GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

BELANJAWAN 2020 yang memberi fokus dalam membina infrastruktur dan mempercepatkan ekonomi digital bakal memacu negara ke arah transformasi digital, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata peruntukan diumumkan hari ini adalah tepat, dan ia berjaya memberi fokus yang besar kepada matlamat ekonomi digital.

“Melalui belanjawan ini, ia diumumkan untuk mendukung hasrat kita (negara) untuk membina negara digital… Ia berada di landasan betul, yang menfokus kepada masa depan dan memperkasa rakyat Malaysia.

“Ia (belanjawan) juga adalah selari dengan objektif Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menjayakan matlamat negara digital,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

Lim ketika membentangkan belanjawan itu berkata kerajaan akan membangunkan infrastruktur diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun.

NFCP akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.

Pelan itu, menurut Lim akan melibatkan jumlah pelaburan RM21.6 bilion melalui kerjasama awam swasta.

Peruntukan RM210 juta juga diperuntukkan bagi mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 9:49 PM
    Kabinet Malaysia 2020