KSN kesan 480,090 potensi perumah perisian hasad bagi
Muhammad Saufi Hassan


SERANGAN siber kini bukan sesuatu yang baharu terhadap rakyat Malaysia malah boleh dikatakan lebih 80 peratus penduduk di negara ini sekurang-kurangnya mampu mendefinisikan konsep serangan berkenaan dengan tepat.

Ia juga hasil pendedahan dan pendidikan daripada agensi berkaitan yang memberikan maklumat berkaitan kepelbagaian serangan siber termasuk membabitkan maklumat peribadi.

Hasil pendedahan berterusan, dapatan daripada syarikat gergasi pembekal antivirus iaitu Kaspersky, menunjukkan penurunan yang sangat ketara setiap tahun.

Berdasarkan statistik Rangkaian Keselamatan Kaspersky (KSN) yang diperoleh setiap tahun menunjukkan serangan siber membabitkan serangan domestik dan perisian hasad (malware) menurun sejak 2017 dan tahun lalu.

Pengurus Besar Makmal Kaspersky Rantau Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, penurunan itu kelihatan begitu positif namun apa yang membimbangkan adalah serangan berasaskan laman web atau perisian hasad dalam talian masih tinggi.

Menurutnya, bagi ancaman laman web yang mempunyai perisian hasad menunjukkan peningkatan yang ketara bagi dua tahun berkenaan.

“Pada 2017, kami mengesan lebih 16 juta potensi serangan namun angka itu meningkat tahun lalu dengan lebih 42 juta dan daripada jumlah berkenaan, 37.7 peratus pengguna diserang berbanding tahun sebelumnya iaitu 33.2 peratus saja.

“Secara asasnya, ancaman menerusi laman web atau ancaman dalam talian itu menggunakan perisian hasad yang mampu untuk menyasarkan pengguna menerusi jaringan Internet.

“Perisian hasad berkenaan akan menggunakan pelayar Internet pengguna dan corak serangan adalah pelbagai kerana wujud ribuan perisian hasad yang dibangunkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Yeo berkata, statistik bagi perumah perisian hasad bagi laman web di negara ini menunjukkan peningkatan sekali ganda dalam dua tahun kebelakangan ini.


PRODUK terkini Kaspersky Lab, Kaspersky Internet Security.

Beliau berkata, KSN mengesan 480,090 potensi perumah perisian hasad bagi dua tahun lalu, namun jumlah itu meningkat kepada 1,640,611 pada tahun lalu.

“Angka itu agak membimbangkan kerana berlaku pertambahan kes insiden dalam bandingan dua tahun berkenaan. Perkara ini perlu didedahkan supaya pengguna di Malaysia lebih peka dengan persekitaran siber mereka.

“Kami di KSN sentiasa menganalisis data yang diperoleh menerusi rangkaian Internet dan mewujudkan satu pangkalan data supaya setiap serangan siber boleh dirujuk dan meramal serangan berikutnya,” katanya.

Menurutnya, Internet boleh disifatkan sebagai pedang bermata dua iaitu satu fungsi untuk memudahkan kehidupan seharian, namun fungsi lainnya adalah risiko yang semakin mencabar.

“Untuk segmen Malaysia, kami mengesan 42 juta ancaman laman web, 67 juta ancaman domestik dan 1.6 juta perumah perisian hasad pada tahun lalu.

“Walaupun terdapat penurunan ancaman domestik yang dikesan dan perumah perisian hasad, jangkitan dalam talian masih terus meningkat.

“Apabila kita menjadi lebih bergantung pada faedah Internet terutamanya ‘World Wide Web’, wujud ancaman yang nyata dan perkara itu perlu ditangani dengan berkesan supaya ia tidak membuka ruang lain yang lebih berisiko,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 1:06 PM