AIMAN disiplin menjaga wajah seperti pencuci muka, pelembap dan pemakaian krim pelindung matahari.
Intan Mas Ayu Shahimi


MANIS tersenyum saat disapa, wanita ini tidak sombong tatkala diajak bercerita. Kata Aiman Safirah Che Mohd Nazri, 24, dia kini sibuk menyesuaikan diri dengan bidang kerjaya, namun tidak mahu terlepas peluang mengikuti perkembangan semasa.

Aktif memuat naik pelbagai gambar menarik di laman Instagram, Aiman kini mempunyai hampir 35,000 pengikut. Anak kelahiran Seremban ini juga dilihat memiliki personaliti santai dan tidak keterlaluan dalam bergaya.

Mengorek amalan petua kecantikan yang menjadi amalannya sejak dulu, kata Aiman, dia sebenarnya lebih sukakan produk organik berikutan memiliki jenis kulit kombinasi dan sensitif.

“Biasanya, memang susah untuk saya cari produk penjagaan diri yang benar-benar sesuai. Paling tidak, kena pastikan tiada wangian, alkohol, minyak mineral, pewarna, paraben dan SLS kerana kulit alah kepada semua bahan ini. Jadi jalan terbaik untuk merawat kulit sekali-sekala adalah dengan menggunakan bahan semula jadi,” katanya.

Menurut Aiman, dia mula memberi perhatian kepada penjagaan diri sejak memasuki sekolah berasrama ketika umur 13 tahun. Di sana dia terpaksa belajar untuk menguruskan diri sendiri dan berdikari.

“Biasanya saya memang memilih produk sedia ada di pasaran sebab mudah dicari dan senang dipakai. Tambahan, Aiman agak sibuk dengan hal kerja, tugasan dan komitmen di media sosial.

“Namun begitu, bahan semula jadi kesukaan saya tetap aloe vera atau daun lidah buaya. Ia sangat sesuai untuk kulit yang mudah gatal, kemerahan dan ditumbuhi jerawat,” katanya.

Bercerita mengenai rutin hariannya, anak ketiga daripada tujuh beradik ini mengakui dia tidak boleh meninggalkan pencuci muka, pelembap dan pemakaian krim pelindung matahari.

“Sebaik bangun daripada tidur, jangan terus cuci muka dengan pencuci wajah. Guna air biasa dulu dan gosok gigi. Ini kerana, ada kajian menunjukkan, jika kita membersihkan wajah pada pagi hari dengan bahan kimia seperti sabun atau produk lain, ia akan menghilangkan kelembapan semula jadi kulit. Jadi, seeloknya, ikutlah turutan yang betul.

“Dua hingga tiga kali seminggu, saya akan lakukan skrub wajah dan mengenakan pupur sebelum tidur. Selain wajah, kulit tubuh juga perlu dibelai supaya kekal lembut dan bersih.

“Skrub badan umpamanya perlu diamalkan sama kerap dengan skrub wajah. Sejak dulu, saya memang suka menyental tubuh dengan bedak bunga rambai. Selepas membilas, tubuh akan terasa lebih ringan dan segar,” katanya.

Jelas Aiman, dia sangat mengutamakan pengambilan air mencukupi untuk membantu melancarkan perjalanan darah, memastikan diri cergas dan segar serta mengelak jangkitan penyakit seperti demam.

“Ramai orang ambil mudah perkara ini. Sepatutnya, air kosong perlu diminum sekurang-kurangnya segelas untuk memulakan hari. Kemudian, sebelum sarapan, seeloknya minum air lemon atau teh hijau untuk sumber vitamin C dan antioksidan.

“Air lemon cukup bagus dijadikan amalan harian kerana berupaya memelihara dan meningkatkan fungsi tubuh. Selain itu, saya juga selalu mengamalkan minum air halia jika badan terasa letih.


AIMAN mula memberi perhatian kepada penjagaan diri sejak memasuki sekolah berasrama ketika umur 13 tahun.

“Minuman ini boleh membantu membuang angin dalam badan, mengurangkan tekanan dan paling utama dapat menaikkan lagi seri wajah,” katanya.

Sebagai orang yang aktif di media sosial, Aiman berkata, dia sangat mengambil berat imej dan penampilan diri. Justeru, sebelum memulakan solekan, dia akan menuam wajah dengan ais supaya tampak lebih segar dan solekan tahan lama.

“Untuk wajah cantik berseri, selalunya saya mengamalkan doa ringkas setiap kali sebelum mencuci muka dan berwuduk. Selebihnya, jangan tidur lewat dan jaga pemakanan.

“Bagi wanita berkulit sensitif seperti saya, kita kena tahun apa punca alahan. Adakah disebabkan persekitaran atau makanan. Begitupun, saya selalu cadangkan sapuan aloe vera pada kulit yang terjejas dan minum air lemon untuk membantu mengurangkan kegatalan, kemerahan serta radang kulit. Lebih-lebih lagi kalau ia menyerang wajah,” katanya.

TIPS KECANTIKAN AIMAN

1. Banyakkan meminum air kosong.

2. Pakai pelembap dan krim perlindungan matahari sebelum keluar rumah.

3. Selalu bawa semburan wajah, terutama dalam keadaan cuaca panas sekarang.

4. Bersihkan muka dengan penanggal mekap sebelum mencuci wajah.

5. Amalkan membasuh muka dengan air sejuk.

6. Amalkan pemakaian pupur dua hingga tiga kali seminggu.

7. Bersenam secara rutin.

8. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman manis.

9. Gunakan topeng wajah dalam persekitaran berhabuk dan panas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:00 AM