CINDY terharu rakan beri sokongan, galakan untuk pencapaian lebih jauh dalam kerjaya. FOTO: Nik Hariff Hassan
Yusliza Yakimir Abd Talib


Stigma segelintir masyarakat yang memandang rendah kemampuan wanita dalam apa saja termasuk kerjaya dan impian mereka seharusnya dilupuskan kerana jelas terbukti tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia.

Wanita ini antara contoh terbaik bagaimana usaha dan nekadnya menyaingi lelaki dalam bidang yang dianggap sinonim dengan golongan itu begitu membanggakan.

Malah ciri kepemimpinan anak jati Bintulu, Sarawak ini sudah menyerlah sejak menuntut di universiti apabila dipilih sebagai pengurus pasukan dalam pertandingan bertaraf antarabangsa, sembilan tahun lalu.

Cindy Lora Sagan, 31, berkata, pengalaman menguruskan pasukan bagi Cabaran Shell Eco Marathon (SEM) Asia 2010 ketika menuntut sebagai pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) amat bermakna buatnya.

Katanya, tanggungjawab yang dipikul bagi mengetuai pasukan terdiri daripada 20 pelajar dalam mereka bentuk, membina dan menguji prototaip di bengkel Fakulti Kejuruteraan UKM dan memimpin pasukan untuk memenangi anugerah sulung untuk jarak terpanjang yang dilalui untuk seliter bahan api gas petroleum cecair (479.5 kilometer) ketika itu.


CINDY sentiasa positif meskipun bekerja di persekitaran didominasi lelaki.

Kini, Cindy memegang jawatan sebagai Penasihat Peningkatan Perniagaan di Shell Middle Distillates Synthesis (SMDS), loji gas ke cecair komersial pertama dunia di Bintulu, kampung halamannya.

Sebelum itu, wanita ini turut menggalas tanggungjawab sebagai jurutera pemeriksaan kapal tekanan dan perpaipan selain jawatan dalam sokongan kecemerlangan pengeluaran serta teknologi projek khas di SMDS.

Kepakaran wanita ini turut dimanfaatkan untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan menjadi sukarelawan Shell #MyGeekMovement yang memberi tumpuan kepada pembangunan minat belia dalam bidang STEM.

Menurutnya, antara 2017 dan 2018 dia diberi peluang sebagai mentor pelajar berusia 13 dan 14 tahun di dua sekolah menengah di Bintulu termasuk sekolah lamanya, SMK Kidurong dan SMK Bintulu.

“Ketika tingkatan lima saya menyedari daripada semua mata pelajaran, subjek Fizik begitu menarik minat saya. Ketika sesi makmal, saya begitu teruja melihat bagaimana teori yang diajar dalam kelas berlaku dalam kehidupan sebenar di sekeliling kita.

“Minat ini berterusan sehingga mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Labuan dan apabila tiba masa untuk memilih bidang yang saya ingin belajar di universiti, kejuruteraan mekanikal dirasakan sesuai,” katanya.

Menurutnya, selepas tamat pengajian tahun akhir di UKM, tanpa menunggu graduasi dia giat memohon pekerjaan kerana mahu memastikan mendapat kerja segera kerana memikirkan ibu bapanya yang sudah bersara ketika itu.

Melepasi temu duga, Cindy kemudian ditawarkan jawatan sebagai jurutera pemeriksa di SMDS walaupun ketika itu dia belum bergraduasi.

“Sejak awal lagi saya sedar bidang pengajian dan kerja yang saya pilih ini didominasi lelaki. Untuk itu, apabila saya menyertai syarikat ini sebagai jurutera pemeriksa pada 2011, saya adalah jurutera wanita kedua yang menyertai pasukan sejak 1993.

“Cabaran sebenar bukanlah lelaki yang bekerjasama dengan saya kerana kebanyakan mereka adalah inklusif dan berfikir ke hadapan, tetapi cabarannya lebih kepada diri saya sendiri.

“Saya tidak membiarkan diri berasa terancam oleh persekitaran lelaki yang dominan dan sentiasa memberi tumpuan kepada hasil yang saya ingin capai.

“Shell menjadi majikan yang hebat dan sangat menyokong cabaran kesamarataan jantina dan saya berpeluang menyertai Program Pembangunan Kerjaya Shell Wanita. Ia membantu saya memahami bagaimana saya dapat memanfaatkan keperibadian untuk membuka lebih banyak potensi diri di tempat kerja,” katanya.

Menurutnya, kejayaan itu didorong sokongan kuat keluarga, rakan sekerja dan kawan rapat yang sentiasa mempercayainya, menyokong dan menggalakkan dirinya untuk mencapai lebih jauh dan memenuhi potensi diri sendiri.


PENGALAMAN sebagai jurutera mematangkan Cindy.

Tanpa mereka katanya, dia mungkin tidak akan menjadi seperti hari ini.

“Saya berharap menerusi semua peranan yang dipegang ketika menuju peningkatan dalam kerjaya, saya akan sentiasa memanfaatkan dan membina kekuatan saya sebagai profesional teknikal dan pemimpin.

“Malah saya ingin menjadi contoh bagaimana wanita boleh menjadi pasukan yang hebat di tempat kerja dan benar-benar memberi kesan kepada landskap tenaga, pembuatan dan perniagaan di samping membina masyarakat di sekeliling.

“Pada masa sama, saya harap dapat memberi inspirasi kepada wanita lain untuk memenuhi potensi mereka dan menjangkau lebih daripada apa difikirkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 6:30 AM