Yusliza Yakimir Abd Talib

Peningkatan umur menjadikan tahap kesihatan ibu bapa turut merosot. Antara masalah yang kerap berlaku dalam kalangan golongan ini adalah nyanyuk.

Seorang rakan memberitahu, tidak mudah menjaga ibu atau bapa yang nyanyuk. Banyak perkara yang dipelajarinya sepanjang empat tahun menjaga ibunya. Jika hendak ke mana-mana, ibu adalah orang terakhir yang disiapkan pakaiannya kerana sering terjadi, ibunya menukar baju berulang kali kerana masalah nyanyuk itu.

Pernah seorang rakan memberitahu dia menemui sehelai tuala baru dalam beg sandang ibunya selepas mereka singgah di beberapa kedai dan pasar raya. Hendak dipulangkan, jaraknya agak jauh dan tidak tahu kedai mana yang hendak dituju. Itu belum masuk permintaan ibu yang hendak makan berulang kali walaupun baru saja menikmati hidangan tengah hari atau malam.

Seorang rakan lain pula menceritakan kekecohan yang berlaku di rumahnya apabila ibu yang sudah lupa itu menuduh anak saudara lelakinya mencuri cincin kesayangannya.

Ia mencetuskan ‘perang dingin’ dalam keluarga yang berasakan tuduhan itu mengaibkan mereka.

Memang, menjaga ibu yang mengalami masalah ini adalah satu cabaran besar buat keluarga dan penjaga kerana keadaan itu menyebabkan perubahan fisiologi tubuh mereka antaranya kesukaran mengingat, berfikir dengan jelas, berkomunikasi bahkan menjaga diri sendiri.

Bagi anak yang menjaga ibu atau bapa dengan penyakit ini, pasti memerlukan kesabaran tinggi, namun sudah menjadi tanggungjawab kita tanpa mengira apa jua keadaan, kebajikan mereka perlu dijaga dengan sebaikbaiknya.

Tidak sedikit anak yang mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa yang nyanyuk ke rumah orang tua kerana ia dianggap ‘jalan selamat’ untuk mengelakkan mereka daripada menanggung pelbagai masalah.

Namun ramai juga yang sanggup berkorban menjaga insan yang banyak berjasa ini. Kesabaran adalah kunci utama dalam menjaga mereka.

Berikut beberapa cara yang disarankan menerusi laman web caregiver.org untuk berkomunikasi dengan ibu bapa bermasalah nyanyuk agar kedua-dua pihak gembira dan berpuas hati sekali gus memupuk hubungan harmoni dan sihat.

1. Belajar cara berinteraksi

Orang yang mahir dalam aspek komunikasi juga masih perlu belajar untuk berinteraksi dengan ibu bapa yang ada masalah nyanyuk.

Tiada orang yang dilahirkan dengan kemahiran berinteraksi dengan pesakit nyanyuk, tetapi kita boleh mempelajarinya.

Menambah baik kemahiran komunikasi dapat membantu penjaga atau anak mengurangkan tekanan dan membaiki kualiti hubungan dengan insan tersayang. Kemahiran komunikasi yang baik juga dapat meningkatkan kemampuan menangani perangai ‘sukar’ yang mungkin dihadapi ketika menjaga ibu atau bapa nyanyuk.

2. Tetapkan mood positif untuk berinteraksi

Sikap dan bahasa tubuh anda menyampaikan perasaan dan fikiran lebih kuat berbanding kata-kata. Tetapkan mood positif menerusi percakapan yang penuh hormat dan menyenangkan. Guna ekspresi muka, nada suara dan sentuhan fizikal untuk bantu sampaikan mesej dan menunjukkan perasaan.

3. Dapatkan perhatian mereka

Kurangkan gangguan dan kebisingan misalnya dengan memadamkan suis radio dan TV, tutup langsir atau pintu, atau bawa mereka ke persekitaran lebih senyap. Sebelum bercakap, pastikan anda dapatkan perhatiannya, sebut nama atau panggilannya, perkenalkan diri dan hubungan anda dengannya serta guna isyarat bukan verbal dan sentuhan untuk kekalkan fokus mereka. Jika mereka duduk, turunkan badan setara dengannya dan kekalkan hubungan mata

4. Sampaikan mesej secara jelas dan gunakan ayat yang mudah

Bercakap perlahan dan jelas, elakkan meninggi atau menguatkan suara. Jika mereka tidak faham pertama kali, guna ayat yang sama untuk mengulangi mesej atau soalan. Jika masih tidak faham, ambil masa beberapa minit untuk membina struktur ayat. Gunakan nama orang dan tempat berbanding kata ganti nama.

5. Tanya soalan ringkas dan mudah dijawab

Tanya satu soalan pada satu masa dengan jawapan ya atau tidak adalah terbaik. Elakkan pertanyaan yang memerlukan jawapan panjang atau beri terlalu banyak pilihan.

6. Dengar dengan pandangan, pendengaran dan hati

Bersabar menunggu jawapan insan tersayang. Jika mereka agar sukar beri jawapan, cadangkan mereka perkataan. Lihat isyarat bukan verbal dan bahasa tubuh dan beri maklum balas sebaiknya.

7. Ingatkan saat indah yang pernah dilakukan bersama

Mengingati masa lampau selalunya aktiviti yang menyenangkan mereka. Ramai pesakit nyanyuk mungkin tidak ingat apa yang berlaku 45 minit lalu, tapi mampu mengingat dengan jelas kehidupan mereka 45 tahun lalu.

Oleh itu, elakkan bertanya soalan yang memerlukan memori jangka pendek seperti bertanya apa yang dimakan ketika makan tengah hari sebaliknya cuba tanya soalan umum mengenai kisah silam mereka. Maklumat ini biasanya masih kekal dalam ingatan.

8. Kekalkan unsur jenaka

Gunakan jenaka apabila perlu, penghidap nyanyuk cenderung mengekalkan kemahiran sosial mereka dan biasanya merasa senang untuk ketawa bersama anda.

9. Bahagikan aktiviti anda kepada beberapa langkah atau bahagian

Ini akan memudahkan ibu bapa anda untuk terbabit dalam aktiviti yang dirancang. Anda boleh menggalakkan ibu atau bapa melakukan perkara yang dia boleh lakukan. Jika dia terlupa, beritahu langkah yang perlu diambil. Kaedah ibu bukan saja akan merangsang komunikasi bahkan akan menambah rasa kasih anda kepada insan yang banyak jasanya itu.

10. Sentiasa tunjukkan sikap prihatin

Pesakit nyanyuk sering berasa keliru, resah dan tidak pasti dengan diri sendiri. Mereka juga sering keliru antara realiti dengan perkara yang tidak berlaku. Jadi, di sinilah anda perlu memberi keyakinan kepada mereka. Elakkan daripada mengatakan mereka salah, sebaliknya beri sokongan dan keyakinan. Kadang kala dengan memegang tangannya, memeluknya dan memujinya akan merangsang ibu atau bapa membalas percakapan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 12:46 PM