SUAMI tak boleh halang isteri berbakti kepada ibu bapa atas alasan hukum ikut tafsiran sendiri.
Siti Nadirah Hafidzin


SEDIH, menangis dan tertekan. Walaupun luaran kelihatan dalam keadaan baik hakikatnya ramai wanita yang sudah berkahwin mengalami dilema apabila menyentuh kebajikan dan penjagaan ibu bapa mereka.

Mana tidaknya, sebahagian suami menggunakan hukum dan prinsip Islam sebagai ketua keluarga tetapi dengan tafsiran sendiri yang tidak bertepatan nilai agama, sekali gus berlawanan ajaran syarak.

Ada yang beranggapan ibu bapa isteri tidak lagi menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan, sebaliknya mereka disuruh taat dan patuh kepada setiap arahan termasuk derhaka terhadap orang tua mereka sendiri.

Situasi itu mengakibatkan ramai wanita yang sudah berkahwin tersepit dan akhirnya mengalami tekanan emosi teruk dek tersepit antara arahan suami dengan kebajikan ibu bapa yang sudah tua serta sangat memerlukan perhatian anak.

Berkongsi pandangan dalam isu ini, pakar motivasi dan kaunselor, Nor Asiah Musa berkata, tugas menjaga ibu bapa terutama yang sudah uzur bukan saja terletak di bahu anak lelaki bahkan juga anak perempuan.

“Tanggapan anak perempuan terlepas daripada tanggungjawab menjaga ibu bapa selepas berkahwin tidak benar sama sekali.

“Setiap anak wajib berbuat baik bukan saja terhadap ibu kandung, mentua, ibu angkat, ibu tiri mahupun ibu susuan,” katanya.

Menurutnya, tidak ada sesiapa yang terlepas daripada tugas itu walaupun wanita itu sudah berkahwin namun kajian mendapati lebih 60 peratus wanita pernah mengalami dilema mengenai perkara itu.

“Bukan anak lelaki saja perlu dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang sakit. Malah kerana tanggapan ‘wajib’ itu, tugasan berkenaan diserahkan pula kepada menantu perempuan untuk menjaganya yang sama sekali tidak benar.

“Namun, terlalu banyak kes yang saya temui memaklumkan mereka tidak diizinkan suami untuk menjaga dan berbakti kepada ibu bapa yang sakit atas sebab perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya.


JANGAN buat hukum sendiri.

PERLUKAN KESEFAHAMAN

Katanya, seandainya ibu bapa kandung isteri sudah uzur atau terlantar sakit dan isteri ingin menjaganya, suami sepatutnya tidak boleh menghalang sebaliknya perlu membantu dalam menyediakan keperluan serta kebajikan mentua.

Apabila seseorang itu berkahwin, ibu bapa mentua secara automatik sama tarafnya seperti ibu bapa sendiri. Jadi, secara automatik juga mereka berada dalam tanggungjawab suami dan isteri untuk sama-sama menjaga ibu bapa berkenaan.

“Memang menjaga keperluan isteri adalah tanggungjawab suami. Namun tanggungjawab itu juga merangkumi memberi sara hidup ibu bapa isteri apatah lagi sekiranya mereka dalam kalangan orang miskin atau memerlukan bantuan perubatan.

“Nafkah itu perlu ditanggung menantu lelaki mengikut kemampuannya namun ramai yang tidak arif mengenai perkara ini. Akibatnya ada ibu bapa yang tidak diberikan sara hidup dan dibiarkan dalam kesusahan,” katanya.

Nor Asiah berkata, jangan sesekali bersikap bodoh sombong dan meletakkan sesuatu hukum mengikut perkiraan sendiri.

“Wanita yang sudah berkahwin tidak boleh mengabaikan orang tua mereka namun ramai yang terpaksa berkelakuan sedemikian kerana tidak mendapat keizinan suami.

“Kepada wanita yang berada dalam keadaan ini dinasihatkan supaya berbincang sebaik mungkin dengan suami,” katanya.

Katanya, suami yang menghalang isteri menjaga ibu bapanya apatah lagi dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, ia bermakna golongan itu memerintahkan pasangannya berbuat maksiat.

“Maksud berbuat maksiat di sini adalah perbuatan suami memutuskan hubungan ibu bapa dan anak yang hukumnya jelas haram.

“Malah suami itu sendiri sudah pun berbuat maksiat kerana tidak berbuat baik kepada kedua-dua mentuanya,” katanya.

Katanya, hakikatnya situasi itu tidak terlalu rumit sekiranya ada kesefahaman kedua-dua belah pihak.

“Suami sepatutnya beri galakan kepada isteri untuk berada di sisi ibu bapa yang sakit, bukannya merumitkan lagi keadaan.

“Jangan gunakan kuasa sebagai ketua keluarga mengikut pandangan sendiri dan membuatkan si isteri terus tertekan apatah lagi dalam keadaan ibu atau bapanya yang sedang sakit,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 5:20 AM