HONOR menawarkan satu peranti kawalan menerusi telefon pintar untuk membolehkan set rumah pintar beroperasi.
Muhammad Saufi Hassan


Menuju ke arah dunia digital yang semakin berkembang pesat, satu daripada cabangnya adalah memiliki sistem rumah pintar dan semua peranti atau perkakasan boleh dihubungkan menggunakan aplikasi.

Namun, wujud persepsi memiliki sistem rumah pintar memerlukan kos sangat tinggi kerana setiap perkakasan perlu menggunakan ekosistem yang sama.

Persepsi itu sebenarnya agak meleset jika pengguna bijak memadankan jenama peralatan mereka dan jenama Honor antara yang berada di pasaran menawarkan kelengkapan sistem rumah pintar dengan harga mampu milik.

Menerusi strategi 1+8+N, Honor memperkenalkan ekosistem sepenuh miliknya dan ia merangkumi daripada aspek pengawalan, peranti dan penawaran ekosistem secara keseluruhan.

Presiden Rantau Asia Pasifik, Kumpulan Perniagaan Honor, Ou Yi Wei dalam satu temu bual bersama #ITMetro menyatakan pihaknya sentiasa memikirkan kaedah terbaik untuk memberi keselesaan kepada pengguna daripada peranti mudah alih sehingga ekosistem rumah pintar.

Beliau berkata, strategi Internet Kebendaan (IoT) merangkumi langkah 1+8+N iaitu angka satu sebenarnya memberi simbolik kepada pengawalan menerusi sebuah telefon pintar saja pengguna boleh mengawal semua peralatan rumah yang disambungkan.

“Angka lapan pula sebenarnya memberi maksud kepada petunjuk akses yang memberikan kebebasan kepada pengguna melakukan sambungan menerusi peranti tablet, peranti boleh pakai, desktop, televisyen, kaca mata pintar dan fon kepala.

“Strategi ini sebenarnya sudah dilancarkan selepas memperkenalkan televisyen pintar pertama syarikat kami iaitu Honor Vision termasuk peranti boleh pakai untuk pemantauan aktiviti harian iaitu Honor Band 5 dan Honor Band 5 Sport.


STRATEGI IoT merangkumi langkah 1+8+N simbolik pengawalan menerusi sebuah telefon pintar.

“Bagi huruf N yang termasuk dalam strategi ini adalah menunjukkan perkongsian produk pintar bersama dengan jaringan komunikasi supaya memudahkan pengguna sekali gus menjamin ketersambungan yang berterusan,” katanya.

Yi Wei berkata, Honor berhasrat mengembangkan ekosistem sedia ada menerusi kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan secara berterusan supaya kehendak pengguna dapat dipenuhi dengan penawaran pelbagai produk.

Menyentuh ekosistem yang ditawarkan Honor, Yi Wei berkata, Honor sudah mempunyai beberapa peralatan atau produk yang mampu menyokong sistem rumah pintar dan pihaknya sentiasa memastikan kehendak pengguna dipenuhi sesuai dengan keperluan.

“Kami tidak berhenti dengan apa yang ada sekarang sebaliknya penyelidikan giat dilaksanakan supaya Honor mampu menawarkan sebarang bentuk produk keperluan pengguna.

“Malaysia menjadi pasaran penting bagi Honor dan beberapa produk baharu kami juga dilancarkan di negara ini berbanding di China. Ini menunjukkan komitmen kami berhubung memberikan yang terbaik kepada pengguna di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:19 AM