PUPUR putih telur
Yusliza Yakimir Abd Talib

TELUR adalah pilihan terbaik jika anda mahu tingkatkan tahap protein dalam badan. Bukan saja sangat mudah disediakan, tapi juga sangat murah berbanding sumber protein yang lain.

Bukan itu saja, putih telur memiliki manfaat bagi kecantikan dan kesihatan kulit. Maka, tidak hairan bahan yang murah ini diamalkan sebagai rutin kecantikan sejak zaman nenek moyang lagi.

Di dalam putih telur terdapat lima komponen iaitu enzim lysozyme, riboflavin, protein, kalium dan magnesium yang sangat baik untuk wajah kita.

Protein yang terkandung di dalam putih telur boleh membantu pertumbuhan sel kulit yang baru. Jadi, wajah berupaya kelihatan lebih bersih, cerah selain memudarkan kedutan dan garis halus.

Kalium yang terkandung dalam putih telur mampu melembapkan kulit wajah jika digunakan secara rutin untuk merawat kulit.

Anda yang memiliki liang pori yang besar di wajah boleh cuba memanfaatkan putih telur dengan mencampurkan satu sudu teh putih telur bersama satu sudu perahan lemon.

Oleskan secara merata ke seluruh wajah atau di bahagian wajah yang berpori besar. Tunggu sehingga 15 minit sebelum bilas menggunakan air suam.

Rawatan ini dikatakan mampu menyusutkan saiz pori di samping mengurangkan masalah kulit berminyak jika diamalkan dua kali seminggu.

Putih telur juga dipercayai mampu menegangkan kulit wajah yang kendur dan berkedut dengan cara mengoles nipis putih telur di wajah. Biarkan seketika dan bilas bersih.

Jerawat yang muncul boleh jadi disebabkan penghasilan sebum berlebihan pada permukaan kulit. Putih telur dapat menjadi penyelesaian bagi mengatasi masalah ini.

Caranya, oleskan putih telur yang dicampurkan dengan dua titis minyak tea tree dan usapkan secara perlahan dengan hujung jari yang bersih.

Bintik hitam di wajah juga antara satu masalah besar bagi yang mengalaminya hingga boleh membuatkan keyakinan diri menurun.

Tidak perlu produk yang mahal, hanya dengan mengamalkan pupur putih telur ke wajah anda, pori di wajah, jerawat dan bintik hitam boleh berkurang.

Faktor usia mungkin akan membuat wajah semakin berkedut dan seiring pertambahan usia maka akan mula muncul garis halus. Pupur putih telur dapat menjadi penyelesaiannya.

Gunakan pupur ini sebanyak dua kali seminggu juga, kulit anda akan terasa tegang dan tampak muda.

Anda hanya perlukan tiga bahan untuk mendapatkan kulit mulus secara semulajadi dan bahan ini ada di dapur anda.

BAHAN

• Sebiji putih telur

• Setengah biji lemon (diperah dan diambil jusnya)

• 1 sudu besar madu

CARA PENYEDIAAN


1.SEDIAKAN bahan.

2.ASINGKAN kuning dan putih telur. Tinggalkan hanya putih telur.

3.PERAH lemon ke dalam mangkuk berisi putih telur.

4.CAMPURKAN madu.

5.PUKUL bancuhan sehingga agak kembang dan sapukan ke seluruh wajah dan biarkan mongering selama 10 minat sebelum dibilas bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 January 2019 @ 4:17 PM