AMD Ryzen Threadripper
Muhammad Saufi Hassan


PENERAJU segmen pemproses, Advanced Micro Devices (AMD) mengumumkan pelancaran pemproses kelas prestasi tinggi mereka iaitu AMD Ryzen Threadripper generasi ketiga.

Pemproses itu mempunyai dua variasi menggunakan kod siri Ryzen Threadripper 3970X dan 3960X serta bakal dilancarkan di pasaran secara global 25 November ini.

Ia direka khusus untuk pengguna yang mahukan kuasa bagi pemproses untuk melakukan tugasan seperti sintesis video animasi dan bagi AMD Ryzen Threadripper 3960X dilengkapi 24 teras.

Untuk siri Ryzen Threadripper 3970X pula mempunyai 32 teras yang berkeupayaan untuk mempercepatkan proses bacaan maklumat.

Naib Presiden Kanan AMD Saied Moshkelani berkata, pemproses itu sememangnya dicipta untuk mereka yang sering melakukan tugasan berat serta memerlukan keupayaan prestasi pemproses yang sangat baik.

“Menerusi pelancaran pemproses AMD bagi generasi ketiga Threadripper menunjukkan bahawa AMD komited untuk menghasilkan produk berprestasi tinggi sesuai untuk pencipta, pembangun perisian dan peminat desktop.

“Generasi ketiga pemproses AMD Threadripper menggabungkan prestasi serta kecekapan tenaga untuk mewujudkan penyelesaian masalah bagi barisan desktop kelas tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menyentuh aspek spesifikasi, Ryzen Threadripper menggunakan binaan pemproses 7nm dengan rekaan teras daripada ‘Zen 2’ serta menggunakan jaluran PCIe 4.0 dan 144MB cache.

Berdasarkan penilaian prestasi pula, pemproses itu memberikan kuasa lebih 36 peratus di dalam perisian Unreal Engine 5 sekali gus menjadi pemproses utama yang menawarkan prestasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 5:25 PM