MERAKAM kenangan dan pemandangan indah di New Zealand. FOTO Mei Mei Chu
Intan Mas Ayu Shahimi


SENYUMAN ceria anak kelahiran Klang, Selangor ini pasti disenangi sesiapa saja. Selesa merendah diri dan ramah menyapa sesiapa saja, Mei Mei Chu sebenarnya wanita yang menjadi inspirasi ramai.

Bercerita mengenai dirinya yang dulu, Mei Mei senang mengakui kehidupannya ibarat katak bawah tempurung berbanding sekarang. Tahap pendidikannya biasa-biasa, manakala keluarganya juga dalam kalangan orang kebanyakan.

“Hanya pada usia 18 tahun, barulah saya berpeluang bekerja dan terbang ke Amerika Syarikat (AS) selama empat bulan. Bayangkan betapa jauhnya perubahan sekitar yang terpaksa didepani.

“Namun, di situlah saya mula sedar bahawa dunia luar yang dulunya dianggap menakutkan dan asing cukup menawan untuk diterokai. Saya melompat kegirangan, berguling di atas salji dan belajar pahit manis berdikari.


BERSAMA kenalan baru yang ditemui di lapangan terbang. FOTO Mei Mei Chu

“Tidak keterlaluan jika saya katakan saat itulah saya jatuh cinta pada dunia kembara. Itu cinta perjalanan pertama saya. Selepas itu saya mula menyimpan impian besar. Tidak mahu menjadi pelancong, sebaliknya saya mahu hidup, belajar dan menikmati kehidupan di AS semahu-mahunya,” katanya.

Pulang dari AS, Mei Mei mula panjang langkah. Dia mula mengintai dan mencari peluang untuk terus terbang dan merasai nikmat berkelana di negara orang.

“Peluang kedua membawa saya ke Mauritius. Saya mengikuti latihan alam sekitar di sana sebelum mengembara ke Timur Tengah. Sepanjang perjalanan ke negara orang, banyak perkara baru saya pelajari.

“Proses mengembara juga menjadikan saya seorang wanita berkeyakinan tinggi, kuat dan cekal. Lebih dari itu, perjalanan jauh mengajar saya bahawa impian meneroka dunia bukanlah perkara mustahil walaupun tiada teman kembara. Dari situ, saya terus nekad untuk mengembara kerana tahu peluang sentiasa terbuka di depan mata,” katanya.

Perjalanan paling menarik

Ketika merancang kembara solo selama dua minggu di Tonga, Mei Mei hanya mengetahui serba sedikit mengenai negara ini. Apa yang lekat di fikirannya adalah impian untuk berenang bersama paus kelasa. Namun demikian, pulau kecil berkenaan memberi kejutan besar buat dirinya.


MENDAKI mencari lokasi terbaik menikmati keindahan Guilin, China. FOTO Mei Mei Chu

“Petang itu saya berada di feri yang beroperasi 24 jam dari ibu kota Tongatapu ke Pulau Vava’u. Leka menikmati pemandangan, saya cuba bertanya kepada seorang lelaki tua, nama pulau yang kami lepasi.

“Dia juga lelaki sama yang pernah saya temui berjalan beriringan bersama isteri dan cucu perempuannya. Namun dia hanya berlalu tanpa jawapan. Hampa juga dengan sikapnya itu dan terselit anggapan dia tidak suka pengembara seperti saya. Tanpa disangka, lelaki yang saya anggap sombong ini datang kembali berjumpa saya dan mempelawa tinggal di rumahnya di Vava’u.

“Dia menjelaskan bahawa tindakan awalnya kerana mahu meminta kebenaran isteri terlebih dulu. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menawarkan penginapan di bilik tidur utama, sementara dia dan isteri tidur di ruang tamu.

“Perkara itu benar-benar membuat saya rasa terharu dan terfikir alangkah tingginya pekerti mereka yang sanggup memberikan ruang peribadi kepada tetamu. Saya pula bukanlah tetamu yang sudah mesra dengan mereka, sebaliknya baru saja dikenali dan berkenalan di atas feri. Tindakan mereka itu membuatkan saya ingin mencontohi mereka untuk berbuat baik kepada sesiapa saja walaupun orang yang tidak kita kenali,” katanya teruja.

Siapa sangka pertemuan singkat itu mampu menjalin hubungan erat. Pasangan John dan Taita menjadi ibu dan ayah wanita manis ini selama seminggu. Mereka melayannya dengan baik bagai anak sendiri.

“Saya mengikut mereka ke gereja, memasak bersama, meneroka, belajar budaya baru dan mengenali peribadi masing-masing secara dekat. Sebab itulah ia menjadi memori terindah yang sukar dilupakan,” katanya.

Mei Mei adalah blogger kembara yang berkongsi pengalaman sebagai pengembara wanita solo. Catatannya boleh dibaca di https://meimeichu.com/ .

Bina personaliti

Sedikit demi sedikit pengalaman di negara orang dikumpul buat azimat. Wanita ini tidak lagi layak dipanggil katak bawah tempurung sebaliknya boleh digelar pengembara berpengalaman. Dia meletakkan minat mengembara lebih daripada sekadar perjalanan untuk menghilangkan tekanan.

Mei Mei mencedok segala ilmu di rantau orang dan mendalami perbezaan budaya yang baginya sangat unik. Sebagai pengembara wanita, banyak cabaran dan ujian yang terpaksa ditempuh. Paling berat adalah tentangan keluarga sendiri.

“Apabila saya maklumkan hasrat untuk mengembara secara solo 10 tahun lalu, mereka tanya kembali, adakah saya sedang mengalami tekanan? Bermacam persoalan timbul kerana pada mereka idea untuk berkelana solo adalah kerja gila. Mereka cadangkan supaya saya berjumpa pakar psikiatri.

“Saya terus berkecil hati mendengar saranan mereka itu. Saya rasa tidak adil. Selalu timbul rasa tidak puas hati kerana keluarga membenarkan saudara lelaki untuk bebas mengembara, sedangkan saya terpaksa duduk di bawah tempurung, terperuk di sini.

“Jalan keluar adalah dengan merahsiakan rancangan kembara saya. Sebelum berangkat, saya hanya katakan perjalanan selama sebulan di Mesir dan Jordan bersama beberapa kawan. Selepas tiba di Mesir barulah saya beritahu ia adalah perjalanan solo. Memang ia kerja gila. Tolong jangan contohi tindakan ini,” katanya tertawa.


KEMBARA solo pertama di Jordan. FOTO Mei Mei Chu

Apapun kata Mei Mei, dia berbangga dengan keberanian dan keyakinan yang diraih sepanjang meneroka dunia. Baginya, dia adalah kombinasi dari setiap pengalaman yang diraih sepanjang mengembara.

“Meneroka dunia memberi inspirasi kepada sesiapa saja. Hakikatnya, mengembara juga banyak pahit maung yang perlu ditelan. Saya pernah dirompak, dikejar, ditipu dan diganggu secara seksual. Semua ini mendewasakan saya dan mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Namun apa yang menariknya, saya jadi wanita berkeyakinan. Tambahan semua pengalaman ini tidak dapat dijual beli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 5:30 AM