INOVASI anak muda Malaysia perlu diberi perhatian.
INOVASI anak muda Malaysia perlu diberi perhatian.
REKA Studios mempunyai idea kenderaan tanpa pemandu yang hebat.
REKA Studios mempunyai idea kenderaan tanpa pemandu yang hebat.
KENDERAAN tanpa pemandu Reka Studios untuk apa saja kenderaan.
KENDERAAN tanpa pemandu Reka Studios untuk apa saja kenderaan.
CIP kecil ciptaan Reka Studios ini mampu gegar dunia.
CIP kecil ciptaan Reka Studios ini mampu gegar dunia.
Afiq Hanif

Cara kita bergerak antara destinasi ke destinasi yang lain biasa dilakukan dengan menaiki kenderaan.

Membuka pintu, duduk, masukkan kunci dalam tempatnya dan pulas sehingga bunyi deruman enjin mula kedengaran.

Kemudian, kita memikirkan destinasi yang dituju, membuka aplikasi Waze bagi melihat anggaran masa untuk tiba ke lokasi dan bermula rutin harian sehingga pulang rumah pada lewat petang atau malam.

Pergerakan terbabit dipanggil mobiliti yang menyaksikan pergerakan kita dalam rutin dilaksanakan seperti bergerak ke sekolah, pejabat, universiti, pusat beli-belah atau hospital menaiki kenderaan.

Kemudian, kita menyaksikan evolusi perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab yang merubah kaedah mobiliti.

Tapi sifat mobiliti itu sendiri tidak bersangkut paut dengan aktiviti rutin tadi.

Misalnya, memandu kenderaan sekadar membawa kereta dari satu destinasi ke destinasi lain. Itu saja.

Namun pada masa depan, jika ia dipandang lebih meluas dan canggih, memandu juga bersangkut paut dengan aktiviti lain.

Waze, Uber dan Grab antara yang merubah senario mobiliti di dunia termasuk Malaysia.

Misalnya, anda masuk kenderaan dan maklumat lokasi, jarak, jadual, cuaca, keadaan jalan raya dan tabiat pemanduan semuanya sudah dimasukkan dalam cip yang ‘memandu’ anda bergerak pada hari terbabit.

Memang nampak komplikated, tapi bahasa mudahnya, pergerakan anda pada hari itu semuanya diautomatikkan.

Ia berkait rapat dengan Internet untuk segalanya (IoT) serta bandar pintar dan kenderaan tanpa pemandu juga antara tumpuan dalam perubahan mobiliti moden.

Meskipun masih di peringkat awal, kenderaan tanpa pemandu adalah masa depan yang diperlukan bagi masyarakat dunia.

Selain itu, cara masyarakat menggunakan teknologi mobiliti juga perlu diterapkan dengan lebih berkesan.

Pendek kata, mentaliti! Jika teknologi bersedia di depan anda namun cara berfikir masih sama, ia tidak membawa apa-apa perubahan ke arah kebaikan duni.

Misalnya, jika sebelum ini kebergantungan kepada kereta sendiri boleh disifatkan 100 peratus, ia boleh berubah, sekali gus mengurangkan kadar pengeluaran karbon hasil penggunaan petrol dan bahan api lain.

Sebelum ini, kita menaiki kereta untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain namun apabila wujud Uber dan Grab ditambah pula peluasan pengangkutan awam seperti LRT dan MRT yang menyeluruh, segalanya berubah.

Membawa kenderaan mungkin sekadar dari rumah ke pejabat manakala pergerakan seperti berjumpa klien, makan tengah hari dan sebagainya dilakukan dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi.

Terutama dalam bandar, masalah seperti kawasan letak kenderaan, caj parkir dan kesesakan lalu lintas menjadi faktor perubahan teknologi perlu dilaksanakan sepenuhnya.

Jika dulu, jarak yang terlalu dekat pun memungkinkan anda menggunakan kereta sebagai kenderaan untuk bergerak, mungkin boleh mengubahnya dengan menaiki basikal Obike atau Grab.

Mobiliti moden membolehkan pergerakan dikawal dengan lebih baik berdasarkan teknologi yang sudah ada mahu pun teknologi masa depan.

Contoh mudah, anda mempunyai sebuah kenderaan tanpa pemandu yang menumpangkan anda ke destinasi berdasarkan maklumat yang diprosesnya, datang dari sumber seperti Google Calendar atau hanya e-mel.

Kemudian, ia akan menyemak jadual perjalanan berdasarkan keadaan persekitaran seperti lalu lintas dan sebagainya sebelum menentukan perjalanan pengguna.

Di Malaysia, penggunaan kenderaan tanpa pemandu bukan mustahil meskipun ia mungkin mengambil sedikit masa.

Namun sebelum ia berlaku, perubahan ke arah IoT perlu efektif dan sistem yang menyeluruh perlu dilaksanakan ekosistem seperti kerajaan, penyedia dan pengguna.

Lebih penting sikap pengguna sendiri yang bersedia untuk berfikiran moden dan bertamadun mengelakkan salah guna bagi sistem mobiliti baru.

Teknologinya sudah ada, inovasi anak muda seperti Reka Studios perlu dimanfaatkan.

Mereka berjaya mencipta papan sirkit yang mampu mengawal kenderaan, sekali gus merealisasikan hasrat kenderaan tanpa pemandu pada masa depan.

Ciptaan papan sirkit itu lebih manis tidak memerlukan pembelian kenderaan baru, tapi boleh digunakan untuk mana-mana kenderaan.

Ia memandangkan sirkit terbabit akan membaca dan disambungkan pada pedal dan gear saja, malah sudah teruji dengan kenderaan.

Papan sirkit dengan aplikasi sedia ada boleh membaca otak manusia dan berinteraksi dengan mereka.

Misalnya, ia akan mengesan individu kerana bertindak seakan-akan mata dan memberi salam ketika individu terbabit masuk dalam kenderaan tanpa pemandu itu.

Konsep mekanikal yang boleh dimasukkan kenderaan berkomputer atau tidak, berlainan dengan konsep kenderaan Google dan sebagainya.

Namun malangnya, Reka Studios tidak memperoleh mana-mana dana dan bergantung kepada sumber pendapatan sendiri seperti mengajar kelas pengekodan, kerja membangunkan laman web dan aplikasi.

Sumber terbabit digunakan untuk membangunkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi asas syarikat.

Ketika kita terlalu memandang tinggi teknologi luar, malah cuba mendekati China untuk inovasi mereka, tanpa disedari negara sendiri juga mempunyai unik yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Jangan pula kita mengikut pepatah, ‘kera di hutan disusukan anak sendiri mati kelaparan’.

Apabila ciptaan Reka Studios terbabit mampu disepadukan dengan sistem lain seperti bandar pintar dan sebagainya, sudah pasti kita berupaya memiliki inovasi yang belum pernah dilihat orang luar.

Secara tidak langsung, ia membuka mata mengenai skil dan bakat Malaysia yang banyak terpendam sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 6:24 AM