JARINGAN 5G mampu memberi dimensi industri baharu kepada negara.
JARINGAN 5G mampu memberi dimensi industri baharu kepada negara.
Muhammad Saufi Hassan


MUNGKIN masih ada segelintir rakyat tempatan yang mempunyai persoalan mengapa jaringan telekomunikasi generasi kelima (5G) begitu penting dan manfaat teknologi berkenaan kepada pengguna mahupun industri.

Kesimpulan awal yang boleh dibuat adalah 5G membuka ruang teknologi baharu yang selama ini tidak boleh diterokai memandangkan halangan perantaraan jaringan terdahulu iaitu 4G.

Mudahnya, 4G mempunyai kelemahan kadar kelengahan (ping) yang tinggi dan tidak mampu untuk beroperasi dalam masa nyata hasil daripada masalah ping yang tinggi.

Jika dibandingkan dengan 5G pula, jaringan berkenaan menawarkan ping rendah, sekali gus mampu untuk menghantar data paket secara masa nyata manakala ia mampu untuk menampung resolusi 8K yang pastinya memberi kejelasan lebih baik.

Menerusi perspektif industri, jaringan 5G akan menawarkan pelbagai kemudahan baharu dan ia termasuk dalam revolusi industri 4.0 apabila kebanyakan segmen akan menggunakan asas kuasa robotik.

Pemantauan keselamatan boleh dilakukan dalam masa nyata apabila dron atau kamera keselamatan boleh menghantar video resolusi 8K dengan keupayaan pixel 7,680◊4,320.

SEGMEN perubatan dapat melaksanakan pembedahan maya menggunakan teknologi 5G.
SEGMEN perubatan dapat melaksanakan pembedahan maya menggunakan teknologi 5G.

Industri pertanian juga boleh menerima faedah apabila tanaman dalam bandar boleh dilaksanakan dan segmen perubatan juga boleh melaksanakan pembedahan secara maya memandangkan keupayaan penghantaran data dengan ping yang rendah.

Bagi pengguna pula, sudah pasti mereka dapat menikmati jaringan Internet mudah alih yang sangat pantas dan apa yang lebih utama adalah menikmati gaya hidup pintar di dalam bandar yang terbina dengan infrastruktur pintar.

Projek Demonstrasi 5G oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) memperlihatkan keupayaan mereka melakukan transformasi pulau peranginan Langkawi, Kedah menjadi sebuah lokasi pintar.

Kelengkapan seperti lampu isyarat pintar, pemantauan paras air pintar, parkir pintar dan dikuasakan dengan aplikasi pintar memudahkan pengguna secara keseluruhannya.

Isu mencari petak parkir bukan lagi masalah apabila pengguna hanya perlu membuka aplikasi dan ia akan menunjukkan petak kosong di kawasan berhampiran.

Semua itu adalah sebahagian daripada manfaat 5G dan pastinya teknologi berkenaan membuka ruang baharu yang selama ini tidak boleh direalisasikan berikutan halangan jaringan.

5GDP yang dipelopori TM mewujudkan bandar pintar sebagai modul yang berjaya.
5GDP yang dipelopori TM mewujudkan bandar pintar sebagai modul yang berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe