GOLONGAN ibu selalu dilihat kurang kompeten dan komited di tempat kerja berbanding wanita yang tiada anak.
GOLONGAN ibu selalu dilihat kurang kompeten dan komited di tempat kerja berbanding wanita yang tiada anak.
Intan Mas Ayu Shahimi

SEBAGAI anak, tentu kita sedia maklum betapa peritnya cabaran ibu bapa membesarkan zuriat mereka supaya menjadi orang berguna. Lihatlah bagaimana kita sendiri bergelut dengan bebanan kerja di pejabat setiap hari.

Inikan pula ibu bapa yang terpaksa keluar bekerja mencari nafkah buat keluarga, menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak dan menjaga kedua-dua orang tua mereka.

Tidak cukup dengan itu, cabaran dunia kini turut meletakkan ibu bapa dalam dilema yang tidak berkesudahan. Mereka terikat dengan pelbagai komitmen dan terpaksa berdepan tanggapan negatif yang secara tidak langsung mendiskriminasi kemampuan diri di tempat kerja.

Justeru, dalam menyuarakan kembali hak ibu dan bapa tertindas, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) tampil dengan hasil kaji selidik yang fokus terhadap isu berkenaan.

Menurut kajian dijalankan, lebih 40 peratus wanita hamil mengakui pernah berdepan diskriminasi di tempat kerja. Mereka dijadikan pekerja ‘lebihan,’ dinafikan kenaikan pangkat, dilanjutkan tempoh percubaan, diturunkan pangkat atau langsung dibuang kerja.

Ini dilihat selari dengan hasil kajian sekumpulan penyelidik di Cornell University. Mereka mendapati, golongan ibu dilihat kurang kompeten dan komited berbanding wanita yang tiada anak walaupun kedua-duanya setara dari segi kelulusan akademik. Inilah yang dikenali sebagai penalti keibuan (motherhood penalty). Hukuman sebegini langsung tidak wajar terhadap golongan ibu.

Apa yang dikesalkan, senario ini tidak hanya berlaku dalam kalangan wanita yang sudah memiliki anak. Bahkan insan yang bakal bergelar ibu bapa juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa diskriminasi.

Kira-kira 40 peratus wanita yang terbabit dalam kaji selidik WAO mengakui, ketika sesi temu duga mereka ditanya sama ada sedang mengandung atau merancang untuk hamil. Pihak yang menjalankan temu duga juga dikatakan kerap bertanyakan status perkahwinan wanita yang memohon kerja.

Keadaan ini berbeza dengan sesi temu duga calon pekerja lelaki. Pertanyaan mengenai status perkahwinan atau perancangan membina keluarga tidak diajukan dengan kerap kepada mereka.

LELAKI juga tidak lari daripada diskriminasi di pejabat selepas mempunyai anak.
LELAKI juga tidak lari daripada diskriminasi di pejabat selepas mempunyai anak.

Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang ramai masih skeptikal terhadap peranan wanita dalam keluarga. Mereka dianggap individu bertanggungjawab menjaga keluarga dan menguruskan segala keperluan anak-anak.

Anggapan seperti inilah yang mendiskriminasikan kemampuan wanita. Dalam sesetengah kes, keadaan ini turut memberi kesan kepada lelaki, khususnya mereka yang bergelar bapa.

Kelompok ini perlu menggalas tanggungjawab menjaga ahli keluarga. Mereka juga memerlukan cuti paterniti dan waktu kerja fleksibel untuk menguruskan anak.

Jadi, tidak dapat tidak, WAO melihat ibu bapa dan mereka yang bakal menimang cahaya mata memerlukan sokongan serta jaminan perlindungan bagi membendung diskriminasi di tempat kerja.

Cadangan pindaan Akta Kerja yang diusulkan Kementerian Sumber Manusia umpamanya, dilihat mampu mengangkat hak ibu bapa, sekali gus memperjuangkan masa depan pekerja.

Dengan pelaksanaan akta berkenaan, WAO yakin kakitangan syarikat dan pemohon kerja akan terpelihara daripada sebarang bentuk diskriminasi disebabkan kehamilan, status perkahwinan, perbezaan gender, kaum, agama, kelainan upaya dan bahasa.

Paling penting, majikan tidak lagi boleh sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja atas sebab hamil atau perlu bercuti panjang selepas melahirkan anak dilindungi undang-undang daripada diberhentikan kerja kerana mengandung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 10:06 AM