TERDAPAT pelbagai risiko boleh terjadi sekiranya mengalami peningkatan berat badan mendadak ketika musim raya. GMABAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin


“TIDAK mengapa, saya sedang hamil, bolehlah saya makan apa saja juadah Aidilfitri ini. Bayi dalam kandu­ngan yang teringin nak makan lemang, ketupat dan semua jenis rendang, itulah sebab saya makan banyak macam ini”. Itu ayat paling biasa diluahkan ibu hamil apabila diajukan mengenai kenaikan berat badan mendadak ketika pemeriksaan kandu­ngan pada musim perayaan.

Hakikatnya, ramai ibu hamil yang tersalah anggap dengan berasakan dirinya boleh menikmati sebanyak mana juadah terutama ketika hari raya dengan alasan sedang hamil dan memerlukan makanan yang cukup.

Walaupun kebanyakan wanita yang mengalami penambahan berat badan mendadak ketika hamil dapat melalui kelahiran tanpa masalah, ramai tidak sedar, situasi itu boleh meningkatkan risiko dan komplikasi kepada ibu serta juga bayi dikandung.

Mengupas mengenai topik kenaikan berat badan ibu hamil ketika musim perayaan, Perunding Fertiliti dan Sakit Puan, Dr Aisyah Nasir berkata, sesetengah ibu hamil beranggapan ia satu perkara normal apabila berat badan naik mendadak sehingga melebihi tiga atau empat kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu saja.

“Tanggapan itu ternyata salah kerana ibu hamil tetap perlu menjaga diet hariannya terutama memastikan berat badan tidak naik mendadak.

“Namun, apabila tiba saja musim perayaan, ramai wanita hamil seolah-olah lupa dengan kesihatan diri dan bayi dalam kandungan yang perlu dijaga sebaik mungkin. Jumlah makanan diambil tanpa dikawal yang akhirnya membuatkan berat badan si ibu bertambah mendadak,” katanya.

Dr Aisyah berkata, setiap wanita terutama ibu hamil perlu tahu dan peka dengan Indeks Jisim Badan (BMI) sendiri. BMI akan dikira melalui berat dan ketinggian yang mana julat BMI yang sihat antara 18.5 hingga 25 dan ibu yang mempunyai BMI antara 25 hingga 29.9 dikategorikan sebagai lebih berat badan manakala 30 ke atas pula dikategorikan sebagai obes.

“Jangan sesekali ambil mudah, ramai ibu yang terlalu berselera makan ketika musim raya terutama apabila berada pada trimester kedua dan ketiga. Perlu diketahui, antara risiko paling dibimbangkan adalah ibu boleh menghidap kencing manis dan tekanan darah tidak stabil ketika hamil.

“Walaupun seperti tidak berbahaya, ketahuilah terlalu banyak risiko yang bakal dilalui bukan saja kepada ibu juga kepada anak dikandung apabila disahkan mempu­nyai masalah kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Tambahnya, antara risiko lain masalah tekanan darah tinggi dan mempunyai protein di dalam air kencing selain kencing kotor kerana terlalu banyak mengambil minuman manis.

RISIKO MEMBIMBANGKAN

Dr Aisyah berkata, sekiranya si ibu mengalami peningkatan berat badan mendadak ketika hamil ia boleh mengganggu perkembangan bayi di dalam rahim.

“Paling dikhuatiri adalah kecacatan dan masalah tulang belakang bayi yang boleh berlaku sekiranya si ibu mengalami masalah berat badan namun risikonya agak rendah.

“Selain itu, risiko keguguran bawah 12 minggu juga boleh terjadi kepada ibu yang tidak menjaga berat badan selain turut berisiko mempunyai berat bayi yang besar iaitu melebihi empat kilogram,” ujarnya.

Tambahnya, ibu hamil juga perlu mengetahui, anda juga berdepan risiko bayi mati di dalam kandungan selain bayi juga berpotensi mengalami masalah obesiti dan kencing manis selepas dilahirkan.

“Semua yang dinyatakan ini bukan untuk menakutkan namun ia perlu diketahui oleh setiap wanita hamil bagi memastikan mereka sentiasa menjaga pemakanan dan rutin harian terutama ketika Aidilfitri yang penuh dengan godaan makanan lazat,” ujarnya.

Dr Aisyah berkongsi lang­kah yang perlu dilakukan ibu hamil yang mempunyai BMI berlebihan atau peningkatan berat badan mendadak ketika musim perayaan antaranya:

- Sentiasa beringat sebelum mengambil apa saja jenis makanan, jangan sesekali makan mengikut nafsu pada hari raya. Ini kerana keba­nyakan makanan tradisional kita mengandungi banyak lemak, minyak dan gula.

- Berbincang bersama kakitangan kesihatan me­ngenai langkah yang boleh dilakukan bagi mengurang­kan risiko kehamilan sekiranya anda berpotensi untuk mengalami peningkatan berat badan mendadak.

- Pastikan makanan yang diambil tidak terlalu berlemak terutama yang menggunakan banyak santan.

- Jaga kuantiti makanan dan snek serta berapa kerap anda makan. Jangan makan untuk ‘dua orang’.

- Makan makanan yang mengandungi serat yang tinggi seperti bijirin, kekacang, buah-buahan, sayur sayuran, beras perang dan pasta walaupun pada musim perayaan.

- Bersenam ketika hamil. Perlu mempunyai gaya hidup aktif ketika hamil terutama apabila anda menyedari sudah mengambil jumlah makanan yang berlebihan.

- Kurangkan aktiviti tidak berkualiti seperti duduk dalam tempoh jangka masa yang lama sambil menonton televisyen ataupun melayan Facebook di telefon pintar atau komputer riba selepas waktu makan.

- Pastikan anda mengambil hidangan sayur-sayuran setiap kali anda makan.

- Jangan lupa untuk sentiasa bersederhana de­ngan mengamalkan konsep suku-suku-separuh setiap kali makan walaupun hidangan enak kegemaran anda terhidang di depan mata dan tampak sangat menggoda!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 5:00 AM