Siti Zarinah Sahib


SATU laporan kaji selidik dijalankan sebuah badan kesihatan di Amerika Syarikat menunjukkan wanita yang mempunyai teman untuk bersenam 45 peratus lebih bermotivasi melakukannya daripada wanita yang bersenam secara bersendirian.

Jelas, sokongan (dan simpati) daripada pasangan lebih memberi motivasi untuk mencapai matlamat dan umumnya perjuangan untuk mendapatkan berat badan ideal atau mengurangkan berat badan, menjadi kurang terbeban.

Sebagai individu normal, bersenam juga ada pasang dan surutnya. Ada kala seseorang itu bersemangat melakukannya, ada masa apabila datang naluri malas menyebabkan senaman tidak diendahkan. Lama-kelamaan jika dibiarkan akan membuatkan berat badan naik semula.

Menurut pasangan adik-beradik, Maselka Masdon, 27, dan Maselza, 26, yang juga jurulatih kecergasan, senaman secara berpasangan adalah cara mencipta keseronokan tersendiri.

Ini kerana selain saling memberikan motivasi, perbualan dan gelak tawa akan memberikan semangat serta mencetuskan kegembiraan yang diinginkan. Lihat saja bagaimana permainan badminton dan tenis di antara dua sahabat yang diselang-seli senyuman serta ketawa ceria. Bukan saja peluh mengalir laju malah keceriaan yang hadir menjadikan situasi itu sangat menghiburkan.

“Lebih penting ia menyebabkan individu ingin bersenam pada setiap hari atau minggu. Ia bukan saja menyihatkan badan malah mengeratkan perhubungan di antara satu sama lain,” jelasnya.

Maselka dan Maselza yang sering melakukan senaman bersama-sama sepakat menyatakan pergerakan senaman berpasangan sama saja dengan latihan dilakukan setiap hari seperti plank atau tekan tubi. Apa yang membezakannya, ia dilakukan bersama-sama dengan sokongan antara satu sama lain.

“Dalam hal ini setiap pergerakan saling dibantu, sehingga berlaku sentuhan, pegangan tangan dan kaki yang mempunyai kekuatan tersendiri.

Bagi wanita yang baru memulakan senaman, senaman berpasangan mampu meningkatkan stamina dengan lebih berkesan.

“Ia diibaratkan mendapat panduan daripada jurulatih kecergasan namun dilakukan bersama-sama. Lama-kelamaan anda mulai mahir dan mampu melakukannya berseorangan,” kata Maselka.

Kata Maselza, senaman berpasangan adalah untuk saling memberi motivasi. Jika terbiasa melakukan seorang diri apa kata tukar posisi dan gaya dengan melakukannya secara pasangan. Ia mungkin dapat meningkatkan motivasi untuk bersenam setiap hari. Tambahan pula bagi mereka yang gemar mengenakan baju sepadan, seakan-akan seperti pasangan kembar.

Di bawah terdapat beberapa pergerakan yang mungkin menjadi inspirasi kepada mereka yang ingin bersenam bersama pasangan:

POSISI PLANK

Berada dalam posisi plank pastikan kedua tangan lurus dan kaki diluruskan ke belakang. Sentuh tangan kanan dan kiri pasangan secara bersilang di bawah kemudian sentuh di atas dengan meluruskan kedua tangan (seperti gambar 2). Lakukan secara berulang-ulang dalam kiraan lapan. Pergerakan ini bagus untuk menguatkan otot tangan dan kaki. Jika dilakukan secara konsisten anda dapat memperoleh bentuk paha dan kaki yang cantik.


GAMBAR 1 FOTO: Asyraf Hamzah

GAMBAR 2

MENCANGKUNG GAYA SUMO (SQUAT) DAN TEKAN TUBI

Squat dikenali sebagai latihan kaki yang berfungsi menggalakkan pengaktifkan seluruh otot badan. Ia juga salah satu cara terbaik untuk menguatkan otot perut. Berada dalam kedudukan squat dengan pasangan memegang kedua belah kaki pasangan. Luruskan kaki kemudian turun secara perlahan-lahan. Pasangan yang memegang kaki juga perlu berada dalam keadaan selesa. Lakukan dalam kiraan lapan dalam tiga pengulangan. Pastikan anda menjaga pernafasan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan.


GAMBAR 3

GAMBAR 4

SQUAT

Berada dalam posisi squat dengan sebelah tangan memegang tangan pasangan manakala sebelah lagi diluruskan di sisi. Tukar tangan anda kiri dan kanan tetapi masih berada dalam posisi sama. Bertahan dan buat pengulangan sebanyak lapan kali dalam dua set. Anda dapat merasakan regangan pada kaki, paha dan pinggul. Pergerakan ini bagus untuk membentuk pinggul yang menawan.


GAMBAR 5

GAMBAR 6

DUDUK BERSAMA

Berada dalam posisi duduk dengan kaki berada secara berhadapan dan dibengkokkan. Pastikan kedua tangan menyentuh tanah. Lakukan pergerakan dengan menukar kaki ke kanan dan ke kiri secara berselang-seli. Ia pastinya menimbulkan kegembiraan kepada pasangan kerana dilakukan bersama-sama. Pastikan anda tidak tertekan melakukannya. Ini kerana mereka yang baru kali pertama akan merasai ketegangan pada bahagian betis kerana perlu bertahan lama.


GAMBAR 7

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 4:30 PM
GAMBAR 8 FOTO: Asyraf Hamzah