LETAKKAN sosej di tepi sandwic bersama tomato ceri dan timun. Sajian comel sedia dibawa ke sekolah. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Siti Zarinah Sahib

SETIAP ibu pasti teruja menyediakan bekalan untuk anak ke sekolah apatah lagi jika anak pandai menghargai hasil tangan ibunya. Namun ada kala apa yang diimpikan tidak menjadi kenyataan disebabkan tidak tahu jenis menu yang boleh disediakan selain faktor kekangan masa. Sebenarnya, ibu tidak perlu membeli makanan khusus untuk sajian bento atau bekal anak.

Mereka boleh menggunakan bahan masakan yang biasa digunakan cuma perlu dipotong kepada saiz yang lebih kecil atau menggunakan acuan mengikut watak kartun animasi kegemaran anak asalkan dapat dimuatkan ke dalam bekas makan tengah hari mereka.

Bento atau bekal ini pula perlulah menggunakan warna menarik terdiri daripada nasi, roti, sayur dan buah-buahan.

Bagi Nany Adifah Abdullah Kamal, walaupun sering menyediakan bento sejak anak berusia tujuh tahun, dia juga sering merujuk Internet bagi mendapatkan idea dan resipi dalam penghasilan bento anaknya.

Sekurang-kurangnya anak tidak jemu apabila bekalan setiap hari bertukar menu dan cara hiasannya. Untuk pembaca Hati, Nany menunjukkan cara ringkas menyediakan bento sandwic ke sekolah.

Bahan-bahan:

• 2 keping roti perang

• 2 sudu tuna

• 2 sudu mayonis

• 2 batang sosej sehelai daun salad

• 5 hirisan timun

• 4 biji tomato ceri

• 2 keping keju

• Sedikit mentega untuk sapuan di atas roti

Manfaat bento:

• Makanan bersih dan berkhasiat kerana disediakan sendiri di rumah.

• Mengutamakan makanan seimbang.

• Menggunakan bahan makanan berwarna-warni dan menarik.

• Sajian lebih comel dan menarik.


1. BAHAN menghasilkan sandwic. Roti, tuna, mayonis, sosej, salad, tomato dan timun. FOTO Zunnur Al Shafiq.

2. SAPU mentega di atas roti. Letakkan tuna yang dicampur mayonis. FOTO Zunnur Al Shafiq.

3. POTONG roti menjadi dua bahagian. Letakkan salad di bawah kemudian masukkan sandwic di dalam bekas. Ambil keju menggunakan acuan Mickey Mouse letakkan di atas dua bahagian roti tadi. FOTO Zunnur Al Shafiq.

4. BENTUKKAN bahagian telinga mata dan hidung menggunakan lebihan keju tadi. FOTO Zunnur Al Shafiq.

5. REBUS sosej. Potong kepada tiga bahagian kemudian masukkan ke dalam acuan (seperti dalam gambar). FOTO Zunnur Al Shafiq.

6. AMBIL pewarna makanan hitam campurkan bersama mayonis kemudian lukis mengikut bentuk mata, hidung dan mulut. FOTO Zunnur Al Shafiq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 3:49 PM