MERAH jambu dengan perincian renda sesuai untuk wanita muda tampil bergaya.
Siti Zarinah Sahib


DALAM keadaan ekonomi yang serba mencabar, wanita semakin bijak mengatur perbelanjaan terutama dalam menyediakan persiapan menjelang Syawal. Menyedari kebanyakan wanita tidak suka berbelanja lebih mendorong Pengasas Carrissa Collection Zuriatun Zakaria menghasilkan koleksi Aidilfitri bertemakan gaya sederhana, namun nampak mewah.

Menghasilkan rekaan segar dengan rona menawan, biarpun setiap busana menampakkan kemewahan menerusi perincian manik dan batu permata, namun Zuriatun menjelaskan kesemua himpunan Carrisa Raya 2019 ditawarkan pada harga berpatutan agar lebih ramai wanita tampil anggun pada musim perayaan ini.

“Sebagai wanita saya turut berasakan pentingnya golongan ini bijak berbelanja dengan mencari padanan yang mampu menyerlahkan kejelitaan.

“Memandangkan kebanyakan busana raya dijual pada harga yang agak tinggi, daripada situ timbul idea untuk melancarkan koleksi raya dengan mengambil kira keperluan pelanggan,” katanya.


DARI kiri, rona pastel tampil sederhana menerusi potongan peplum. Corak abstrak dengan perincian manik memberikan imej segar kepada pemakai.

Koleksi ini ditujukan kepada semua wanita tanpa mengira peringkat usia. Memilih potongan kurung moden dipadankan kain kembang payung dengan tambahan perincian manik dan renda pastinya menyerlahkan keayuan si pemakai.

Menggunakan fabrik sifon, krep moss, satin dan kapas kesemua material menjanjikan keselesaan ditambah kualiti pada fabrik menyebabkan ia selesa dipakai terutama dalam keadaan cuaca panas.

“Pilihan corak polos sesuai digayakan untuk lebaran. Namun kami turut menyediakan pakaian bercorak yang memberikan kelainan menerusi perincian pada bahagian tertentu seperti tangan dan dada sekadar menampakkan kesan menawan,” katanya.

Jelas Zuriatun, keistimewaan himpunan ini adalah pada warna yang segar dan potongan terkini sekali gus menampakkan kemewahannya. Selain warna pastel wanita ini juga adalah penggemar rona terang seperti merah, hijau dan biru serta turut menggunakan warna ini ke dalam koleksi raya kali ini.

“Untuk acara keraian khususnya hari raya wanita bebas menggayakan apa juga jenis warna kerana sama ada pastel atau terang kedua-duanya nampak manis apabila dipakai asalkan ia kena dengan susuk tubuh,” katanya.


DARI kiri, renda pilihan untuk mereka yang inginkan gaya sederhana. Tampil klasik dengan baju berpotongan kebaya.

Walaupun kesemua rekaan ini nampak mahal tetapi ia ditawarkan pada harga berpatutan. Mula menceburi perniagaan sejak Disember 2016 dalam masa tiga tahun jenama ini terus yakin memberikan padanan terbaik kepada pelanggan.

Seorang yang gemar bergaya dan suka melihat penampilan wanita yang anggun dan cantik, Zuriatun mula menghasilkan rekaan sendiri walaupun sebelum ini dia tidak berpengalaman dalam bidang fesyen.

“Saya percaya dan menyedari perniagaan ini mempunyai potensi dan permintaan tinggi. Ditambah kejayaan usahawan fesyen yang mampu membina nama dalam bidang tersendiri,” katanya yang memiliki butik fizikal di Kota Damansara, Wangsa 118, Wangsa Maju dan e-Curve.

Pada masa sama jenama ini turut mempunyai perancangan untuk menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur serta ingin mengembangkan empayarnya di Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.


GAYA merwah hasil sentuhan Carrissa Collection.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 5:30 AM