X
Siti Nadirah Hafidzin


PERKAHWINAN bukan saja penyatuan dua jiwa antara diri dengan pasangan malah ia membawa kepada maksud lebih meluas terutama berkaitan keluarga kedua-dua pihak.

Membina hubungan yang baik dengan keluarga mentua itu tidak hanya tertumpu kepada ibu bapa saja malah ia perlu dilakukan bersama ipar-duai, biras, sepupu dan ahli keluarga yang lain.

Ia tidak boleh dianggap perkara remeh kerana tanpa sedar pelbagai masalah boleh terjadi sekiranya hubungan dengan ipar duai tidak dilakukan seikhlas hati.

Atas faktor itu juga sering kali didengari ada antara kenalan yang mengadu mempunyai masalah dengan ipar-duai, bercanggah pendapat dengan biras atau lebih teruk sehinggakan tidak bertegur sapa berbulan-bulan lamanya.

Mengupas mengenai membina hubungan baik bersama ipar duai dan biras, kaunselor keluarga Mariam Saad berkata, berkahwin bukan sekadar menjaga hubungan bersama suami dan ibu bapa mentua malah ia lebih daripada itu kerana hubungan dengan ahli keluarga yang lain sangat memainkan peranan dalam membina keluarga bahagia.

“Ramai yang beranggapan ipar duai dan ahli keluarga yang lain bukan individu penting namun tanggapan itu ternyata silap kerana banyak hubungan suami isteri yang bermasalah kerana faktor lain termasuk ipar duai.

“Kajian mendapati hubungan baik yang dibina dengan ipar-duai turut mempengaruhi hubungan suami isteri dan ia lebih membahagiakan,” katanya.

 PUPUK hubungan baik dengan ipar.
PUPUK hubungan baik dengan ipar.

Mariam berkata, ada beberapa pihak yang tampil membuat aduan mengenai pengaruh ipar duai dalam hubungan suami isteri dan melalui pemerhatian mendapati ramai yang beranggapan hubungan bersama ipar duai tidak penting.

“Tidak kiralah bagaimana penerimaan mereka (ipar) kepada kita namun apa yang penting adalah diri sendiri. Sebagai orang yang melangkah masuk ke dalam keluarga itu, kitalah yang perlu memulakan hubungan baik bermula dengan menghantar mesej bertanya khabar.

“Mula-mula mungkin akan berasa janggal. Ini adalah perkara biasa dalam mana-mana hubungan. Namun kita perlu mengambil langkah pertama. Buang rasa malu atau ego dan cuba wujudkan kemesraan dengan ikhlas,” ujarnya.

Menurutnya, selain membina hubungan mesra, ia juga sekali gus dapat membina nama baik diri sendiri terutama di mata ahli keluarga mentua.

“Walaupun perkahwinan dibina itu tidak dibantah, hakikatnya agak sukar untuk menambat hati seluruh ahli keluarga yang lain untuk menerima diri anda seadanya.

“Cuba dan berusahalah, jangan sesekali pentingkan diri dan bersikap sombong kerana secara tidak sedar hubungan anda dan suami berisiko untuk berdepan masalah di kemudian hari,” katanya.

Best friends shopping
Best friends shopping


Mariam turut berkongsi antara inisiatif yang boleh dilakukan bagi membina hubungan baik sesama ipar duai dan ahli keluarga yang lain:

Ketahui perkara yang disukai

Cuba selidik perkara yang disukai oleh ipar duai dan pada masa sama pelajari juga perkara yang boleh menyinggung perasaan mereka. Melalui cara ini anda dapat mengelak daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh adik beradik suami.

Waktu bersama

Habiskan waktu bersama dan pilih aktiviti yang disukai sama ada berkaitan dunia masakan, hiasan, pakaian, kecantikan mahupun senaman. Pasti ada satu perkara yang boleh anda lakukan bersama mereka. Jika mereka suka aktiviti kecergasan, sertailah mana-mana acara larian ceria yang banyak dianjurkan kini. Jika tidak, anda boleh merancang untuk keluar makan dan menonton wayang bersama-sama.

Beri hadiah

Hadiah yang diberikan tidak perlulah terlalu mewah kerana paling utama adalah ikhlas. Beri hadiah kecil yang menunjukkan rasa perhatian dan mesra terutama pada ulang tahun hari kelahiran atau apabila anda pergi bercuti. Melalui cara itu, mereka akan berasa lebih disayangi dan berasa diri dihargai.

Tanya pendapat

Jangan segan untuk bertanya pendapat termasuklah tip rumah tangga atau didikan anak-anak kepada ipar duai. Mungkin mereka dapat membantu berkongsi pandangan yang berguna.

Beri bantuan ikut kemampuan

Tawarkan bantuan ketika mereka sedang mengalami masalah. Bantuan itu bukan hanya dalam bentuk kewangan namun ia juga boleh diberikan dalam bentuk nasihat atau pandangan.

Jangan jadi kaki sibuk

Ini paling penting. Sebagai ipar, jangan sesekali mencampuri urusan rumah tangga ipar duai walaupun kes terbentang di depan mata anda. Jangan juga mencuba untuk memberi nasihat walaupun melalui orang tengah jika tidak diminta kerana ia mungkin boleh memburukkan keadaan. Langkah terbaik ialah hindarkan diri daripada masalah.

Berhati-hati

Berhati-hati bukanlah bermaksud langsung tidak boleh mempercayai tetapi dalam apa juga perkara perlu ada batasnya terutama sekiranya ia membabitkan soal peribadi suami isteri. Jaga rahsia keluarga anda sebaiknya khususnya yang membabitkan soal maruah. Menjaga hubungan yang baik dengan ipar sangat penting kerana mereka juga adalah sebahagian daripada kehidupan anda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 5:00 AM
Kabinet Malaysia 2020