GAMBAR yang diambil pada waktu malam oleh pengguna Apple iPhone, Naive Farhan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Peranti mudah alih keluaran Apple terutama daripada barisan iPhone sememangnya sentiasa menjadi tumpuan dan bakal menjadi petunjuk prestasi kepada jenama lain memandangkan telefon pintar itu boleh dikategorikan sebagai dalam kelas yang tersendiri.

Jumaat lalu, Apple melancarkan secara rasmi penjualan tiga varian peranti terbaharu mereka iaitu iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max di pasaran tempatan dan sudah pasti, ramai yang mahu melihat serta memiliki peranti eksklusif berkenaan.

Penulis bukanlah peminat tegar sistem operasi iOS termasuk jenama Apple tetapi tetap optimis untuk melihat prestasi peranti berkenaan terutama keupayaan kamera peranti terbabit.

Seperti model sebelum ini, Apple tidak pernah gagal menawarkan rupa fizikal yang sangat eksklusif dan itu menjadi salah satu kekuatan jenama berkenaan sejak sekian lama.

Pandangan awal penulis yang agak skeptikal terhadap kemampuan kamera iPhone sangat tersasar apabila tiga varian berkenaan terutama iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max memberikan prestasi kamera yang sangat mengagumkan.

Jika dulu, penulis berasakan kamera iPhone tidak sesuai beroperasi dalam keadaan pencahayaan yang kurang, bagi model terbaharu ini, penulis perlu membetulkan tanggapan itu apabila semua imej yang diambil pada waktu malam sangat berkualiti dan objek dapat dirakam dengan terperinci.

Pilihan Apple untuk menggunakan tetapan tiga lensa yang disusun secara sisi segi tiga menampakkan keupayaan sangat baik apabila pengguna boleh memilih pembesaran.


IPHONE 11 Pro dan versi iPhone 11 Pro Max menampilkan tetapan tiga lensa dengan rekaan kedudukan sisi segi tiga.

Lensanya turut dilengkapi dengan pembelajaran mesin (machine learning) dan memberi maklumat kepada pengguna.

Jika mengambil gambar dalam keadaan pencahayaan kurang, paparan lensa akan menunjukkan jangka waktu pendedahan cahaya (exposure) dan pengguna boleh memilih tempoh yang lama untuk pendedahan lebih baik.

Prestasi rakaman video untuk peranti iPhone 11 Pro juga sangat baik apabila pengguna tidak akan melihat gegaran atau goncangan yang memeningkan sebaliknya sistem perkakasan akan melakukan penstabilan imej seperti rakaman diambil menggunakan set gimbal.

Rakaman video juga boleh dibuat sehingga resolusi 4K pada 60 bingkai sesaat (FPS) dan prestasi peranti terbaharu Apple ini sangat baik dan tidak hairanlah ia berada dalam kelas tersendiri.

Menyentuh aspek spesifikasi, iPhone 11 Pro menggunakan pemproses Apple A13 Bionic dengan rekaan 7nm+ yang dipadankan dengan memori (RAM) 4GB serta storan sehingga 512GB.

Skrin berkeluasan 5.8 inci menggunakan teknologi paparan Super Retina XDR OLED yang memberikan kejituan warna sebenar dan skrin ini sudah dinobatkan terbaik di pasaran.

Kamera utama menggunakan tetapan tiga lensa iaitu 12 megapixel (MP) sudut lebar yang didatangkan dengan sensor OIS, lensa kedua (12MP) telefoto dengan OIS serta pembesaran optikal 2 kali dan lensa ketiga (12MP) sudut ultra lebar.

Lensa swafoto pula dilengkapi dengan kamera kembar 12MP dan sistem kamera iPhone 11 Pro sesuai untuk semua jenis keadaan rakaman gambar atau video termasuk ketika pencahayaan kurang.

Secara keseluruhannya, iPhone 11 Pro mengubah persepsi penulis yang selama ini agak skeptikal dengan prestasi terutamanya keupayaan kamera bagi peranti berkenaan.

Prestasi peranti ini begitu mengagumkan dan jika dibandingkan dengan semua kelas, penulis meletakkan iPhone berada dalam kelasnya tersendiri.

INFO

• PEMPROSES: AppleA13 Bionic 7nm+

• RAM: 4GB

• STORAN: Sehingga 512GB

• KAMERA UTAMA: Tigalensa12MP dengan kepelbagaian fungsi

• KAMERASWAFOTO: Kamera kembar 12MP

• SKRIN: 5.8 inciSuper Retina XDR OLED

• CIRI: Imbasan keselamatan biometrik muka/pengecas tanpa wayar sokongan Qi / Pengecas pantas 18W

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 11:47 AM