KONSEP guna kardigan dan pario, busana turut selit tema Melayu kontemporari.
Intan Mas Ayu Shahimi


GAYA kasual tidak terhad kepada pemakaian baju-T dan celana denim saja. Bahkan perubahan fesyen kini memberi lebih pilihan buat wanita untuk bergaya santai, namun masih anggun dan sopan.

Lihat bagaimana koleksi The People yang dibawakan jenama pakaian moden Lily Petuna mencuri perhatian penggemar fesyen semasa. Setiap helaian busananya disuntik eleman klasik, anggun, feminin, tetapi santai.

Jenama ini mula diperkenalkan sekitar November 2015 dan diasaskan pasangan suami isteri, Wan Johan Shah Eddie Shah Edward dan Nur Hidayah Zainodin.

Busananya pula hasil rekaan Muhammad Fadhlin Aziz. Menurut Nur Hidayah, The People mengetengahkan pilihan busana kasual urban unik dengan sentuhan pelbagai budaya dari negara Timur.

“Kami beri penekanan pada perincian dan potongan busana yang mengangkat gaya sopan kimono dengan ciri klasik kebaya berkolar. Ia dipadankan dengan skirt pario moden. Sementara fabriknya pula bermotifkan batik flora dan fauna,” katanya.

Jelas Nur Hidayah, berbeza dengan koleksi busana terdahulu, The People menggunakan konsep kardigan dan pario. Ia juga menyelitkan tema Melayu kontemporari dengan gabungan motif klasik dan potongan moden.

“Kebanyakan busana kasual yang kita lihat kini lebih kebaratan. Bagaimanapun, terdapat ramai pengikut fesyen kini yang sukakan gaya klasik, feminin dan santai untuk penampilan kasual mereka.

“Sebab itulah kami hasilkan koleksi wajib ada ini. Ia menepati trend pemakaian, selesa dan mampu menyembunyikan bahagian perut. Paling penting, ia boleh dipakai oleh wanita tanpa mengira saiz dan bentuk badan,” katanya.

Terdapat banyak pilihan warna popular untuk busana ini termasuk biru dan kuning terang. Selain The People, jenama ini turut menawarkan koleksi pilihan busana kasual ringkas lain seperti Bell Sleeve, Diverse Series, Troika dan Groqa.


UNIK dan selesa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:10 AM