LELAKI sekarang dah pandai jaga penampilan. GAMBAR hiasan
Siti Nadirah Hafidzin


SELAIN wanita, lelaki kini juga tidak kurang hebatnya apabila membicarakan berkenaan personaliti diri. Tidak sama seperti 10 atau 15 tahun lalu, golongan itu semakin rancak dan bijak dalam soal imej serta penampilan harian. Jika diperhatikan, ada sesetengah lelaki memperuntukkan belanja lebih besar dalam penjagaan diri berbanding wanita. Sama seperti wanita, lelaki juga mahu memiliki kulit wajah sihat dan bergaya, rambut yang terurus selain penampilan yang meyakinkan.

Malah kini semakin ramai lelaki yang mahir dalam aspek itu hinggakan ada perkara yang lebih diketahuinya berbanding wanita. Senario itu tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik, apatah lagi menjelang 2020.

Cuba lihat lelaki di sekeliling anda - suami, bapa, rakan karib, rakan sepejabat mahupun kenalan, ramai yang kini tampil dengan gaya lebih bersih, wangi, segak serta ‘sedap mata memandang’.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, perunding imej dan penata rias, Nurhaya Ismail berkata, selain wajah yang sering diutamakan, lelaki juga perlu menjaga penampilan rambut serta kebersihan badan.

“Ia penting kerana lelaki era kini bukan lagi hanya tahu keluar bekerja tanpa memikirkan penjagaan diri. Soal kebersihan dan penampilan yang menyenangkan ini memberi pengaruh besar dalam kehidupan seharian sama ada di rumah mahupun di pejabat.

“Agak membanggakan apabila pada era kini semakin ramai lelaki yang sedar mengenai hal ini malah ada yang lebih teliti berbanding wanita. Jika dulu mungkin ramai beranggapan lelaki yang menjaga soal penampilan diri ini terdiri daripada lelaki yang agak ‘lembut’ namun semuanya jauh berubah kini,” katanya.


PENJAGAAN wajah setiap hari penting agar kekal bersih dan segar.

Menurut Nurhaya, tidaklah perlu keterlaluan namun golongan itu dinasihatkan memiliki pembersih wajah dan syampu sendiri yang sesuai dengan jenis kulit wajah serta kulit kepala masing-masing.

“Walaupun masih ada lelaki yang menganggap ini sesuatu yang remeh, percayalah kesannya sangat besar pada penampilan harian anda. Selain itu, jangan sesekali lupa menggunakan sabun badan setiap kali mandi bagi mengekalkan kesegaran serta menghilangkan bau badan.

“Soal kebersihan sangat penting bagi memastikan diri anda disenangi serta mudah mendampingi sesiapa saja tanpa perlu malu atau rendah diri,” ujarnya.

Menurutnya, tidak salah sesekali pergi ke spa terutama yang khusus untuk lelaki bagi rawatan wajah.

“Boleh juga gunakan topeng wajah sebelum tidur bagi membantu menyihatkan kulit dan pada masa sama melegakan tekanan.

“Lelaki juga perlu bijak memilih busana harian supaya penampilan nampak rapi. Gunakan juga minyak wangi bagi melengkapkan lagi imej diri. Jika tidak mahir, boleh dapatkan nasihat atau panduan daripada wanita terdekat seperti isteri, ibu, teman wanita atau rakan karib yang pastinya dapat membantu menyelesaikan permasalahan dialami,” katanya.

Katanya, bagi lelaki yang baru mahu berjinak-jinak untuk menjaga penampilan diri bolehlah melakukannya secara perlahan-lahan serta jangan sesekali memaksa diri.

“Walaupun saya katakan sudah ramai lelaki yang bijak dalam hal ini, masih ada lagi lelaki yang tidak mahir namun mempunyai keinginan untuk tampil segak dan bergaya dengan penampilan diri yang maskulin.

“Mulakan dengan rutin mencuci wajah kerana wajah yang bersih memberi kesan yang baik pada penampilan keseluruhan diri. Apa yang penting adalah rajin dan jangan abaikan kebersihan diri bagi mendapatkan penampilan yang diinginkan,” katanya.


JANGAN lupa pakai deodoran dan minyak wangi!

Namun, kata Nurhaya, bagi lelaki yang mahu memulakan langkah penjagaan diri, boleh cuba beberapa panduan ringkas serta mudah ini sebagai rutin harian:

- Cuci wajah setiap hari. Walaupun ia tidak dilihat sebagai perkara penting, mencuci wajah membantu membersihkan kotoran dan minyak yang boleh menyebabkan pori tersumbat selain mengakibatkan kemunculan jerawat. Pilih pencuci yang sesuai dengan kulit wajah atau segarkan dengan sedikit bauan. Pastikan pencuci yang dipilih bersifat lembut dan bebas bahan kimia berbahaya.

- Jika memiliki wajah berjerawat, pilih rawatan dan penjagaan harian sesuai bagi mengelakkan kulit bertambah teruk serta menyakitkan. Jangan malas untuk merawat wajah berjerawat jika mahukan kulit kembali sihat dan bermaya.

- Lakukan pengelupasan secara lembut pada kulit wajah dan badan sekurang-kurangnya sebulan atau dua bulan sekali yang bersesuaian dengan jenis kulit masing-masing. Tidak perlu lakukan di spa, anda boleh lakukannya di rumah dibantu isteri atau ibu. Selain wajah, bahagian siku, lutut dan kaki juga memerlukan sesi skrub bagi mengelakkan kawasan berkenaan kelihatan kusam atau kasar.

- Sapu pelembap. Pelembap bukan saja membantu menghidrat kulit, malah bagi mengelakkan kulit menjadi kering dan masalah kedutan muncul. Produk lembapan untuk lelaki kini banyak di pasaran dan pastikan pilih rangkaian yang tidak mengandungi bahan kimia terlarang serta sesuai dengan jenis kulit anda.

- Jika terdapat perubahan atau masalah pada kulit wajah yang serius, segeralah berjumpa ahli dermatologi supaya dapat mengesan masalah dialami lebih awal. Kemungkinan, tekstur kulit berubah memberi petanda kepada keadaan yang lebih serius seperti kanser kulit atau kekurangan nutrien.

- Bercukurlah supaya anda kelihatan kemas dan lebih bersih.

- Gunakan sabun mandian serta minyak wangi bagi mengatasi sebarang masalah bau badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 5:00 AM