KASIH sayang Rositah tidak berbelah bahagi terhadap Nur Aisyah.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PERTAMA kali menyapa wanita ini disambut dengan senyuman manis, tanpa sedikit pun penulis menjangkakan gejolak hati yang sedang ditanggungnya saat itu.

Hati ibu mana yang tidak galau melihat bayi yang disangkakan lahir dengan cukup sifat, namun didiagnos menghidap penyakit yang boleh membawa maut.

Namun, Rositah Khames, 42, begitu bersyukur apabila anaknya yang kini berusia dua tahun setengah, Nur Aisyah Dalila Abdul Rahim menghidap jantung berlubang sejak lahir selamat menjalani pembedahan kedua Januari tahun lalu.

ARWAH Abdul Rahim dan Rositah ketika rayuan untuk dapatkan bantuan dana pembedahan untuk Nur Aisyah awal tahun lalu.

Melihat keletah Nur Aisyah yang menghiburkan dan semakin aktif selepas pulih daripada penderitaan yang ditanggung sedikit sebanyak mengubat luka di hati wanita itu.

Suasana ceria pada awalnya ketika Rositah begitu teruja bercerita mengenai kelincahan anak keduanya itu, namun bertukar sayu sebaik penulis bertanyakan perihal suaminya.

Wajah ceria Rositah bertukar mendung, air mata menggenangi tubir matanya dan dengan hela nafas yang berat wanita ini memberitahu suaminya sudah dijemput Ilahi beberapa bulan lalu.

Sungguh berat derita yang ditanggung wanita ini namun dia akur dengan kehendak takdir yang tertulis buatnya. Baginya, seberat mana pun dugaan yang dihadapinya, hidup perlu diteruskan apatah lagi dia perlu kuat demi tiga anaknya yang masih kecil.

“Memang tidak tertanggung rasanya hati ini apabila suami, Abdul Rahim Mohd Napiah meninggal di pangkuan saya akibat serangan jantung. Separuh jiwa saya ketika itu dibawa pergi bersama arwah.

“Kami baru saja berasa lega kerana Nur Aisyah yang ketika itu menjalani pembedahan kedua Januari tahun lalu semakin pulih dan aktif, tapi enam bulan selepas itu arwah pula bertemu Maha Pencipta.

NUR Aisyah ketika berjuang penyakit jantung berlubang.

“Sebagai manusia biasa yang diuji sebegitu rupa, memang tidak tertanggung peritnya memikirkan hari mendatang. Mujur saya masih ada ibu bapa dan keluarga yang tidak jemu memberi sokongan dan membantu hingga saya bangkit semula lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, anak sulung yang berusia enam tahun juga mengalami masalah gangguan spektrum autisme (ASD) dan gangguan bertutur.

Melihat ketabahan Rositah memang benar-benar memberi pengajaran berguna. Benarlah kata orang, jika kita berasakan diri susah, ramai lagi yang menghadapi ujian lebih berat dan hampir tidak terjangkau dek fikiran.

KENANGAN bersama arwah suami, Abdul Rahim ketika menyambut Aidilfitri terpahat dalam memori.

Bagi Rositah, ketiga-tiga anaknya itulah menjadi penguat semangat kala dia dirundung kesedihan. Meskipun anak sulungnya juga mengalami gangguan kesihatan, dia cuba sedaya upaya memberikan yang terbaik buat mereka tanpa suami di sisi.

“Sesekali ada juga terfikir, kenapa saya yang diberikan ujian yang berat begini, tapi saya muhasabah diri dan berpegang pada firman Allah iaitu Allah tidak akan menguji seseorang hamba melebihi batas kemampuannya.

“Ujian ini mungkin menjadikan saya insan yang lebih baik. Saya renungkan pengertian ayat itu dalam-dalam dan terimanya dengan reda,” katanya.

Mengulas mengenai penyakit Nur Aisyah, Rositah berkata, tiada simptom atau tanda penyakit itu ketika dalam kandungan hinggalah dilahirkan, jururawat mendapati badannya agak biru selepas dimandikan.

Nur Aisyah juga katanya, tidak mahu minum susu dan dia dimasukkan ke unit rawatan rapi (NICU) pada hari kedua kerana keadaannya semakin membimbangkan hingga didiagnos menghidap jantung berlubang.

Katanya, dia dan arwah suami agak sukar menerima kenyataan pada awalnya namun mereka tidak putus asa malah mahu melihat Nur Aisyah aktif seperti kanak-kanak lain.

“Siapa tidak sedih menerima berita seperti itu tapi kami positif kerana anak sepupu suami juga pernah mengalami masalah jantung berlubang. Melihatnya semakin sembuh dan aktif menguatkan keyakinan kami Nur Aisyah juga mempunyai harapan yang sama.

“Dua bulan lebih Nur Aisyah di wad di Hospital Kulim sehingga beratnya mencecah tiga kilogram barulah pembedahan pertama dijalankan. Selepas pembedahan itu keadaannya tidak pulih sepenuhnya. Nur Aisyah tidak boleh terlalu aktif kerana dia tercungap-cungap dan muntah.

“Disebabkan keadaannya itu, pembedahan kedua perlu dijalankan Januari tahun lalu, iaitu ketika umurnya setahun lebih. Alhamdulillah, Nur Aisyah semakin pulih dan dia menjalani kehidupan aktif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Menurut Rositah, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Lembah Klang. Selepas kematian suami, dia pulang ke kampung halaman di Kulim, Kedah.

Dia lega kerana pembedahan membabitkan kos RM50,000 yang menyelamatkan nyawa Nur Aisyah mendapat pembiayaan menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP. Rositah sangat bersyukur apabila anaknya terpilih menerima bantuan itu dan menjalani pembedahan ketika berusia dua bulan dan satu setengah tahun.

Meskipun masih perlu menjalani rawatan susulan katanya, dia amat bersyukur kerana dengan bantuan yang diberikan, Nur Aisyah berpeluang menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa bersyukurnya melihat Nur Aisyah kembali aktif dan ceria malah membesar dengan sempurna kini meskipun saya baru melepasi episod duka kehilangan suami tercinta.

“Hanya ucapan terima kasih buat penderma budiman kerana sumbangan anda itu dapat menyelamatkan ramai nyawa kanak-kanak seperti Nur Aisyah dan memberi sinar dalam hidup mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 8:30 AM