DR Norshida
DR Norshida
Intan Mas Ayu Shahimi


MENANTI saat kelahiran anak sulung boleh menjadi momen paling indah buat pasangan suami isteri. Namun bagi sebilangan orang, penantian sebegini cukup mendebarkan.

Terbayang cakap-cakap orang mengenai sukarnya melahirkan. Biarpun sudah melakukan pelbagai persiapan dari segi mental dan fizikal, ramai wanita masih berdepan perasaan bimbang dan cemas.

Menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Norshida Brahim, proses bersalin sepatutnya dilalui dengan tenang. Keadaan ini boleh dipastikan dengan mengenal pasti perubahan, tanda dan langkah yang perlu diambil sehingga bayi dilahirkan.

Berikut antara perkongsian Dr Norshida yang boleh dijadikan panduan, khususnya bagi ibu hamil anak sulung.

BRAXTON HICKS

Simpton hendak bersalin berbeza bagi setiap wanita. Dalam peringkat awal kelahiran, ibu mungkin berasa sakit yang teruk pada bahagian bawah belakang atau pada bahagian abdomen yang disertai rasa kejang seolah-olah senggugut.

Namun jika tidak disertai rasa sakit dan lelehan mukus berwarna kecoklatan atau bercampur dengan darah, ia mungkin Braxton Hicks. Jadi, kenali simptom sebenar supaya ibu tidak penat berulang-alik ke hospital.

“Braxton Hicks lazimnya berlaku paling awal pada usia kandungan lapan bulan atau 32 hingga 36 minggu. Ibu akan merasa perut mengeras, tidak selesa dan berat di bahagian ari-ari.

“Kontraksi ini dirasakan bermula dari bahagian atas perut sampai ke bawah, tetapi tidak disertai rasa sakit. Hanya tubuh ibu yang akan berasa tidak selesa.

PENGURUSAN emosi perkara penting perlu difahami setiap wanita hamil.
PENGURUSAN emosi perkara penting perlu difahami setiap wanita hamil.

“Tetapi apabila usia kandungan mencecah 37 minggu dan perut mengeras, kontraksi hendak bersalin boleh dibezakan dengan naluri ibu itu sendiri. Tubuh akan memberitahu rasa sakit sebenar,” katanya.

Jadi, pantau dulu dan lihat bila perut akan mula mengeras serta hilang. Biasanya, ibu akan berasa lebih tidak selesa pada sebelah malam berikutan sibuk dengan kerja pada siang hari.

Namun, jika perut terus mengeras disertai rasa sakit, pantau masa kontraksi hadir dan rujuk doktor di hospital.

BILA WAKTU KE HOSPITAL?

Kata Dr Norshida, ini bergantung kepada ibu yang hamil. Sebaik-baiknya, bincangkan keadaan kandungan dengan doktor yang merawat atau memantau keadaan anda sepanjang kehamilan untuk mengetahui jangkaan bersalin. Kemudian, lihat berapa jauh jarak lokasi anda dengan hospital.

Jika berdekatan hospital, anda boleh datang apabila rasa sakit tiba 10 minit sekali. Namun, jika berada jauh, rancang perjalanan dengan mempertimbangkan risiko kesesakan lalu lintas dan perkara luar jangka lain.

KONTRAKSI BERSALIN

Badan anda akan memberitahu sama ada ia kontraksi sebenar atau tidak. Apabila kontraksi hendak bersalin datang, badan anda memberitahu rasa sakit.

Jika badan menunjukkan rasa tidak selesa, anda mungkin boleh tunggu dan pantau perubahan seterusnya. Ini kerana hanya ibu hamil saja mengetahui bagaimana sakit yang menjadi tanda untuk dia bersalin.

JAGA MASA

Perhatikan masa sakit. Jika ia datang setiap setengah jam, pantau lagi dengan merekodkan secara bertulis di kertas atau catat dalam nota telefon bimbit.

“Ketika ini, ibu sepatutnya sudah mempertimbangkan jarak lokasi dengan dengan hospital. Kalau dekat, ibu boleh datang apabila kontraksi bermula setiap 10 minit. Ambil perhatian jika kontraksi sama berulang sebanyak tiga kali. Ketika ini, ibu sepatutnya sudah menuju ke hospital,” katanya.

Pada fasa ini, kata Dr Norshida, ibu mungkin sudah mula nampak keluarnya lendir kental kecoklatan atau ada sedikit darah yang menjadi petanda berlaku bukaan rahim.

“Sesetengah orang mungkin tidak mengalami simptom ini. Jika anda melalui kontraksi tanpa tanda, tidak semestinya perlu datang ke hospital. Tetapi jika kontraksi lebih kerap dan sakit, anda perlu ke hospital segera.

“Ini mungkin agak mengelirukan bagi sesetengah orang. Perlu difahami pengalaman bersalin setiap individu adalah berbeza. Simptom dilalui mungkin sama, namun bagaimana proses kelahiran itu bermula, tidak sama.

“Sesetengah orang tidak sakit dan tiada lendir mukus, tetapi mengalami pecah air ketuban dahulu. Berdasarkan kajian, 50 peratus wanita yang mengalami pecah air ketuban akan mula rasa sakit hendak bersalin. Sebahagian lagi tidak rasa sakit dan perlu diberi lebih masa antara 18 ke 24 jam. Bagaimanapun, kalau ini terjadi, ibu perlu ke hospital segera,” katanya.

Jelas Dr Norshida, keadaan ini tidak sama dengan mereka yang mengalami kontraksi disertai keluar darah saja. Kalau ini jadi, doktor akan memeriksa keadaan ibu dan bayi terlebih dulu.

Sekiranya semua dalam keadaan baik, anda akan diberi sedikit masa. Doktor tidak akan memaksa anda bersalin dalam tempoh 24 ke 48 jam.

TENANG TAPI AKTIF

Satu-satunya perkara penting yang perlu difahami ibu hamil adalah mengenai pengurusan emosi. Ibu yang dijangka bersalin perlu tenang, tidak boleh kelam-kabut dan sentiasa aktif.

“Sekarang ini, sudah menjadi trend ibu muda, sampai usia kandungan 38 minggu, mereka akan minta sijil cuti sakit. Pada saya, ini tidak betul terutama bagi yang mengandung sulung.

“Kebiasaannya, kalau cuti, mereka akan duduk di rumah seorang dan suami keluar bekerja. Apa yang ibu buat? Mereka mungkin membelek beg, menyemak keperluan bayi berkali-kali.

“Lama-kelamaan ibu akan jadi bimbang, cemas. Itu yang kadangkala terasa macam sakit dan ajak suami ke hospital. Semua ini kesan psikologi dan kerap terjadi kepada ibu yang mengandung anak pertama,” katanya.

Perasaan tidak sabar menunggu kelahiran secara tidak langsung akan mendatangkan perasaan bimbang, risau dan cemas. Oleh itu, ibu yang masih sihat dan kuat tidak digalakkan bercuti awal.

“Kalau hendak cuti, jangan duduk rumah. Teruslah aktif, buat aktiviti bersama keluarga. Jangan duduk sahaja menunggu bila hendak bersalin.

“Kita kena tenang, relaks. Ambil masa dan beri badan tempoh untuk bersedia. Ibu kena berfikiran terbuka dan banyakkan berdoa. Minta dipermudahkan urusan bersalin dan selamat,” katanya.

BERSEDIA SECARA MENTAL

Bagaimanapun, kata Dr Norshida, ada sesetengah ibu pula sangat sibuk dengan kerja. Mereka ini selalunya akan beritahu doktor, tidak boleh bersalin lagi sebab banyak kerja yang belum disiapkan.

“Kalau ibu buat begini, memang dia tidak akan bersalin. Kira-kira 90 peratus daripada ibu yang buat macam ini memang lambat bersalin. Fokus mereka pada kerja. Jadi, secara psikologi, badan juga akan jadi tidak bersedia.

“Ini umpama doa kita sendiri. Kita kata diri tak boleh bersalin lagi, jadi lambatlah ia terjadi. Tetapi, bila sudah sedia, bercakaplah dengan bayi dan beritahu dia yang kita sudah sedia. Ibu boleh berkomunikasi dengan bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:30 AM