GAMBAR hiasan. Batuk kokol menjangkiti kanak-kanak boleh membawa maut jika tidak dirawat.
Yusliza Yakimir Abd Talib


HATI ibu bapa mana tidak galau melihat anak kecil terkulai lemah kerana menanggung kesakitan berpanjangan akibat penyakit berjangkit seperti batuk kokol.

Penyakit yang sepatutnya sudah tiada di negara ini selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah menangani penyakit itu menerusi pemberian vaksin, kini kembali dengan beberapa kes dipaparkan di media, baru-baru ini.

Meskipun kes ini dianggap terpencil, tidak dapat dinafikan penyakit itu kembali menular disebabkan wujudnya golongan antivaksin yang menolak program imunisasi untuk anak mereka.

Batuk kokol adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria pertussis (Bordetella pertussis) yang akan menjangkiti kerongkong dan saluran pernafasan penghidapnya.

Akibatnya batuk teruk, kerap muntah dan keadaan ini mungkin berlarutan sehingga tiga bulan. Masyarakat Melayu satu ketika dulu menamakan jangkitan bakteria pertussis ini sebagai batuk kokol 100 hari.

Sifat dan bunyi batuk kanak-kanak itu menyebabkan nama batuk kokol (whooping cough) dipilih. Anak yang dijangkiti bakteria bahaya itu mengalami batuk teruk serta berpanjangan.

Menurut pakar perubatan keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, batuk yang menyeksakan itu boleh berlaku hingga beberapa minggu dan bulan. Secara klasiknya batuk itu dikenali sebagai batuk 100 hari, kerana kanak-kanak akan batuk sehingga mencecah tempoh itu.

Katanya, hasil daripada jangkitan kuman yang menyerang rongga pernafasan dan paru-paru, si pengidap akan keletihan serta tercungap-cungap untuk menarik nafas.

“Sangat menyeksakan jika kita melihat sendiri tanda yang kanak-kanak itu alami. Akhirnya, jika tidak dirawat, kematian boleh menjemput.

“Kematian akibat daripada penyakit ini kerap berlaku dalam kalangan bayi berumur di bawah enam bulan. Komplikasi pertussis yang teruk adalah sawan tarik, pendarahan dalam mata, kerosakan atau radang paru-paru dan kerosakan atau radang selaput otak (meningitis).

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan, kes kematian akibat serangan bakteria batuk kokol ini mencecah 200,000 hingga 300,000 setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, kes batuk kokol dianggarkan membabitkan 20 juta seluruh dunia dan agak menyedihkan kerana 90 peratus daripada kes itu berlaku di negara sedang membangun.

Katanya, sistem kesihatan negara berkenaan masih lagi di peringkat minima dan liputan pemberian vaksin juga tidak memberangsangkan.

Malaysia katanya tidak terlepas daripada kejadian batuk kokol ini malah data yang diperoleh daripada statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati kebanyakan negara yang mempunyai liputan vaksin DPT (difteria, pertusis dan tetanus) yang rendah, kes batuk kokol meningkat.

“Jika dilihat kes bermula 2013 hingga 2017, peningkatan kes berkali ganda. Peningkatan ini setara dengan gerakan penolakan vaksin segelintir masyarakat.

“Penolakan vaksin sejak 2013 hingga sekarang, meningkat berkali ganda. Alasan yang sudah pun diberi jawapan tuntas oleh pakar dan ahli agama mereka ketepikan.

“Mungkin terdapat agenda tertentu yang mereka perjuangkan dan mereka lebih mementingkan diri sendiri daripada bahaya yang boleh melemahkan umat,” katanya.

Menurutnya, pertussis boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

Apabila seseorang kanak-kanak mendapat pelalian pertussis yang lengkap dijangkiti kuman ini, mereka hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi.

Katanya, wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi penyakit itu sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa.

Liputan imunisasi yang tinggi ini katanya dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity).

Justeru katanya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak mendapat pelalian pertussis yang lengkap mengikut jadual ditetapkan. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak boleh diperoleh di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Remaja dan orang dewasa yang mempunyai gejala penyakit itu perlu sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin (menutup mulut) serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.

Mereka yang bergejala juga katanya dinasihatkan tidak mencium bayi kerana bayi berisiko tinggi mendapat jangkitan pertussis. Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala penyakit itu untuk mengelakkan kesan lebih buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 8:47 AM