PILIHAN permainan baharu itu diterima dengan baik oleh pemain kerana ia memberikan ciri baru kepada permainan berkenaan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Permainan kelas mudah alih, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile tidak lagi perlu diperkenalkan, malah judul berkenaan dianggap paling berjaya untuk platform mudah alih.

Berdasarkan statistik kiraan pemain pula, PUBG Mobile merekodkan lebih 200 juta pemain.

Pada masa sama, 30 juta pemain aktif setiap hari, sekali gus menjadikan judul berkenaan antara yang paling berjaya dalam platform mudah alih.

Kini, pembangun permainan itu sekali lagi memberikan nafas baharu apabila memperkenalkan mod ‘Payload’ dan ia menambahkan pelbagai pilihan kepada pengguna.

Secara asasnya, mod Payload ini sudah boleh dimainkan secara menyeluruh dan ia sama seperti mod sebelum ini, namun menawarkan persenjataan kelas berat seperti pelancar roket.

Menerusi mod permainan itu, pemain mampu menerbangkan helikopter dan boleh menggunakan kenderaan itu untuk melawan musuh sama ada di udara mahupun di darat.

Kemas kini terbaharu itu juga memberi kebolehan kepada pemain untuk menghidupkan semula kawan yang sudah mati dengan mengambil tag identiti pemain dan membawanya ke menara komunikasi.

Menara komunikasi boleh dilihat di dalam peta permainan bertanda warna biru dan ia memberi kebolehan kepada pemain yang sudah mati untuk dihantar semula ke medan pertempuran.

Mod ini juga sama seperti mod lain apabila pemain akan bermula di peta ‘Erangel’ cuma yang membezakan adalah penawaran persenjataan pemusnah dengan kelas berat.

Ini termasuk pelancar roket, pelancar bom dan beberapa senjata lain. Persenjataan berat ini termasuk pelancar roket RPG-7, misil M3E1, pelancar bom M79, mesingan M134 dan beberapa lagi.

Pemain juga boleh mengambil beberapa senjata daripada ‘Kotak Senjata Super’ yang akan muncul di peta dan ia turut mengandungi baju kalis peluru peringkat tiga.

Secara keseluruhannya, mod permainan baharu itu diterima dengan baik oleh pemain kerana ia memberikan ciri terkini kepada permainan berkenaan.

PUBG Mobile sudah pastinya akan terus memberikan nafas baharu kepada pemain untuk kekal relevan memandangkan sudah wujud beberapa judul lain yang turut menggunakan konsep sama permainan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:39 AM