Muhammad Saufi Hassan


PEMINAT perkakas produk keluaran Advanced Micro Devices (AMD) kini boleh mendapatkan judul permainan paling ditunggu-tunggu tahun ini iaitu Tom Clancy's Ghost Recon: Breakpoint dengan penebusan setiap pembelian produk syarikat berkenaan.

Permainan berkenaan boleh dimuat turun bermula hari ini selepas pembangunnya iaitu Ubisoft sudah melancarkan versi penuh untuk pakej biasa hari ini manakala bagi pakej eksklusif sudah dilancarkan sejak 30 September lalu.

Promosi itu bermula sekarang hingga 31 Disember depan bagi setiap pembelian AMD siri Radeon RX 5700, RX 590, RX 580, RX 570 dan pembelian sebarang perkakas desktop atau laptop yang dikuasakan oleh Radeon.

Pengguna boleh memilih untuk melakukan penebusan bagi judul permainan Ghost Recon: Breakpoint atau Borderlands 3 termasuk tiga bulan percuma akses eksklusif bagi XBOX Game Pass dan PC.

Ghost Recon: Breakpoint adalah permainan paling dinantikan oleh penggemar sukan elektronik kerana ia bukan saja menawarkan kesan grafik terbaik malah menampilkan corak permainan sebenar seorang askar elit.

Permainan itu juga dikuasakan dengan teknologi yang dipelopori oleh AMD iaitu FidelityFX yang memberikan kesan terperinci secara dinamik sekali gus meningkatkan keupayaan grafik.

Pemain akan merasai suasana sebenar di dalam permainan dengan konsep dunia terbuka selain kesan grafik yang sangat terperinci seperti tumbuhan, bangunan dan kesan tembakan.

Menyentuh aspek senario serta latar belakang permainan, TCGR: Breakpoint, pemain akan menggunakan karakter Nomad iaitu Ketua Skuad Khas Delta Company, Batalion Pertama, Pasukan Khas Kelima Angkatan Tentera Amerika Syarikat yang dikenali sebagai ‘Ghosts’.

Ia adalah pasukan fiksyen dan siri terbaharu ini masih menggunakan konsep permainan sama iaitu penembak taktikal serta menampilkan dunia terbuka (open world).

Bagaimanapun, menariknya apabila Ubisoft menaik taraf cara permainan Breakpoint apabila setiap kecederaan yang dihadapi pemain akan mempengaruhi pergerakan berbanding TCGR: Wildlands.

Jika permainan siri sebelumnya iaitu Wildlands, pemain masih boleh berlari dan menembak seperti biasa walaupun sudah ditembak dengan teruk tetapi keadaan sangat berbeza baik siri terbaru Ubisoft ini.

Konsep permainan untuk siri terbaharu ini akan menampilkan ciri ‘survival’ sebenar apabila pemain yang sudah ditembak seperti kecederaan di kaki akan menghadapi kesukaran untuk berlari dan berjalan terhincut-hincut.

Jika ditembak di bahagian tangan atau bahu, pemain akan menghadapi kesukaran untuk membidik dan menembak musuh. Ia adalah konsep baharu yang lebih realistik, namun pemain boleh memulihkan diri menerusi pek ‘medkit’ yang dijumpai dalam permainan.

Bagi TCGR: Breakpoint, pemain akan menjadi individu buruan dan jumlah peluru serta kelengkapan persenjataan akan menjadi begitu terhad.

Latar masa permainan ini akan menggunakan sebuah kepulauan fiksyen di Pasifik yang dikenali sebagai Pulau Aurora yang menempatkan fasiliti syarikat Skell Technology yang membekalkan dron kecerdasan pintar.

Bagaimanapun, fasiliti itu sudah ditakluk oleh sebuah lagi pasukan tentera bersifat kejam yang dikenali oleh ‘Wolves’ dan tambah menariknya, pasukan musuh diketuai oleh seorang bekas Ghosts iaitu Cole D Walker.

Oleh itu, setiap pergerakan, operasi dan kaedah untuk melaksanakan musuh mudah untuk diramal oleh musuh dan Wolves akan memburu pasukan Ghosts secara dalam kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 11:26 PM