X
VITAGEN

Kesihatan penghadaman baik adalah penting untuk mengekalkan sistem imun yang sihat kerana sekitar 80% sistem imun badan kita terletak di usus kita dan ia adalah barisan pertahanan pertama daripada jangkitan.

Malangnya, rakyat Malaysia kurang ambil berat kesihatan penghadaman mereka. Merujuk kepada statistik Fakta Kesihatan 2017 daripada Kementerian Kesihatan, Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali, Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) berkata, ”Penyakit sistem penghadaman dicatatkan sebagai penyebab keempat kemasukan hospital di hospital swasta, penyebab ketujuh kemasukan hospital di hospital kerajaan dan penyebab keenam kematian di kedua-dua hospital kerajaan dan swasta.”

Probiotik dan Keimunan

Probiotik adalah bakteria ‘baik’ yang membentuk sebahagian daripada mikroorganisma iaitu mikrobiota usus. Keseimbangan antara bakteria ‘baik’ dan bakteria ‘tidak baik’ adalah penting untuk memastikan kesihatan usus dan sistem imun yang sempurna, tambahan amalan gaya hidup yang sihat.

Probiotik seperti Lactobacillus dan Bifidobacteria mampu membantu mengekalkan keseimbangan ini. kerana ia berpotensi memberi kesan positif kepada sistem imun untuk bertindak balas terhadap sebarang penyakit.

“Bakteria baik mampu membantu sistem imun dengan membentuk halangan pada dinding usus (yang mencegah mikroorganisma yang tidak baik daripada menembusi halangan mukosal dengan mudah) dan juga memodulasi tindakan sistem imun terhadap ancaman luar,” kata Prof Madya Dr Raja Affendi.

Kajian awal menunjukkan kesan probiotik pada sistem imun seseorang dan pengaruhnya dalam pengawalan penghasilan sitokin. Sitokin adalah protein yang dirembes oleh sel badan, termasuk interferon (yang mencegah replikasi virus) dan interleukin (yang membantu mengawal tindakan imun).

“Probiotik berpotensi memberi kesan kepada sistem imun. Pertama, dengan mengaktifkan sel imun untuk mencegah sebarang jangkitan. Kedua, probiotik juga berpotensi untuk membantu mencegah tindakan sistem imun yang berlebihan. Dua mekanisme ini berpotensi menghalang penyakit seperti keradangan yang berlaku seperti penyakit usus radang (inflammatory bowel disease, IBD), alahan dan penyakit autoimun,” katanya.

Beliau menambah bahawa mekanisme utama yang menjelaskan aktiviti anti keradangan termasuk mengurangkan sitokin yang menyebabkan keradangan seperti:

➢Interleukin-6 (IL-6) yang dapat menyokong sistem imun atau menjadi punca keradangan ,

➢Interleukin-8 (IL-8) yang berperanan penting dalam perkembangan penyakit radang usus seperti IBD

Pengambilan probiotik memberi pelbagai kesan kepada sistem imun kita. Terdapat kajian menunjukkan bagaimana probiotik mengawal sistem imun kita dan seterusnya membawa kepada peningkatan imuniti terhadap penyakit yang disebabkan oleh sistem imun yang lemah atau tidak normal.

Kajian Global

Penyelidikan global ke atas probiotik dijalankan dan telah menunjukkan perkembangan positif antara probiotik dan sistem imuniti. Di Eropah, satu kajian pada kanak-kanak di pusat penjagaan, menunjukkan pengambilan probiotik Lactobacillus secara berkala setiap hari menurunkan risiko jangkitan saluran pernafasan . Satu kajian Amerika dijalankan pada orang dewasa sihat yang menerima vaksinasi influenza disusuli dengan pengambilan probiotik Lactobacillus secara berkala menunjukkan peningkatan tindakan sistem imun berbanding dewasa sihat yang tidak mengambil probiotik . Satu kajian New Zealand pula menunjukkan pengambilan probiotik secara berkala membantu mengurangkan jangkamasa dan kekerapan jangkitan kuman di kalangan pemain ragbi elit .

“Ini menunjukkan probiotik mampu membantu sistem imun kita menghadapi jangkitan, terutamanya yang tersebar menerusi membran mukosal, seperti virus influenza. Ia boleh disimpulkan bahawa pengambilan probiotik Lactobacillus berpotensi dan memberikan faedah yang baik kepada sistem imun kita,” kata Prof Madya Dr Raja Affendi.

Kajian tempatan faedah probiotik

Tahun lepas, kumpulan penyelidik PPUKM yang diketuai oleh Prof Madya Dr Raja Affendi, menyelidik keberkesanan pengambilan probiotik dan didapati pengambilan minuman susu kultur yang mengandungi strain Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei memberi kesan positif kepada tahap kesihatan di kalangan subjek tempatan.

Kajian itu mendapati pengurangan sitokin seperti interleukin-6 (IL-6) dan interleukin-8 (IL-8) dalam subjek yang menghidapi sindrom usus rengsa sembelit dan juga dalam subjek sihat. Selain itu, tahap sitokin faktor nekrosis tumor-alfa (TNF-alfa), sejenis protein kecil dikesan dalam darah yang biasanya berkait rapat dengan penyakit kronik dan akut termasuk kanser, juga berkurang.

Kajian tersebut juga menemui penambahbaikan ketara dalam kesihatan penghadaman. Antara buktinya:

➢pengurangan masa transit dalam usus sehingga 33% (antara 5-15 jam) - masa diambil untuk makanan bergerak dari mulut melalui saluran penghadaman dan disingkirkan sebagai najis

➢96% responden dilaporkan mengalami penambahbaikan simptom sembelit yang signifikan

➢45% responden menghabiskan masa yang kurang di tandas

➢36% responden tidak perlu meneran banyak di tandas

➢31% responden mengeluarkan najis lebih lembut

Gaya hidup sihat



Prof Madya Dr Raja Affendi menegaskan pengambilan probiotik sahaja adalah tidak mencukupi untuk menjaga kesihatan usus kita. Amalan seperti pemakanan sihat, senaman kerap, tidur yang mencukupi dan pengurusan stres yang baik juga adalah penting untuk memastikan tahap kesihatan usus yang optimal. “Gaya hidup sihat adalah amalan yang terbaik jika anda benar-benar mahu mengurangkan risiko penyakit dan memastikan kesihatan tidak terjejas,” katanya.

Professor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali adalah Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi. Beliau tidak terlibat, dan tidak menyokong mana-mana jenama dan produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301. Artikel ini adalah sumbangan PROGRAM PENGHADAMAN SIHAT VITAGEN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:14 AM