TEROKA Perkampungan Orang Asli Sagong depan PC atau telefon.
NHAZLISHAM dan Google memetakan kawasan ‘off road’ untuk tatapan masyarakat.
NHAZLISHAM memikul Google Trekker dan menunjukkan kamera dalam gelung khas yang digunakan ketika menyelam.
GOOGLE Trekker bukan saja rakam jalan raya biasa.
Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my

Keindahan alam di Malaysia memang banyak yang tidak terjangkau dalam imaginasi manusia.

Apa yang sudah kita teroka, mengembara dan rasai kemungkinan masih kurang 20 peratus daripada yang ditawarkan Allah kepada penduduk negara ini.

Masih ada banyak kawasan, hutan dan khazanah lain sama ada di darat atau dasar laut yang masih menanti untuk menjadi lubuk untuk dinikmati keindahannya.

Lebih menarik, tidak semua khazanah atau destinasi di negara ini yang boleh diteroka namun terima kasih kepada teknologi, ia memungkinkan kita melihatnya hanya terpapar di skrin telefon atau PC.

Google melalui Street View membolehkan pengguna meneroka lokasi yang tidak terjangkau selama ini.

Malah, jika anda ingin merasai keindahan alam, hanya buka Google Maps di telefon atau PC sebelum klik pada pemandangan Street View.

Pengurus Program, Google Street View Asia Tenggara Nhazlisham Hamdan, mempunyai kaedah tersendiri membawa teknologi terbabit ke mata pengguna sekali gus memungkinkan keindahan Malaysia dekat di hati mereka.

“Sehingga hari ini kami sudah mengumpul banyak imej termasuk kawasan yang menjadi tumpuan pelancong dan tapak bersejarah.

“Kami sudah meliputi kira-kira 90 peratus di Semenanjung dan 80 peratus di Sabah serta Sarawak yang mempunyai akses kepada jalan raya,” katanya.

Namun, beliau berkata, Google perlu terus menonjolkan keunikan dalam mempersembahkan keindahan alam semula jadi kepada masyarakat di Malaysia malah menjadikannya tarikan kepada pelancong asing.

“Objektifnya ada dua, memberi peluang kepada pengguna untuk melayari keindahan secara maya dan membolehkan mereka menghargai alam sekitar,” kata Nhazlisham.

Beliau mengulas, Google Street View sudah melalui jalan di darat, puncak gunung, hutan dan permukaan laut.

“Jadi tiba masa untuk mempamerkan keunikan dan kami memilih Pulau Tioman.

“Kemudian, kami memilih pula lima kawasan selaman pada kedalaman 10 meter maksimum dan rakam foto di seluruh kawasan terbabit,” kata Nhazlisham.

Katanya, pengguna boleh memanfaatkan fungsi Street View biasa dalam laut dengan pemandangan laut yang menawan.

“Ia kali pertama dilakukan di Malaysia dan pengguna boleh skrol ke depan atau ke belakang sama seperti menggunakan Street View biasa di jalan raya,” kata Nhazlisham.

Menurutnya, lima kawasan terbabit dipilih kerana ia mempunyai pemandangan yang indah.

“Kami bukan sewenang-wenangnya masuk dalam laut kerana jika ia hanya dilakukan secara rawak, mungkin anda akan hanya nampak pasir,” katanya.

Beliau berkata, keunikan baru Street View ini bertepatan sempena Hari Kebangsaan ke-60.

“Sempena ulang tahun kemerdekaan tahun ini, sudah pasti kita boleh berbangga dengan keindahan negara yang kaya sumber alam semula jadi,” katanya.

Selepas mendapat kebenaran Jabatan Laut Malaysia, Nhazlisham berkata pasukannya meneruskan destinasi di Pulau Tioman dan mendapat sokongan untuk meneroka dan merakamkan foto Street View di pulau lain di negara ini.

Selain itu, Google Malaysia dan Malaysian Nature Society (MNS) sebelum ini pernah bekerjasama dalam aktiviti ‘Paddle For Nature’, iaitu satu ekspedisi kayak untuk mengumpul visual atau imej untuk Google Street View di sepanjang persisir pantai Semenanjung Malaysia.

Kerjasama antara Google Malaysia dan MNS berjaya kerana bukan saja rakaman imej dapat disempurnakan, malah usaha memelihara dan memulihara kebersihan persisiran pantai dapat ditingkatkan.

Jika sebelum ini ramai menggunakan Google Street View untuk mencari alamat rumah, sekolah atau kawasan kejiranan, mengapa tidak Google Street View digunakan untuk melihat kawasan yang indah dan menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman?

“Kebiasaannya ambil masa dua hingga tiga bulan sebelum seluruh imej dapat diproses dan dilihat menerusi Google Street View,” katanya.

Indahnya kawasan selam Pulau Tioman diteruskan dengan penempatan Orang Asli yang tidak pernah dijejak orang luar sebelum ini.

“Terdapat dua kawasan kampung suku Semai yang kami bawakan kepada pengguna Internet iaitu Kampung Sagong dan Ulu Semul di Raub, Pahang,” katanya.

Katanya, pasukan menggunakan Google Trekker iaitu mesin yang merekodkan perjalanan dan memetakan kawasan.

“Untuk masuk ke dalam, kita perlu berjalan kaki lebih dua jam dan sudah pasti kami berjaya bawakan pengguna lebih dekat dengan melihat kampung secara maya,” katanya.

Buat pertama kali, Google Street View menonjolkan Taman Tun Mustapha (TMP) di kawasan luar pantai utara Borneo hasil kerjasama WWF-Malaysia.

Taman itu berperanan melindungi hampir satu juta hektar terumbu karang, paya bakau, rumpai laut dan kawasan penangkapan ikan yang produktif termasuk lebih 50 pulau.

Pewartaan TMP terlaksana selepas lebih 13 tahun kerja menyiapkannya yang diketuai Taman-Taman Sabah bersama agensi kerajaan, komuniti tempatan, rakan kerja antarabangsa serta sokongan pertubuhan bukan kerajaan termasuk WWF-Malaysia.

TMP menjadi tapak pemuliharaan marin di peringkat global sekali gus mencatat sejarahnya tersendiri.

Jadi sekarang, anda sendiri boleh melihatnya lebih dekat hanya dengan skrol pada Google Maps.

Nhazlisham mengambil inisiatif memanfaatkan teknologi ringkas bagi menjadikannya realiti.

Misalnya, bagi selaman di Pulau Tioman, beliau menggunakan sepenuhnya kamera 360 Ricoh Thea yang dimuatkan dalam bekas lut sinar berbentuk bulat direka sendiri bagi dibawa menyelam.

“Kami berjaya merakam dengan menetapkan kamera untuk 45 minit iaitu tempoh selaman pada kedalaman biasa 10 meter,” katanya.

Bukan sekadar Pulau Tioman, terdapat lima pulau lain untuk diteroka termasuk Pulau Renggis, Pantai Tedau, Pantai Genting, Pulau Batu Malang dan Pulau Soyak.

Manakala bagi Google Trekker, ia dimuatkan dalam beg seberat 18 kilogram untuk program ‘off road’ yang mengandungi 15 lensa menghala ke pelbagai arah seterusnya menggabungkan imej menjadi pemandangan panorama 360 darjah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 11:41 AM