi wanita berambut pendek, penggunaan sanggul tiruan yang dimasukkan dalam rambut asli mampu memberikan nilai tambahan yang memperlihatkan gaya lebih klasik.

“Sebagai pendandan dan jurusolek, tugas kami adalah memastikan wanita selesa dengan dandanan diberikan. Kebiasaannya penggunaan sanggul buatan mampu memberikan nilai tambah kepada mempelai terutama yang memiliki rambut pendek atau nipis.

“Apabila sanggul palsu dimasukkan dalam rambut asli, ia akan memberikan nilai tambah kepada penampilan. Ia juga memudahkan untuk diletakkan cucuk sanggul atau sanggul lintang. Secara tidak langsung wajah yang keanak-anakan akan tampak lebih matang dan jelita menerusi dandanan sanggul ini,” katanya.

Menurut Yann, di pasaran terdapat pelbagai jenis sanggul tiruan sama ada besar, kecil, sanggul tepi atau pusing seperti roti pusing, sanggul kuih gelang, bunga ros, reben dan pintal diperbuat daripada rambut manusia atau nilon. Bagaimanapun, sanggul daripada rambut manusia lebih mahal harganya.


ANTARA jenis sanggul tiruan yang perlu ada bagi pendandan rambut. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Penggunaan jenis sanggul bergantung kepada panjang rambut, bentuk wajah dan jenis leher. Bagi wanita yang mempunyai leher pendek, sanggul di belakang kelihatan tidak cantik kerana menyebabkan si pemakainya nampak lebih pendek.

“Sebaik-baiknya letakkan sanggul di tengah kepala kerana ini akan menampakkan bentuk wajah yang runcing.

“Pun begitu, ada wajah yang tidak sesuai langsung bersanggul kerana kelihatan tua daripada usia sebenar.

Bagi golongan ini, lebih baik rambut dilepaskan saja.

“Bagi yang berwajah kecil pula, rambut boleh dikusutkan dan dibentuk menjadi sanggul bersesuaian dengan majlis yang akan dihadiri. Ia juga perlu sepadan dengan solekan dan perhiasan yang diselitkan pada sanggul,” kata Yann.


ANGGUN dan klasik dandanan menggunakan sanggul tiruan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Kebanyakan sanggul yang dijual diimport dari India dan Indonesia. Sanggul Indonesia lebih ringan dan mempunyai rekaan cantik, sementara sanggul India agak berat dan kurang menarik rekaannya.

Yann turut menunjukkan cara memakai sanggul tiruan menerusi dua jenis sanggul. Untuk gaya pertama hanya menggunakan sanggul kecil yang dimasukkan ke dalam rambut bagi memberikan nilai tambah kepada wanita.

“Untuk gaya ini sebahagian rambut dibiarkan lepas manakala rambut tepi disisir rapi dan diletakkan sepit. Untuk gaya kedua pula nampak lebih klasik menerusi sanggul besar yang diletakkan di dalam rambut. Ia sesuai untuk majlis persandingan. Boleh diperindahkan dengan cucuk sanggul atau bunga-bungaan,” katanya.


GAYA moden menggunakan sanggul nipis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Cara menyimpan sanggul:

• l Pastikan sanggul tiruan dikeluarkan secara berhati-hati daripada dalam rambut. Jangan tarik, sebaliknya keluarkan dengan cara menyelak helaian rambut dengan kemas.

• Supaya sanggul tahan lama, kemas dan tetap cantik apabila dipakai, masukkan sanggul dalam kain net dan simpan di dalam kotak mengikut ukuran.

• Simpan di tempat kering dan sekali-sekala keluarkan daripada simpanan dan dikeringkan dengan angin.

• Elakkan sanggul anda basah kerana ia menyebabkan berbau dan rosak.

• Sanggul yang sering digunakan lebih tahan berbanding sanggul yang disimpan. Oleh itu, pastikan anda menggunakan sanggul seiring dengan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 1:31 PM