PENYERAHAN sumbangan kepada anak yatim.
Siti Nadirah Hafidzin


ISTILAH raya lebih bermakna apabila dapat berkongsi dan diraikan bersama seisi keluarga namun tidak semua individu bernasib baik dan memiliki keluarga sempurna.

Sempena meraikan Syawal yang bakal tiba, the Curve meraikan anak yatim daripada Rumah Permata Hatiku untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri berlatar belakangkan suasana kampung halaman, baru-baru ini.

Tetamu cilik disambut gembira pihak pengurusan the Curve setibanya di pusat beli-belah itu sebelum dibawa masuk ke bahagian Centre Court.

Kanak-kanak yang diraikan terpegun melihat hiasan terperinci dan realistik suasana kampung yang dihasilkan dengan efek cat air. Dikelilingi pepohon kelapa, tetamu dapat menikmati suasana kampung sebenar.

Selain itu, kempen tahun ini juga membawakan aspek interaktif di mana permainan tradisional seperti congkak, batu seremban dan ceper disediakan untuk menghiburkan semua pihak. Anak-anak yatim tampak sungguh teruja dan seronok mencuba permainan tradisional ini buat kali pertama!


KENANGAN ketika program.

Bagi acara kemuncak, Muzikal Kenangan Manis memeriahkan suasana apabila penari berbakat menghiburkan tetamu dengan tarian yang didendangkan bersama lagu hit Melayu klasik.

Pengurus Besar Kanan the Curve Jazmi Kamarudin berkata, ia adalah tradisi tahunan the Curve untuk berkongsi rezeki bersama insan yang lebih memerlukan terutama pada musim perayaan seperti ini.

“Walaupun perkongsian ini tidak sebesar mana dan hanya dengan berbuka puasa bersama, kami percaya ia dapat memberi makna kepada mereka yang hadir dan ini yang kami ingin sampaikan kepada setiap tetamu undangan.

“Kami berharap mereka dapat menikmati waktu mereka di sini bersama the Curve dan kami amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk berbuka puasa bersama anak-anak ini,” katanya.

Tambahnya, anak-anak serta penjaga dihadiahkan dengan cenderahati dan duit raya sebelum menuju restoran untuk berbuka puasa.

Bermula 3 Mei lalu hingga 6 Jun ini, bersempena kempen raya, the Curve bakal dihiasi suasana kampung berserta pelbagai permainan tradisional yang boleh dimainkan pengunjung.

Pelanggan juga boleh menyaksikan Muzikal Kenangan Manis dua kali sehari setiap hujung minggu dan pada hari raya pertama dan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 4:30 AM