AKTIVITI sensori untuk perkembangan kemahiran kanak-kanak autisme.
Yusliza Yakimir Abd Talib

MEMBESARKAN anak autistik boleh membawa banyak cabaran. Selain tekanan emosi dan kos terapi yang mahal, keluarga juga terpaksa berdepan stigma sosial dan salah tanggapan terhadap mereka.

Walaupun dilahirkan istimewa, mereka juga manusia biasa yang inginkan masa depan seperti insan normal lain termasuk mampu berdikari dengan pekerjaan yang sesuai dengan keupayaan dan kebolehan mereka.

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan sokongan Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) menganjurkan Projek Haans untuk Kesedaran Autisme.

Penganjur acara dan pelajar siswazah Fakulti Pendidikan UKM, Desiree Kaur berkata, acara itu bertujuan menyediakan platform untuk berkongsi pandangan yang berbeza bagi kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai autisme.

“Saya ibu kepada anak autistik dan berharap projek ini memberi serba sedikit pencerahan ataupun dijadikan tapak permulaan buat ibu bapa yang mungkin belum mengetahui di mana untuk mencari maklumat yang berguna untuk anak mereka,” katanya.


DR Raja Juanita (dua dari kiri) selaku moderator forum bersama Nori, Mohd Adli dan Luqman.

Menerusi program itu, sesi forum merangkumi topik keibubapaan serta bimbingan bekerja untuk anak autisme dan padanan kerja buat golongan itu selain kesedaran mengenai kepentingan sikap inklusif antara inti pati program yang memberi impak buat ibu bapa.

Antara ahli panel forum termasuk Pengasas Bersama We Rock The Spectrum Ara Damansara, Nori Abdulah yang juga ibu seorang anak lelaki autisme dan Pengasas Autism Cafe Project Malaysia, Mohd Adli Yahya dan bapa seorang remaja autisme.

Mereka turut berkongsi mengenai perjalanan sebagai ibu dan bapa kepada anak autisme, kegembiraan yang dialami bersama keluarga dan cabaran yang masih diharungi mereka.

Pakar Perkembangan Kanak-Kanak Dr Raja Juanita Raja Lope berkata, pemahaman mengenai proses diagnostik autisme amat penting kerana autisme adalah suatu spektrum di mana prosesnya berterusan.

Justeru, katanya, penerimaan ibu bapa amat penting untuk semua kanak-kanak autisme supaya dapat mencapai potensi mereka dan berdikari apabila dewasa kelak.

Pensyarah pengkhususan Pendidikan Khas di UKM, Prof Madya Dr Manisah Mohd Ali turut memberi perkongsian mengenai kepentingan menyemai sifat inklusif pada tahap awal yang mungkin membantu penyesuaian diri mereka ketika ingin mencari pekerjaan.

Dalam pada itu, juruterapi turut berkolaborasi untuk sesi ‘Messy Play’ dengan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah.

Sesi itu satu daripada aktiviti sensori yang penting dalam perkembangan kemahiran deria, motor kasar, motor halus, kognitif dan sosial serta emosi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2019 @ 5:00 AM