ASUS VivoBook S15.

Mencari notebook yang mempunyai prestasi tinggi pada saiz kasing nipis, tetapi masih cantik mungkin agak komplikated.

Bagaimanapun, notebook ASUS model VivoBook S15 (S530) seakan-akan memberikan penguji jawapan kepada permintaan di atas, sekali gus memberi kelegaan sekiranya anda mencari notebook saiz besar 15.6 inci.

Secara teknikalnya, notebook pada saiz ini mudah dibawa ke mana saja dan tidak membebankan meskipun keluasan 15.6 inci tidak menyakitkan mata walaupun jarak anda dan skrin agak jauh.

Pastinya ia sesuai sekiranya anda sedang duduk di kafe yang tidak mempunyai kerusi dan meja seperti dikehendaki berbanding jika duduk di rumah sendiri. ASUS boleh dikatakan berjaya memperkasakan produk pengkomputeran mobiliti mereka menerusi notebook ini dengan sokongan sistem operasi Windows 10 bagi memberi peluang pengguna berinteraksi secara lebih semula jadi.

Ini kerana, fungsi kawalan sentuhan pada skrinnya bakal memberi kemudahan pelaksanaan aktiviti tugasan dan hiburan harian di samping sokongan pemproses cemerlang generasi ketiga Intel Core i5-8250.

Meskipun salah satu ciri baru pada Windows 10 termasuk tempoh resume yang pantas, penguji masih kurang berpuas hati dengan masalah kemas kini yang kerap berlaku selepas mahu shut down notebook terbabit.

Windows mengambil tempoh agak lama untuk kemas kini yang kadang-kadang menjengkelkan.

Ia bukan masalah ASUS, tetapi lebih kepada sistem operasi itu sendiri yang memerlukan pemerhatian Microsoft.

Bahagian luar notebook ini mungkin nampak biasa dengan warna perak pada reka bentuk aluminium tetapi selepas anda membuka monitornya dan melihat papan kekunci serta pad sentuh, pasti anda terpegun.

Barulah nampak rekaan premium, ditambah pula masing-masing menawarkan ciri responsif berpatutan.

Terdapat dua pembesar suara disertakan dan hanya satu slot untuk pengudaraan yang tidak kelihatan.

Menggunakan pemprosesan Intel i5 mungkin agak biasa, bermakna anda tidak perlu mengharapkan magik ketika fungsi pelbagai tugas tetapi ia masih tidak menunjukkan tanda ‘bermasalah’ sekiranya digunakan secara aktif.

Notebook terbabit dilengkapi RAM sebanyak 4GB, pemacu keras

128GB SATA3 SSD dan 1TB HDD dan cip grafik Nvidia GeForce MX150. Spesifikasi itu sudah cukup memberitahu beban kerja yang ditanggung sepadan dengan wang ringgit dikeluarkan daripada poket anda.

Ia menempatkan enam slot, HDMI keluar, fon telinga dan tiga port USB di samping beberapa lampu di sebelah kanan papan kekunci yang menunjukkan kuasa, WiFi dan status cakera keras.

ASUSVivoBook S15

• CIRI: Notebook dengan rekaan nipis, cantik

• PRO: Papan kekunci yang menarik

• KONTRA: Sedikit berat

• PENGELUAR: ASUS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 12:54 PM