Galaxy S11 akan menggunakan pemproses Exynos 990 terbaharu serta keupayan rakaman video 8K. FOTO/Onleaks x
Muhammad Saufi Hassan


BERDASARKAN tradisi tahun-tahun sebelum ini, Samsung akan melancarkan siri Galaxy S keluarannya pada suku pertama setiap tahun iaitu sekitar bulan Februari.

Walaupun masih ada lebih tiga bulan lagi untuk syarikat gergasi itu melancarkan peranti premium terbaharunya, sudah wujud khabar angin yang menyatakan bahawa peranti pintar itu akan menyokong video dalam resolusi 8K.

Bagi siri terdahulu iaitu Samsung Galaxy S10+ sudah dilengkapi dengan mod rakaman video beresolusi 4K dan pastinya peranti terbaharu mereka akan menaik taraf keupayaan itu.

Selain itu, Galaxy S11 akan menggunakan pemproses Exynos 990 terbaharu serta keupayan rakaman video 8K.

Rakaman video menggunakan resolusi berkenaan sudah pasti memerlukan sokongan lensa serta padanan spesifikasi lain yang sangat baik.

Peranti siri baharu Galaxy S itu juga akan menggunakan kamera 108 megapiksel dan dilengkapi dengan sokongan pembesaran optikal lima kali.

Bagaimanapun, ia hanya khabar angin namun sudah pasti Samsung akan menggunakan teknologi terkini untuk peranti terbaharu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 2:15 PM