PENGGUNA boleh membuat pemilihan beberapa warna kesukaan untuk peranti boleh pakai mereka.
Muhammad Saufi Hassan


SESUAI dengan kemajuan teknologi masa kini, setiap individu mahu ketersambungan yang lebih maksimum dan ia tidak hanya tertumpu kepada peranti mudah alih saja sebaliknya setiap peranti boleh pakai.

Namun, kebanyakan peranti boleh pakai terutama jam pintar mempunyai masalah seperti jangka hayat bateri yang singkat atau rekaan tidak begitu menepati fesyen semasa.

Pengguna pula lebih memilih peranti boleh pakai yang mampu disesuaikan dengan segenap keadaan daripada aktiviti riadah sehingga kepada majlis formal yang memerlukan seseorang itu memakai sut.

Samsung Galaxy Watch Active 2 adalah contoh paling tepat untuk semua keadaan berkenaan kerana rekaannya bukan saja berdasarkan fesyen terkini malah jam pintar keluaran syarikat itu mampu bertahan untuk jangka masa panjang.

Peranti boleh pakai itu juga memiliki pelbagai aplikasi pemantauan termasuk kesihatan pengguna selain merekod data peribadi.

Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti boleh pakai keluaran Samsung ini memiliki dua variasi iaitu pemuka bersaiz 44mm dan 0mm.

Pemuka jam berkenaan bersaiz 1.4 inci dengan resolusi 360x360 dan mempunyai keupayaan memori (RAM) 1.5GB dengan sokongan storan 4GB serta penggunaan pemproses Exynos 9110 dengan rekaan binaan 10nm.

Jam pintar itu menggunakan sistem operasi berasaskan Tizen 4.0 serta didatangkan dengan paparan Super AMOLED serta dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass DX+.

Rekaan bahagian depan menggunakan binaan kaca bersama kerangka keluli 316L dan Galaxy Watch Active 2 mempunyai keupayaan eSim termasuk ketahanan air kedalaman 50 meter (IP68).

Berdasarkan aspek kepenggunaan, Galaxy Watch Active 2 dilengkapi pelbagai mod bersukan dan pemakai boleh memilih daripada berlari, berbasikal dan sebagainya sesuai untuk gaya hidup aktif.

Bateri jam pintar ini juga mampu bertahan lebih seharian walaupun menggunakan secara optimum memandangkan ia didatangkan dengan kapasiti bateri 247mAh untuk pemuka 40mm dan 340mAh bagi pemuka 44mm.

Pengguna juga boleh memilih Galaxy Watch 2 keluaran Under Armour yang sesuai dengan rekaan gaya lasak dan tidak mengabaikan aspek fesyen.

Secara keseluruhannya, penulis melihat Galaxy Watch Active 2 adalah peranti boleh pakai yang sangat baik terutama jika melihat kepada aspek aplikasi sokongan yang boleh digunakan untuk Android ataupun iOS.

Namun, jika pemakai mahu menggunakan sepenuhnya keupayaan jam itu, disarankan menggunakan sistem operasi Android untuk lebih kebebasan.

SPESIFIKASI

• PEMPROSES: Exynos9110

• RAM: 1.5GB

• STORAN: 4GB

• PEMUKA: 40mm/46mm

• SKRIN:Super AMOLED 1.4inci

• BATERI: 247mAh/ 340mAh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:06 AM