X
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA yang membuka sebarang fail berformat video kononnya mengandungi virus adalah tidak benar memandangkan virus atau perisian hasad hanya boleh dipasang pada peranti melalui pemasangan fail format ‘.apk’.

Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung mesej kononnya pengguna dilarang untuk membuka video bagi menaik taraf aplikasi mesej, Whatsapp kepada versi Gold dan berdasarkan mesej berkenaan video berkenaan mengandungi virus.

Mesej berantai itu juga menyatakan bahawa jika pengguna membuka video berkenaan, peranti akan dijangkiti dengan perisian hasad dan melakukan pembersihan (format) kepada peranti.

Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, mesej itu adalah palsu dan ia pernah digunakan sebelum ini untuk menakutkan orang ramai.

“Mustahil untuk fail berformat video mengandungi virus dan menjangkiti peranti pengguna. Mesej berkenaan yang dikenali sebagai Whatsapp ‘Martinelli’ adalah satu contoh berita palsu sengaja untuk menakutkan pengguna.

“Untuk memasang perisian hasad kepada peranti pengguna, salah satu cara yang digunakan adalah menerusi fail berformat ‘.apk’ yang tidak disahkan.

“Kaedah lain pula adalah menerusi kelemahan aplikasi itu sendiri. Sebelum ini, wujud kes aplikasi pemain video mengandungi kelemahan dan penyerang akan memasang perisian hasad menerusi kelemahan aplikasi itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, sebentar tadi.

Beliau berkata, kaedah yang boleh diambil oleh pengguna untuk mengelakkan daripada peranti dijangkiti adalah sentiasa melakukan kemas kini keselamatan terkini.

Selain itu, katanya, pengguna juga dinasihatkan tidak memuat turun sebarang fail perisian dalam format .apk yang tidak disahkan atau yang diragui.

“Secara asasnya, apa yang boleh saya katakan mesej berkenaan video Whatsapp mengandungi virus itu adalah palsu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 12:12 PM
Digital NSTP Subscribe