Skip this ad x
TEASER yang mungkin digunakan untuk francais Call of Duty: Modern Warfare 4
Muhammad Saufi Hassan


FRANCAIS permainan berkonsepkan penembak pertama (FPS) Call of Duty dilaporkan sedang membangunkan siri keempat daripada episod ‘Modern Warfare’ dan dijangka akan diterbitkan pada suku pertama tahun depan.

Ia berikutan beberapa imej di laman web Call of Duty yang mempamerkan harga pra tempahan untuk francais berkenaan sekali gus menguatkan lagi khabar angin bahawa pemaju permainan itu, Infinity Ward sedang berusaha keras untuk mengembalikan semula kegemilangan Modern Warfare.

Laporan itu mendapat reaksi positif dalam kalangan peminat permainan francais berkenaan yang lebih gemar berperang secara realistik tanpa menggunakan gajet berteknologi tinggi.

Siri francais itu terhenti selepas Modern Warfare 3 diterbitkan pada 2011 dan menyepi selama lapan tahun sebelum khabar angin berkenaan episod terbaru iaitu Modern Warfare 4 bakal menemui peminatnya tahun depan.

Francais permainan ini sangat popular suatu masa dulu apabila menjadi fenomena menerusi tiga siri keluarannya dan pemain boleh memainkan watak sebagai salah seorang anggota pasukan elit dan menentang pelbagai organisasi pengganas seluruh dunia.

Penulis yang membesar dengan siri permainan ini beranggapan ia adalah waktu paling sesuai memandangkan perkembangan dunia e-Sport di samping permintaan tinggi untuk genre permainan yang lebih realistik.

Biarpun dua bulan lalu, francais Call of Duty: Black Ops 4 (COD:BO4) sudah diterbitkan, namun permainan itu lebih berkonsepkan futuristik dan peperangan masa depan.

Kekuatan siri Call of Duty: Modern Warfare (COD:MW) adalah ciri peperangan realistik serta menggunakan perkakasan ketenteraan sebenar daripada raifal tempur jenis Colt M4 Carbine sehingga kepada pengoperasian kapal terbang tempur Lockheed AC-130 Spectre.

Berdasarkan episod sebelum ini, pemain akan ditawarkan melaksanakan pelbagai misi bersama pasukan elit sesebuah negara dan menghentikan ancaman keganasan daripada organisasi tertentu.

Biarpun jalan cerita dalam mod kempen adalah fiksyen, tetapi pemain boleh merasai pengalaman sebenar sebagai seorang tentera elit dan pelbagai persenjataan terkini.

Francais ini juga dikhabarkan turut dilengkapi dengan mod permainan ‘Battle Royale’ yang semakin popular dan menjadi fenomena dalam kalangan penggemar e-Sport.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 8:01 PM