Siti Nadirah Hafidzin

SEIRING peningkatan usia, ramai mula mengadu sakit-sakit badan. Bukan saja badan, malah kesakitan turut dirasai pada bahagian kaki, lengan, bahu, tengkuk dan kepala.

Kesakitan itu biasa dialami golongan wanita, mana tidaknya, seawal sebelum Subuh, mereka sudah bangun memulakan rutin harian yang padat.

Memasak, mengemas, membasuh pakaian sebelum menyediakan keperluan anak dan suami, semuanya dilakukan wanita tanpa mengharapkan balasan.

Tidak kiralah individu terbabit adalah suri rumah atau wanita berkerjaya, masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan tersendiri dalam menguruskan soal rumah tangga.

Rasa sakit badan yang dialami tentu saja menyebabkan tugasan harian terbantut, keadaan bertambah teruk apabila anda tidak boleh berehat walaupun keadaan diri seolah-olah hanya mampu untuk berbaring.

Hakikatnya sakit badan boleh terjadi kepada sesiapa saja terutama kepada individu yang sering kepenatan berdepan dengan rutin harian padat.

Selain perlu menjaga faktor pemakanan, wanita juga perlu memastikan diri kekal bertenaga dengan melakukan senaman secara rutin kerana ia dapat mengeluarkan peluh yang sepatutnya.

Alasan klise yang sering diungkap seperti tiada masa, tidak tahu bersenam dan tidak mempunyai peralatan mencukupi tidak lagi relevan kerana dalam zaman digital kini semuanya boleh dilakukan dengan mudah asalkan mempunyai keinginan.

Berkongsi langkah senaman untuk menguatkan stamina sekali gus mengurangkan rasa sakit badan, jurulatih kecergasan bertauliah Nurina Mohamad berkata, ramai yang menganggap kekerapan individu itu bersenam boleh menyebabkan rasa sakit badan sesudah senaman.

“Namun tanggapan itu ternyata tidak berasas, hakikatnya sakit badan yang sering dialami boleh dikurangkan dengan melakukan senaman bersesuaian secara konsisten.

“Kenali jenis senaman dan perlu berguru dengan individu bertauliah untuk kali pertama bagi memastikan tidak melakukan senaman yang salah dan memburukkan lagi keadaan diri,” katanya.

Menurut Nurina, tidak perlu mengambil masa yang lama dan hanya dalam tempoh 15 minit untuk melakukan senaman mudah ini. Apa yang penting ia mestilah dilakukan secara berterusan.

“Antara senaman yang sesuai dilakukan untuk mengurangkan rasa sakit badan adalah gabungan senaman otot dan sendi menggunakan pemberat. Tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membeli pemberat dan cukuplah dengan menggunakan botol berisi air.

“Senaman ini boleh dilakukan di mana-mana lokasi sama ada di pusat kecergasan, rumah, pejabat atau mana-mana kawasan lapang asalkan tahu langkah demi langkah yang tepat,” ujarnya.

Nurina berkata, mengamalkan senaman itu bukan saja mampu menambah stamina dan mengurangkan rasa sakit badan malah ia juga dalam masa sama dapat memantapkan punggung dan perut wanita.

“Untuk percubaan pertama, dapatkan tunjuk ajar daripada individu bertauliah dan selepas itu anda boleh melakukannya sendiri di rumah,” katanya.

Nurina berkongsi langkah demi langkah melakukan gabungan senaman bagi mengurangkan rasa sakit badan yang sering dialami kebanyakan wanita.


1. MENGGUNAKAN botol berisi air penuh 600 mililiter, berdiri tegak sambil buka kedua-dua belah kaki.

2. ANGKAT kedua-dua tangan sambil mengangkat dua botol air di tangan kanan dan kiri.

3. DALAM posisi sama, hayun tangan sambil mengangkat botol air ke atas dan ke bawah.

4. RENDAHKAN badan dan buka sebelah kaki dan bertahan.

5. TURUNKAN badan sambil tangan mencecah lantai.

6. DALAM posisi squat, cuba bertahan dalam kiraan 15.


7. BUKA kedua-dua kaki sambil rendahkan sebelah badan. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 12:02 PM